Seperti melepas batuk di tangga

Seperti melepas batuk di tangga merupakan perumpamaan yang telah sekian lama digunakan oleh penyampai berita di media massa apabila merujuk sikap individu atau agensi tertentu yang bekerja  tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugasan mereka.

Semasa di sekolah rendah, ketika mula mengenal peribahasa  saya ingat peribahasa tersebut merujuk kepada sikap seseorang yang berpura-pura batuk atau batuk yang dibuat-buatnya apabila berada di kaki tangga rumah orang supaya tuan rumah sedar akan kehadirannya lalu membuka pintu seraya menjemputnya masuk. Pada tanggapan saya orang itu batuk kerana segan hendak memberi salam.

Persepsi ini timbul kerana dalam benak saya ‘batuk’ dalam perumpamaan tersebut adalah merujuk kepada batuk kerana tekak kering dan gatal serta banyak kahak atau pun seseorang itu memang pengidap tibi. Apa bezanya kalau perumpamaan itu seperti melepas batuk dalam jamban, seperti melepas batuk di padang atau seperti melepas batuk di tepi sungai.  Batuk di mana-mana pun sama, tidak dapat menggambarkan perbuatan atau sikap sambil lewa atau tidak bersungguh-sungguh.

Semasa berkursus di Port Dickson pada tahun 2003, penceramah dari UPM mempersoalkan yang  manakah yang betul : Seperti melepas batuk di tangga; atau seperti melepas batok di tangga? ejaannya batuk atau batok  ? batok ialah penceduk daripada tempurung kelapa. Semasa artikel ini ditulis, untuk makluman semua sehingga kini masih belum ada satu kajian khusus yang dilaksanakan oleh pakar bahasa untuk mengkaji kesahihan penggunaan ‘batuk’ ataupun batok. Buat masa ini DBP menggunakan kata ‘batuk’ untuk peribahasa tersebut kerana mengikut Sistem Ejaan Bahasa Melayu yang standard.

Antara persoalan yang timbul ialah, adakah terdapat maksud yang lain bagi perkataan  “batok”.  Saya sebagai seorang guru Bahasa Melayu sering memperjelas hal ini kepada pelajar, tetapi penjelasan tersebut hanya sia-sia kerana pihak-pihak di luar sana yang lebih berpengaruh sering mennyebut perumpamaan tersebut seperti melepas batuk di tangga.

Ada seorang yang keliru tentang  perumpamaan ini mengemukakan persoalan kepada pihak DBP, apakah maksud sebenar “batuk” dalam peribahasa : seperti melepaskan BATUK di tangga. batuk itu merujuk kepada apa? dan : biar mati ANAK jangan mati adat. anak merujuk kepada? Pihak DBP menjelaskan, dalam Kamus Dewan batuk bermaksud mengeluarkan nafas dari paru-paru dengan keras dan bising bunyinya. Merujuk peribahasa yang dimaksudkan, ada pendapat mengatakan yang dimaksudkan sebenarnya ialah batok iaitu sejenis alat yan digunakan untuk menceduk air yang diperbuat daripada tempurung kelapa. Manakala anak yang dimaksudkan ialah anak kepada ibu bapa seperti yang difahami umum.

Pada pandangan saya, di mana-mana sekalipun kita batuk, sama ada batuk di tangga, batuk di tepi longkang atau batuk di depan pintu kedai runcit sekali pun, batuk itu tetap batuk yang bermaksud mengeluarkan nafas dari paru-paru dengan keras dan bising bunyinya dan sukar untuk menghubungkaitkannya dengan perbuatan tidak bersungguh-sungguh atau bersikap sambil lewa. Adakah kalau peribahasa tersebut berbunyi; seperti melepaskan batuk di dalam bilik tidur menggambarkan sikap bersungguh-sungguh? Atau di manakah tempat yang paling sesuai untuk melepaskan batuk? Pada pandangan saya, kita mungkin boleh merujuk ‘seperti melepas batuk’ tersebut sebagai perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana boleh menyebarkan penyakit tibi atau virus H1N1. Tetapi kalau batok yang merujuk kepada sejenis alat yang digunakan untuk menceduk air yang diperbuat daripada tempurung kelapa saya ada penjelasannya. Pada masa dahulu di kaki tangga setiap rumah orang Melayu dan juga rumah panjang Iban biasanya ada sebuah tempayan.  Air dalam tempayan tersebut biasanya air hujan yang ditadah dari kaki atap. Bersama tempayan tersebut disediakan batok, sejenis alat yang diperbuat daripada tempurung kelapa untuk menceduk air dari tempayan untuk membasuh kaki sebelum naik tangga. Batok tersebut ada dua jenis, ada batok yang dibuat pemegang dan ada batok yang hanya tempurung kelapa tanpa pemegang. Mengikut adap yang betul, sebaik sahaja seseorang itu selesai membasuh kaki, batok tersebut mesti diletakkan semula di sebatang pancang kayu di tepi tangga supaya tidak hilang.  Orang tua-tua sering berpesan jangan sesekali meletakkan batok di tangga kerana jika diletakkan di tangga, tangga akan basah dan licin.  Bukan itu sahaja, jika seseorang terpijak batok yang diletkkan di tangga tersebut juga boleh terjatuh.

Pada pendapat saya, peribahasa ini lahir hasil daripada penelitian orang tua-tua dahulu apabila melihat keadaan tangga yang  licin, basah dan bersepah apabila batok dilepaskan atau diletakkan ditangga. Daripada situ, timbul pendapat apabila melakukan sesuatu pekerjaan, lakukanlah dengan bersungguh-sungguh hingga selesai supaya tiada masalah timbul pada kemudian hari. Samalah dengan membasuh kaki di kaki tangga, ambil batok dari pancangnya, basuh kaki, selepas itu letakkan semula batok di tempat asalnya supaya tiada masalah timbul akibat kerja yang tidak selesai.

Buat renuangan semua: perhatikan beberapa persoalan berikut?

  1. Jalankan tugas kita dengan bersungguh-sungguh hingga selesai seperti melepas batuk di dalam bilik. (Sebab kalau melepas batuk di tangga dikatakan tidak bersungguh-sungguh).
  2. Jalankan tugas kita dengan bersungguh-sungguh hingga selesai seperti melepaskan batok di pancangnya. (Sebab kalau melepas batok di tangga dikatakan tidak bersungguh-sungguh).
  3. Di manakah kita patut melepas batuk supaya tidak mendatangkan masalah pada kemudian hari? (Jawapan: Kita patut melepas batuk di.……???tiada jawapan ???…..jangan melepas  batuk di tangga supaya tidak mendatangkan masalah pada kemudian hari.)
  4. Di manakah kita patut melepas batok supaya tidak mendatangkan masalah pada kemudian hari? (Jawapan: Kita patut melepaskan batok di pancangnya jangan melepas batok di tangga supaya tidak mendatangkan masalah pada kemudian hari.)

 

Berikut juga antara beberapa pandangan yang lain tentang perumpamaan ini;

1.  Melepas Batok Di Tangga

Ramai orang yang masih salah faham akan peribahasa yang diturunkan oleh nenek moyang kita ni…

Aku sendiri penah tersalah gambaran tentang situasi melepas batuk di tangga’

Apa yang pernah aku bayangkan….

Kita berada di muka pintu ( anda bayangkan umah kampong tinggi… pintu masuk adu tangga kayu.. )
pastu lepaskan batok di tangga tersebut…sambil meludah ke bawah tanah…

Maksud yang boleh diintepretasikan di situ ialah…

membuat kerja tidak bersungguh-sungguh, malas nak turun batuk/ ludah ke tanah…

huhu…

Ingat aku ketika mengambil kelas Social Anthropology yang di ajar oleh Dr Azlan yang memang sangat best…

Beliau bertanyakan apakah yang kamu bayangkan “melepaskan batok di tangga”?

Hampir seluruh kelas memberi jawapan seperti yang aku imaginasikan di atas…

Dr Azlan tersenyum dan bertanya kembali kepada kami..

“Kamu semua tau tak maksud batok tu apa?”

Kami yang dah boleh agak jawapan dan imaginasi kami salah terus menggeleng kepala…

“Kamu semua ingat tak, zaman orang dulu-dulu, mesti ada tempayan kat depan umah untuk mengisi air basuh kaki… dan kita akan guna tempurung untuk di jadikan cebok.. haa…. tempurung itulah yang dimaksudkan BATOK tadi”

Jadi… kenalah maksud peribahasa tersebut… ” ibarat melepas batok di tangga “

kami semua…”ooooo…”

BATOK = Jw 1. tempurung; 2. Id sukatan beras (lebih kurang satu kal); ~ kepala tengkorak. ( rujukan kamus dewan edisi keempat )

2. Seperti melepas batok di tangga

Mungkin ramai yang selalu mendengar peribahasa ini. Boleh dikatakan dari kecil kita didedahkan dengan seni bahasa yang merupakan salah satu keindahan bahasa Melayu, wacana ibunda kita. Warisan nenek moyang yang diperturunkan sejak ratusan tahun dahulu. Namun tidak ramai dari kita yang benar-benar mahir berbahasa, dalam konteks yang sebenarnya. Sehingga adakalanya kita lari dari maksud sebenar bahasa itu.

 

Berbalik kepada perbincangan asal, semenjak mengenal huruf dan pandai membaca, apa yang difahami penulis berkaitan peribahasa di atas ‘melepas batok di tangga’ ialah perbuatan batuk di tangga rumah jelasnya pergi ke tangga dan berdehem beberapa kali. Begitu yang lazim penulis fahami dan begitu juga rata-rata dari kita semua. Sebelum kita melanjuti perbincangan ini, elok diperjelaskan maksud peribahasa tersebut secara kasar iaitu melakukan perbuatan sambil lewa / tidak bersungguh-sungguh serta mendatangkan mudarat kepada orang lain.

 

Namun, sesungguhnya pemahaman penulis tersasar daripada maksud asal‘BATOK’. Apa yang yang disangkakan berdehem ditangga rupanya sejenis alat untuk mencedok air dahulukala. Ceduk yang disediakan di tangga rumah berpasangan dengan tempayan bertujuan membasuh kaki sebelum naik ke rumah.

 

Hampir 34 tahun penulis terpesong, terima kasih kepada abang ipar yang menjelaskan perkara sebenar tempoh hari. Lantaran itu, penulis ingin kongsi pengalaman ini bersama. Semoga kita lebih peka dan minat mendalami erti bahasa ibunda kita. Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang cantik itu budi , yang indah itu bahasa. Sekian….

 

 

 

 

 

Tatabahasa

Antara perkara yang terlintas di benaku ketika ini ialah:

  1. Beberapa hari lalu seorang pembaca berita di televisyen menyatakan bahawa siling sebuah kedai yang digunakan sebagai tempat menyimpan pelbagai jenama jam tangan runtuh. Sepatutnya ayat itu begini : tempat menyimpan  jam tangan pelbagai jenama. Saya cuba memikirkan hal ini, adakah ayat itu salah kerana pembaca berita tersebut tersilap baca atau pengarang berita tersebut yang tersilap.
  2. Seorang wartawan sebuah stesen radio semasa menyampaikan berita secara lintas langsung sering kali menyebut ayat: Selain itu juga, ………… .Contohnya; Selain itu juga, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati di jalan raya. Sepatutnya ayat itu begini:Selain itu, beliau juga turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati di jalan raya.
  3. Seorang juruhebah radio pula sering kali menyebut ayat berikut:
  • Sekarang saya bacakan sebuah SMS daripada kiriman Ali Mamut:  Sepatutnya begini: Sekarang saya bacakan sebuah SMS kiriman Ali Mamut ATAU Sekarang saya bacakan sebuah SMS daripada Ali Mamut. ATAU PUN begini: Sekarang saya bacakan sebuah SMS yang dikirimkan oleh Ali Mamut.
  • Sekarang dengarkanlah sebuah lagu daripada persembahan Datuk M Daud Kilau: Sepatutnya begini: Sekarang dengarlah sebuah lagu  daripada Datuk M Daud Kilau. ATAU Sekarang dengarlah sebuah lagudendangan Datuk M Daud Kilau.
  • Seorang juru hebah membaca berita berbunyi begini; Setakat ini kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya telah meragut 30 nyawa. Sepatutnya begini: Setakat ini kemalangan jalan raya telah meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa.
  • Seorang guru Bahasa Melayu menulis soalan karangan dalam blognya: Dunia sekarang dilanda dengan pelbagai jenis penyakit berjangkit. Bincangkan cara-cara untuk menghalangnya daripada terus merebak dalam kalangan masyarakat di negara kita ini. Sepatutnya dilanda oleh……...ATAU dilanda pelbagai jenis penyakit…….Perkara ini biasa berlaku, malahan saya sendiri kadang-kadang terlepas pandang beberapa kesilapan bahasa dalam sesebuah artikel kerana terlalu ghairah untuk menyalin aktikel di internet.

 

Mengapa peperiksaan UPSR dan PMR patut dimansuhkan?

Bahagian A (i): Ringkasan (20 markah)

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang perlunya peperiksaan UPSR dan PMR dimansuhkan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan

ISU pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kini hangat diperkata dalam kalangan masyarakat dan media massa, baik media elektronik mahupun media cetak. Cadangan tersebut telah dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Menteri Pelajaran selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pagoh, Muar, Johor pada pertengahan Jun 2010.

Antara respons daripada orang ramai yang menyokong langkah memansuhkan kedua-dua peperiksaan tersebut ialah kerana sistem pembelajaran kini terlalu berorientasikan peperiksaan, yakni menghabiskan sukatan pelajaran dan menyalin semula dalam peperiksaan. Sistem pendidikan seperti ini tidak sesuai lagi kerana hanya melahirkan pelajar yang kuat menghafal dan mengingat pelajaran sahaja tetapi tidak memberi pendidikan holistik atau menyeluruh bagi melahirkan pelajar yang inovatif dan kreatif.

Sistem pendidikan kini juga melahirkan rakyat yang kurang semangat patriotisme dan lemah penguasaan bahasa.  Dengan mengambil contoh subjek Sejarah terdapat rakyat yang sanggup memijak bendera negara dan mengubah lirik lagu kebangsaan. Malah dalam penggunaan Bahasa Melayu didapati ada yang tidak dapat membezakan penggunaan kata tugas dengan kata nama yang betul baik dalam tulisan bahkan amat ketara dalam pertuturan lisan.

Dalam tempoh 11 tahun murid di sekolah mereka perlu mengambil sebanyak tiga peperiksaan awam menyebabkan cara pembelajaran lebih terarah kepada hasrat untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR. Hal ini menyebabkan guru hanya menumpu kepada kaedah dan strategi menjawab soalan peperiksaan sahaja supaya pelajarnya banyak mendapat ‘A’, malah guru dan pelajar juga dibebani dengan peperiksaan dan penilaian dalaman pada peringkat sekolah, sekali gus lari daripada matlamat Falsafah Pendidikan Negara yang mahu melahirkan pelajar yang seimbang daripada segi inteleks, emosi, rohani dan jasmani.

Dalam pada itu, ramai orang berpendapat bahawa peperiksaan SPM perlu dikekalkan sebagai peperiksaan awam di sekolah agar menjadi penanda arasuntuk memasuki alam pekerjaan dan ke peringkat pengajian tinggi.

Jika UPSR dan PMR dimansuhkan, hal ini pasti dapat mengembalikan kanak-kanak dan remaja ke alam yang sepatutnya mereka lalui pada peringkat itu dan seterusnya mempertingkat tahap kreativiti mereka. Seterusnya, mutu sukan negara juga pasti akan meningkat kerana lebih banyak masa untuk aktiviti tersebut.  Tanpa dua peperiksaan ini, sudah pasti bebanan yang dipikul oleh guru dan pelajar  juga akan berkurangan. Begitu juga, ibu bapa tidak perlu risau tentang yuran tusyen anak-anak mereka.

Bahagian A(ii): Soalan Pemahman (Bersama rangka ayat jawapan)

1.   Berikan maksud rangkai kata menjadi penanda aras.

Maksud rangkai kata tersebut ialah……………………………………………………………..

 

2.   Berdasarkan pandangan pengarang, Apakah kebaikannya jika peperiksaan UPSR dan PMR dimansuhkan

Berdasarkan pandangan pengarang, kebaikannya jika peperiksaan UPSR dan PMR dimansuhkan ialah ………………………………………………………………………………………dan……………………………………………………………………………………………………………… Selain itu,………………………………………………………………………………………………………………………dan ………………………………………………………………………………

 

3.   Pada pandangan anda, apakah kelebihan sistem pendidikan yang diamalkan sekarang?

Pada pandangan saya kebaikannya sistem pendidikan yang diamalkan sekarang ialah …………………………………………………dan ………………………………………………………………………………………………………………………………………………Selain itu,…………………………………………………… …………………………………………………………………………………………………………… dan …………………………………………………………………………………………………..

 

Kelemahan sistem pendidikan terlalu berorientasikan peperiksaan

Bahagian A (i): Meringkaskan Karangan [20 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kelemahan sistem pendidikan terlalu berorientasikan peperiksaan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Setiap ibu bapa pasti mengharapkan anak mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan supaya anak mereka dapat meneruskan pengajian atau sebagai tiket untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. Namun, kecemerlangan akademik semata-mata belum mencukupi jika tidak disokong dengan daya ketahanan untuk menghadapi cabaran. Sehubungan itu, kita menyambut baik hasrat Kementerian Pelajaran untuk mencari pendekatan baru bagi mengurangkan sistem ujian dan peperiksaan yang kini dianggap tidak praktikal. Pemantauan yang dilakukan juga mendapati sistem berorientasikan peperiksaan tidak lagi sesuai kerana tidak menguji kemampuan sebenar pelajar, sekaligus membebankan pelajar dan guru.

Sistem baru akan diperkenalkan secara berperingkat di sekolah tertentu. Sistem yang dilakukan akan dilihat akan keberkesanannya selama lima tahun, kemudian akan ditentukan sama ada akan diperluaskan ke semua sekolah. Dalam proses tersebut akan dilakukan penambahbaikan terhadap mana-mana kecacatan gara pelaksanaannya benar-benar berkesan. Sistem pendidikan juga memerlukan perubahan kurikulum, buku teks dan lain-lain Pada masa ini, guru bimbang untuk menggunakan kaedah lain kerana takut terkeluar daripada ketetapan Kementerian Pelajaran akibatnya, motivasi pelajar merosot kerana dipaksa belajar mengikut jadual waktu bukan mengikut minat mereka.

Apa pun, kita menyedari kesan nyata daripada kepincangan sistem pendidikan negara sudah jelas iaitu wujudnya fenomena pengangguran dalam kalangan siswazah akibat tidak tahu memanfaatkan ilmu yang diperoleh. Masalah itu berlaku kerana sistem pendidikan dikekang birokrasi sehingga sukar berubah. Jelaslah sistem pendidikan yang ada sekarang, melahirkan pelajar yang hanya tahu menjawab soalan tetapi tidak boleh berfikir. Kesannya, pelajar berlumba-lumba ke kelas tuisyen dan meninggalkan aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Masyarakat pula berpandangan hanya mereka yang memperoleh A dalam setiap pelajaran sahaja yang cemerlang dan menganggap gagal dalam peperiksaan akan gagal segala-galanya. Hal ini menyebabkan para pelajar tertekan untuk memperoleh keputusan yang baik sehinggakan hilang keseronokan belajar. Kini terpulang kepada ahli-ahli akademik dan pemikir pada peringkat tertinggi untuk mengenal pasti pendekatan baru yang sesuai bagi menguasai itu.
Bahagian A (ii): Pemahaman [10 markah]

  1. Berikan maksud rangkai kata fenomena pengangguran. [2 markah]
  2. Berdasarkan petikan, nyatakan tahap-tahap menilai sesuatu sistem peperiksaan? [4 markah]
  3. Pada pendapat anda, apakah kelebihan sistem pendidikan yang ada sekarang? [4 markah]

 

Kelebihan bayi yang disusui ibunya

Kelahiran cahaya mata dalam sesebuah keluarga diibaratkan sebagai menerima anugerah yang paling berharga. Dalam hal ini, susu ibulah yang dapat dihadiahkan kepada bayi sebagai minuman yang paling mujarab. Susu ibu merupakan susu yang paling baik untuk bayi. Oleh itu, menyusukan bayi sudah diterima sebagai satu kaedah terbaik untuk tumbesaran anak-anak.

Banyak kelebihan apabila seseorang bayi menyusu susu ibu berbanding dengan susu tepung. Antara kelebihan bayi yang menyusu susu ibu ialah bayi dapat bernafas dengan baik semasa menyusu. Oleh itu, otot muka bayi akan lebih kenyal berbanding dengan bayi yang menyusu botol kerana bayi terpaksa menyesuaikan mulutnya dengan bentuk puting botol susu. Kesannya, tulang pipi akan menonjol keluar dan muka bayi akan kelihatan tidak seimbang. Kandungan susu ibu juga penting untuk pertumbuhan fizikal dan perkembangan emosi bayi.

Penyusuan susu ibu juga memberikan kesan positif terhadap perkembangan rahang. Sekiranya rahang berkembang dengan baik, ruang yang ada dapat ditumbuhi gigi susu. Gigi susu dapat tumbuh dengan cantik seolah-olah bertunas di atas gusi dari tengah ke tepi. Oleh itu wajah bayi akan kelihatan lebih cantik dan menawan.

Dari sudut psikologi pula, penyusuan bayi dengan susu ibu dapat menjalinkan hubungan yang erat antara ibu dengan anak. Selain itu, ibu tidak berkemungkinan menghidap penyakit serius seperti barah payu dada dan barah ovari. Ibu juga dapat mengurangkan berat badan dengan lebih mudah selepas bersalin dan kembali langsing.

Sebenarnya susu ibu sangat berharga dan tidak boleh dijual beli. Ibu yang menyusukan bayi sudah tentu dapat menjimatkan wang. Oleh sebab itu, ibu-ibu digalakkan supaya menyusukan bayi masing-masing tanpa rasa ragu-ragu.

Bahagian A (ii): Pemahaman

  1. Berikan maksud rangkai kata anugerah paling berharga? [2 markah]
  2. Berdasarkan petikan, nyatakan kesan menyusu dengan menggunakan susu botol. [4 markah]
  3. Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya untuk menggalakkan penyusuan susu ibu di negara kita? [4 markah]

Kepentingan menghayati Rukun Negara

Bahagian A (i): Meringkaskan Karangan [20 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan menghayati Rukun Negara. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Sejak dari bangku sekolah lagi kita dididik dengan semangat prinsip Rukun Negara yang menjadi teras perpaduan rakyat pelbagai bangsa, dan agama di negara ini. Rukun Negara yang mengandungi lima prinsip iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluruhan Perlembagaan; Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan itu adalah antara resipi kejayaan Negara dalam menyatupadukan rakyat. Walau bagaimanapun penghayatan Rukun Negara kini semakin terhakis dari jiwa rakyat Malaysia apa bila mereka dewasa.

Masalah gejala sosial dalam kalangan remaja semangkin meningkat sejak belakangan ini. Ini berpunca daripada kurangnya penghayatan terhadap Rukun Negara. Bagi mengingatkan rakyat pentingnya prinsip Rukun Negara dipertahankan, kerajaan melancarkan Kempen Penghayatan Rukun Negara. Semangat Rukun Negara yang tersemadi dalam sanubari rakyat sejak lebih 35 tahun dahulu perlu terus dikekalkan. Penghayatan Rukun Negara amat penting kerana mampu mendidik seseorang lebih menghormati kaum-kaum lain. Malah boleh mewujudkan perasaan hormat-menghormati dan tolak ansur yang boleh menyumbang kepada keharmonian dan perpaduan di negara yang didiami rakyat berbilang kaum dan agama.

Lima prinsip Rukun Negara yang merangkumi pelbagai aspek dalam masyarakat dengan jelas membuktikan Rukun Negara dapat melahirkan keamanan dan kerharmonian  negara dapat dikekalkan .Rukun Negara juga mampu melahirkan masyarakat Malaysia yang demokratik, saintifik dan progresif selain bersifat terbuka terhadap cara hidup rakyat pelbagai keturunan. Selain itu, Rukun Negara dapat mencipta satu masyarakat yang adil, supaya kemakmuran Negara dapat dinikmati bersama. Dalam pada itu, lima prinsip Rukun Negara sebenarnya saling berkait rapat antara satu dengan lain.

Satu lagi kepentingan menghayati Rukun Negara ialah prinsip  kepercayaan kepada Tuhan mampu menerapkan kepercayaan beragama yang boleh mengukuhkan ikatan pelbagai kaum di Malaysia serta mempunyai jati diri yang padu. Rukun Negara juga mendidik kita mempunyai kesetiaan tinggi yang diberikan kepada raja dan negara kerana raja adalah lambang perpaduan negara. Selain itu, Rukun Negara mendidik kita supaya menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Negara.

Masalah yang berlaku sekarang seperti kejadian yang kian meningkat berpunca daripada sikap masyarakat yang tidak menghayati Rukun Negara. Oleh yang demikian usaha memastikan rakyat menghayati semula prinsip-prinsip Rukun Negara merupakan langkah tepat dan perlu melibatkan segenap lapisan masyarakat.

Bahagian A (ii): Pemahaman

  1. Berikan maksud rangkai kata semakin terhakis dari jiwa. [2 markah]
  2. Menurut pengarang, apakah empat kesan jika masyarakat tidak menghayati semangat Rukun Negara? [4 markah]
  3. Pada pendapat anda, mengapakah masyarakat sekarang semakin kurang menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara? [4 markah]

 

Cara membendung jenayah dalam kalangan pelajar dan remaja

Bahagian A (i): Meringkaskan karangan

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang cara membendung jenayah dalam kalangan pelajar dan remaja. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah yang melibatkan pelajar dan remaja. Hal ini telah menggambarkan betapa seriusnya kejadian jenayah dalam kalangan mereka. lsu ini sungguh membimbangkan semua pihak kerana jika tidak dibendung masalah ini akan menjejaskan masa depan negara kita.

Sebenarnya segala jenayah ini dapat dibendung melalui pendekatan yang lebih berkesan, misalnya ibu bapa sebagai orang yang paling rapat dengan remaja hendaklah memberikan perhatian yang lebih kepada anak-anak ketika di rumah kerana segalanya bermula di rumah. Pendidikan agama dan nilai-nilai murni mestilah diterapkan supaya anak-anak dapat menilai antara perkara baik dan buruk.

Remaja juga haruslah pandai memilih rakan sebaya kerana sememangnya remaja mudah terpengaruh dengan kawan-kawan mereka, tetapi kini kebanyakan ibu bapa tidak ambil peduli dengan siapa anak mereka berkawan. Pengaruh hiburan melalui media massa juga hendaklah dibendung. Sepatutnya para pelajar hanya perlu mengetahui maklumat-maklumat yang hanya berkaitan tentang pelajaran sahaja.

Pihak sekolah pula perlu memantapkan lagi kawalan disiplin sekolah bagi menjamin kegiatan salah laku pelajar berkurangan. Setiap kesalahan. pelajar seperti ponteng sekolah, merokok, menghisap dadah, atau membuli pelajar lain hendaklah didenda setimpal dengan kesalahan mereka. Masalahnya bu bapa tidak berminat datang ke sekolah untuk berbincang bagi mencari pendekatan awal sebelum masalah yang lebih serius. Lebih buruk lagi ada antara ibu bapa yang menyalahkan pihak sekolah jika mengambil tindakan disiplin terhadap anak mereka.

Penguatkuasaan undang-undang hendaklah diperketat, misalnya remaja bawah umur yang melakukan kegiatan jenayah berat seperti bunuh hendaklah dikenakan hukuman mati mandatori sama seperti pesalah dewasa.

Pelajar-pelajar haruslah didedahkan kepada isu-isu semasa, kempen-kempen, khemah kerja, motivasi dan sebagainya bagi menyedarkan mereka bahawa merekalah generasi pemangkin kemajuan negara. Sekali gus, perkara sedemikian dapat memberi pengajaran kepada mereka. Golongan tersebut juga perlu mengetahui bahawa segala kes jenayah akan merosakkan masa depan mereka.

 

Bahagian A (ii) Pemahaman

  1. Berikan maksud rangkai kata mudah terpengaruh? [2 markah]
  2. Berdasarkan petikan, nyatakan tiga sikap negatif ibu bapa dalam membendung masalah  disiplin para pelajar? [4 markah]
  3. Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya untuk menggalakkan masyarakat supaya memainkan peranan dalam membantu pihak berkuasa membendung jenayah dalam kalangan pelajar dan remaja? [4 markah]

 

Kebaikan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum

Bahagian A (i): Meringkaskan Karangan

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Banyak faedah yang diperoleh jika seseorang pelajar itu melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Namun begitu banyak pelajar yang tidak berminat untuk melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Mereka menganggap menyertai kegiatan kokurikulum hanyalah membuang masa dan boleh dikatakan kebanyakan ibu bapa tidak rasa bersalah jika anak-anak mereka ponteng  aktiviti kokurikulum.

Persoalannya sedarkah mereka tentang faedah-faedah yang diperoleh daripada kegiatan kokurikulum? Para pelajar akan memanfaatkan  waktu senggang mereka  dengan berfaedah jika melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Dengan menyertai kegiatan kokurikulum, sikap berdisiplin juga dapat ditanam dalam diri pelajar- pelajar sekolah.

Kegiatan kokurikulum juga dapat mengeratkan hubungan antara pelajar dengan guru atau pelajar dengan pelajar. Hal ini semestinya juga akan dapat memupuk sikap bekerjasama dan toleransi dalam kalangan pelajar. Perpaduan kaum penting untuk membentuk sebuah Negara yang aman damai, supaya rusuhan kaum 13 Mei 1969 tidak berulang lagi. Lebih penting lagi, para pelajar dapat meluaskan ilmu pengetahuan melalui penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum.

Menyertai aktiviti kokurikulum juga membolehkan para pelajar mengenali dan memahami budaya dan adat resam kaum-kaum lain di Malaysia.  Hal ini juga dapat mewujudkan rasa bangga dalam kalangan pelajar dengan budaya dan cara hidup masyarakat di negara ini.

Dengan menyertai aktiviti-aktiviti kokurikulum, seseorang pelajar dapat menyihatkan badan dan mencerdaskan otak serta dapat membina keyakinan diri dalam mengharungi kehidupan dan ini juga secara tidak langsung akan mengurangkan berlakunya gejala sosial yang melibatkan pelajar kerana masa lapang pelajar telah diisi dengan aktiviti yang berfaedah.

Bahagian A (ii): Pemahaman

  1. Berikan maksud rangkai kata memanfaatkan waktu senggang. [2 markah]
  2. Berdasarkan petikan, nyatakan alasan yang biasa diberikan oleh pelajar yang tidak mahu menyertai kegiatan kokurikulum? [4 markah]
  3. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk menggalakkan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum? [4 markah]

 

Faedah-faedah penglibatan Malaysia dalam misi meneroka angkasa lepas

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang faedah-faedah penglibatan Malaysia dalam misi meneroka angkasa lepas. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.


Misi menghantar angkasawan Malaysia pertama ke angkasa lepas yang bermula pada tahun 2003 akhirnya berjaya setelah Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, selesai menamatkan misi 11 hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Walaupun detik bersejarah itu tercatat 46 tahun selepas kejayaan angkasawan pertama Yuri Gagarin dari Rusia membuat pusingan bersejarah mengelilingi Bumi, namun kejayaan Sheikh Muszaphar amat bermakna kepada negara bersempena dengan 50 tahun usia kemerdekaan tanah air.

Kejayaan ini memberi gambaran yang amat jelas tentang kesungguhan negara untuk menyertai penerokaan angkasa lepas dengan menghantar angkasawan pertama selepas tiga tahun ditawarkan berbuat demikian. Tiada siapa boleh menidakkan betapa kejayaan angkasawan pertama negara menjadi kebanggaan kita sekaligus melonjakkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Kejayaan menjadikan Program Angkasawan Negara satu realiti pastinya membuka mata dunia betapa negara kecil ini amat serius membangunkan industri angkasa lepas. Kejayaan ini telah menutup tanggapan orang ramai bahawa program ini membazirkan wang rakyat. Malah sebelum ini ramai yang tidak yakin misi ini akan membuahkan hasil. Selain itu, tanggapan negara maju yang usaha Malaysia menyertai misi tersebut untuk menandingi negara lain dapat dihapuskan.

Sesungguhnya kejayaan ini telah mendorong kelangsungan program angkasawan negara terutama dari sudut penyebaran ilmu dalam kalangan pelajar. Minat generasi muda baik di peringkat tadika terhadap penerokaan angkasa lepas akan berkembang. Kejayaan Sheikh Muszaphar amat penting untuk mendidik rakyat Malaysia tentang angkasa lepas. Begitu juga dengan cadangan kerajaan untuk mewujudkan pelan tindakan pembangunan angkasa negara sebagai susulan kepada penghantaran angkasawan pertama Malaysia ke ISS akan menerima respons yang baik daripada orang ramai.

Kita berharap Sheikh Muszaphar akan memberi ceramah di seluruh pelosok negara tentang pengalamannya di angkasa untuk menarik minat masyarakat tentang angkasa lepas. Begitu juga dengan hasil penyelidikan Sheikh Muszaphar di ISS bakal membuka lembaran baharu bidang perubatan khususnya dalam menyediakan kaedah rawatan penyakit kronik. Pelaburan untuk meneroka angkasa lepas yang besar jumlahnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya supaya kelak bakal angkasawan yang dilahirkan di negara kita mampu bersaing dengan calon-calon dari negara luar. Sesungguhnya kejayaan angkasawan pertama kita mesti ada susulannya sebagai bukti bahawa negara serius menyertai masyarakat antarabangsa meneroka angkasa.

Bahagian A (ii): Pemahaman

  1. Berikan maksud rangkai kata bakal membuka lembaran baharu. [2 markah]
  2. Berdasarkan petikan, apakah tanggapan negatif sebelum misi ke angkasa lepas dijalankan? [4 markah]
  3. Pada pendapat anda, mengapakah Malaysia jauh ketinggalan dalam menerokai angkasa lepas jika dibandingkan dengan negara Russia? [4 markah]

Punca-punca masalah sosial dalam kalangan remaja.

Mukadimah

Mengapa cikgu tidak menggunakan rangkai kata punca-punca “gejala”  sosial dalam kalangan remaja?

Cikgu tidak menggunakan rangkai kata punca-punca “gejala”  sosial dalam kalangan remaja kerana menurut  Kamus Dewan ‘gejala’ bermaksud petanda atau tanda-tanda. Maka kalau ditulis punca-punca “gejala”  sosial dalam kalangan remaja, bermaksud punca-punca petanda atau tanda-tanda sosial dalam kalangan remaja. Oleh itu, pada pandangan cikgu masalah sosial atau penyakit sosial dalam kalangan remaja adalah lebih sesuai. 

Masalah sosial dalam kalangan remaja bermaksud salah laku sosial yang dilakukan oleh golongan remaja. Masalah sosial seperti membuli rakan, mencuri, terlibat dengan lumba haram dan sebagainya bukanlah sesuatu yang baharu dalam kalangan remaja pada hari ini. Malahan, masalah ini semakin menjadi-jadi dari hari ke hari sehingga telah membimbangkan banyak pihak. Misalannya, sepanjang tahun 2010 sebanyak, 5,165 kes yang melibatkan remaja dilaporkan, masing-masing 1,947 kes membabitkan pelajar dan 3,218 kes oleh bukan pelajar, iaitu peningkatan 38 peratus dan 43 peratus berbanding 2009.   Sesungguhnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan fenomena ini terus berleluasa.

Gejala kurang sihat ini berlaku kerana para remaja kurang perhatian daripada ibu bapa, khususnya bagi ibu bapa yang bekerja di bandar. Ibu bapa sibuk bekerja sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Akibat keletihan, mereka langsung tidak mahu mengambil tahu tentang pelajaran anak-anak, apatah lagi untuk meluangkan masa bagi mendengar masalah anak-anak mereka. Hal ini pasti menyebabkan anak-anak berasa bosan, sekali gus menyebabkan anak-anak mencari jalan keluar untuk menghiburkan hati.

Selain itu, golongan remaja terjebak dalam gejala negatif juga akibat bergaul dengan kumpulan yang salah. Ada sesetengah ibu bapa pula berpendapat bahawa pemberian wang yang secukupnya kepada anak-anak sudah memadai. Dalam hal ini, ibu bapa seharusnya tahu bahawa kasih sayang tidak dapat ditukar ganti dengan wang.

Sementara itu, segolongan remaja pula mengambil jalan mudah dengan melakukan perbuatan yang tidak baik kerana hendak melarikan diri daripada masalah yang menimpa keluarga mereka. Contohnya perceraian antara ibu bapa mereka.dan pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara punca berlakunya gejala sosial di negara kita. Para remaja yang buntu dengan masalah yang dihadapi keluar dari rumah dan mencari kebebasan dengan bergaul dengan kumpulan yang tidak senonoh.

Penglibatan golongan remaja dalam kegiatan jenayah ini dapat diatasi jika semua pihak memainkan peranan masing-masing. Guru-guru, misalnya boleh memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian yang ungugul dalam kalangan para pelajar di sekolah. Kaunseling kepada para pelajar yang bermasalah tentunya dapat membantu mengatasi masalah yang dihadapi dengan lebih tenang dan rasional.

Dalam pada itu, guru-guru juga mesti menjalankan aktiviti-aktiviti kokurikulum juga boleh dijalankan dengan berkesan supaya para pelajar tidak mempunyai alasan untuk melepak. Di samping itu, pendidikan agama haruslah diterapkan dalam kalaangan anak-anak sejak mereka kecil lagi. Pendidikan Moral dan agama amat perlu  dipertingkankan  kerana semua agama mendidikr penganutnya supaya berkelakuan baik.

Tegasnya, banyak punca remaja ini terlibat dengan masalah sosial. Oleh tu, semua pihak harus bekerjasama dalam menentukan golongan remaja yang akan meneruskan kepemimpinan negara pada masa hadapan.  Sikap masayarakat kita yang ‘tidak mahu menjaga tepi kain orang’ haruslah diubah.  Anggota masyarakat sepatutnya prihatin dengan melaporkan segala kegiatan salah laku yang melibatkan golongan remaja kepada pihak yang berkuasa.