Mengapa kerajaan wajar merancang rancangan menghadapi krisis makanan mulai sekarang?

Perangkaan terbaru Bank Dunia menunjukkan berlaku kenaikan ketara harga barang makanan global antara 80 hingga 90 peratus sejak 1995. Kadar ini dijangka terus meningkat hingga 2030 tetapi sukar diramal peratusan kenaikannya. Pastinya unjuran ini cukup membimbangkan kita. Mahu atau tidak, negara kita perlu menempuh realiti ini dengan membuat persediaan mencukupi.

Amaran Bank Dunia ini perlu diberikan perhatian serius dan harus menjadi isyarat kepada semua pihak, termasuk kerajaan supaya membuat perancangan mulai sekarang bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Kita menyambut baik gesaan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, kelmarin supaya kerajaan membuat persediaan rapi dan strategik bagi menghadapi kemungkinan berlaku krisis bekalan makanan dunia pada 2030. Keprihatinan beliau membuktikan kerajaan sentiasa bersiap sedia menghadapi keadaan itu.

Antara langkah yang dilaksanakan ialah kerajaan membelanjakan RM4 bilion membiayai program penyelidikan dan pembangunan (R&D) menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) bagi meningkatkan jaminan bekalan dan keselamatan bahan makanan di negara ini. Malah, Ongkili mengakui kementeriannya sendiri membelanjakan RM2.7 bilion sebagai persediaan menghadapi krisis bekalan makanan pada tempoh berkenaan untuk menjayakan program R&D, tanaman komersial berasaskan bioteknologi, 18 projek di bawah Dana Tekno, 305 projek di bawah Dana Sains dan lima projek di bawah Dana Inovasi. Pembabitan pelbagai agensi kerajaan, universiti dan sektor swasta amat diperlukan dalam menyokong program ini, terutama meningkatkan nilai tambah sektor pertanian bagi memastikan bekalan makanan negara terjamin.

Ketika ini penduduk dunia berjumlah hampir tujuh bilion dan daripada jumlah itu, kira-kira 27 juta adalah penduduk Malaysia. Dengan jangkaan keperluan makanan semakin meningkat dengan jumlah sumber semakin meruncing, penduduk dunia pada 2025 dianggar lapan bilion dan akan mencecah 9.4 bilion pada 2050. Dengan pertambahan penduduk ini, bermakna dunia memerlukan jumlah makanan yang lebih banyak untuk mengelakkan timbul krisis kemanusiaan jika bekalan tidak mencukupi.

Dengan unjuran rakyat negara ini pada 2060 berjumlah 70 juta, timbul persoalan berhubung kemampuan Malaysia menyediakan bekalan makanan mencukupi untuk rakyatnya. Seiring pengenalan lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) sebagai pelengkap Model Baru Ekonomi (MBE) oleh kerajaan bagi memacu Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi pada 6 September lalu, sewajarnya kerajaan menimbang untuk menubuhkan makmal khas melaksanakan transformasi pertanian nasional dalam usaha memenuhi keperluan makanan untuk tempoh 2020 dan tahun berikutnya. Ini adalah tugas berat kerajaan yang memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak, khususnya sektor swasta bagi menggerakkannya dan pada masa yang sama  perancangan, kaedah, teknologi dan pelaksanaan program pertanian berskala besar mesti dikaji semula. Malah, dasar baru pertanian komoditi dan makanan perlu digubal bagi menggariskan tindakan atau program segera membangunkan sektor itu bagi memenuhi keperluan masa depan negara. Dasar ini mesti memasukkan pelan penyelesaian jangka panjang, termasuk mengatasi ancaman semula jadi atau bencana yang menjejas atau memusnahkan hasil pertanian termasuk tanaman padi yang menjadi sumber utama makanan.

 

Masa Depan Industri Kraf Kebangsaan

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah melakukan inisiatif mengadakan Hari Kraf Kebangsaan bagi mengiktiraf pengusaha dan penggiat kraf dalam mengembangkan industri kraf negara. Walaupun kraf tidak memberi pulangan yang lumayan tetapi jika diusahakan secara lebih teratur, perusahaan ini boleh membantu meninggikan pendapatan ramai yang bekerja separuh masa atau bersendirian yang biasanya berpendapatan rendah.

Kraf adalah industri warisan yang bergantung banyak kepada kecekapan tangan individu yang terlibat. Ada yang begitu cekap sehingga hasil kerja mereka begitu halus dan bernilai amat tinggi. Di beberapa negara Timur, termasuk Jepun, pekerja yang tercekap sekali dijadikan Khazanah Negara atau “National Treasure” dan mereka dibantu oleh kerajaan supaya mereka dapat meneruskan kerja tangan mereka dan tidak meninggalnya kerana ingin bekerja dalam bidang yang memberi pendapatan yang lebih. Dengan itu kecekapan ini dapat dikekalkan walaupun permintaan untuknya tidak sebegitu.
Tetapi mereka yang menjadi “National Treasure” ini dikehendaki menurunkan kecekapan mereka kepada generasi yang muda supaya seni kraf ini tidak akan luput. Dengan cara ini satu daripada warisan kita tidak akan hilang.

Namun kraf masih dapat memberi kerja dan pendapatan jika diuruskan secara komersial. Walaupun produk kraf adalah hasil kerja tangan tetapi cara kerja seperti ini tidak dapat membekalkan jumlah yang cukup untuk permintaan yang besar (mass consumption) bagi semua barangan di zaman ini). Kita tidak lagi boleh buat satu dua barangan seminggu secara sambilan untuk menjualnya di kampung atau bandar berdekatan hanya apabila siap. Pasaran sekarang memerlukan bekalan yang banyak yang disiapkan mengikut jadual pesanan. Kualiti juga mestilah tinggi dan sama untuk satu-satu produk yang dikeluarkan.

Hasil kerja tangan yang bergantung kepada kecekapan masing-masing pekerja tetap tidak sama daripada segi kualiti dan ukuran. Bekalan juga tidak menentu kerana kerja di rumah tidak tertakluk kepada disiplin tempat kerja terutama masa bekerja. Pelanggan akan kecewa apabila pesanan tidak ditunaikan mengikut jadual yang dipersetujui. Hasil kerja tangan tidak mungkin tinggi jumlahnya sedangkan dalam zaman “mass consumption” jumlah yang amat besar diperlukan. Jumlah untuk menguji pesanan sahaja pun amat besar sehingga pengusaha kraf tidak dapat membekalnya.

Pasaran menentukan jaya atau gagalnya industri. Jenis industri yang tidak mampu memenuhi permintaan pasaran tidak akan maju bahkan akan hilang terus. Banyak sudah industri tradisional yang tidak ada lagi. Justeru itu jika industri kraf hendak dikekal dan dimajukan, selera dan permintaan pasaran mestilah diambilkira.

Walaupun kraf melibatkan kerja tangan tetapi cara bekerja tidak semestinya sambilan dan diusahakan bersendirian. Kraf juga boleh diusaha secara teratur dengan mengadakan kilang yang mengamalkan disiplin tempat kerja. Kerja-kerja yang dibuat tidak perlu dilakukan oleh seorang pekerja dari mula sehingga ke peringkat akhir dengan terhasil barang yang sedia untuk dijual. Sebenarnya kerja-kerja yang diperlukan boleh dibahagi-bahagi supaya pekerja tertentu membuat sebahagian sahaja daripada kerja yang diperlukan. Kerja- kerja lain disusuli oleh pekerja lain dan seterusnya sehingga barang berkenaan dihasil sepenuhnya.

Dengan bekerja mengikut jadual dan pembahagian kerja seperti dalam industri-industri moden yang lain, maka bukan sahaja barangan berkenaan akan sama kualiti dan ukurannya tetapi pengeluaran akan dapat dipercepatkan dan jumlah akan menepati permintaan pasaran. Masa bekerja mestilah ditetapkan mengikut amalan kilang-kilang industri lain. Pekerja boleh dibayar gaji tetap dan juga peratusan tertentu daripada keuntungan. Pekerja juga boleh melabur dalam kilang kraf seperti dengan perniagaan-perniagaan lain.

Seperkara lagi ialah penggunaan alatan dan mesin yang boleh menolong percepatkan dan menentukan ukuran dan kualiti kerja-kerja tertentu. Sudah tentu barangan yang dihasilkan dengan mesin bukanlah kraf yang sebenar. Tetapi untuk bahagian kerja tertentu mesin boleh digunakan. Membelah buluh dan menyediakan bahan untuk anyaman atau melukis batik dan lain-lain yang sesuai untuk mesin sepatutnya tidak dibuat dengan tangan. Mengulang sesuatu “design” yang sama juga lebih baik dibuat dengan mesin.

Penggunaan mesin untuk kerja-kerja tertentu dalam menghasilkan barangan kraf akan menjamin keluaran yang lebih besar yang mana ini akan menolong bekalan untuk pasaran dengan secukupnya.

Sesuatu barangan kraf yang dibuat sepenuhnya dengan tangan akan mendapat nilai dan harga yang tinggi. Tetapi jumlahnya tidak akan mencukupi untuk pasaran “mass consumption” dan juga permintaan untuknya tidak mungkin besar. Sebaliknya kraf yang melibatkan penggunaan mesin akan mempunyai nilai yang kurang tinggi tetapi pasarannya lebih besar. Jelas sekali terdapat dua jenis pasaran, satu yang berkualiti tinggi tetapi permintaan terhad; dan satu lagi yang berkualiti rendah sedikit tetapi permintaan lebih tinggi.

Dalam perusahaan songket umpamanya, alatan tenunan tradisi mengeluarkan hasil yang amat tinggi nilainya tetapi mengambil masa yang panjang dengan kos kerja yang juga tinggi. Dengan itu harga kain songket yang ditenun secara tradisi amat tinggi dan mampu dibeli hanya oleh orang berada sahaja untuk acara tertentu. Kain songket tidak sesuai untuk pakaian harian atau pun seminggu sekali untuk sembahyang Jumaat.

Hari ini Malaysia mengimpot dari Selatan Asia kain benang emas yang seakan-akan kain songket. Ramai yang tidak mampu membeli kain tenunan tradisional terpaksa membeli kain benang emas tenunan mesin dari negara asing ini. Yang jelas ialah ada pasaran baik bagi kain-kain seperti ini. Tidak ada sebab kenapa kita tidak boleh ada industri kain benang emas buatan mesin ini. Kita mesti yakin jika kita ada perusahaan ini coraknya akan lebih berselera Melayu dan lebih sesuai dengan kehendak kita.

Kerajaan ingin memperkenalkan industri yang juga mempunyai unsur separuh kraf ini. Kita akan sokong industri kecil seperti ini jika ia disusun sebagai kilang kecil yang diurus mengikut cara-cara komersial. Untuk ini latihan boleh diberi kepada yang berminat dalam bidang pengurusan kilang.

Bagi membangunkan kawasan luar bandar, kerajaan akan memperbaharui konsep satu kampung satu industri dengan cara mengadakan satu kilang kecil bagi satu kampung. Barangan yang dikeluarkan tidaklah semestinya barangan kraf. Barangan buatan kilang yang sesuai untuk industri kecil di kampung akan dikenalpasti dan diberi galakan. Projek ini menjadi penting kerana ramai penduduk kampung mendapat pendapatan yang rendah kerana tidak bekerja sepenuh masa. Dalam bidang pertanian kerja yang dibuat lebih menumpu kepada kerja sambilan dan tidak memerlukan kerja setiap hari. Dengan itu terdapat masa lapang berkali ganda lebih daripada masa bekerja. Tidak mungkin petani mendapat pendapatan yang sama dengan pekerja kilang yang bekerja lapan jam sehari setiap hari melainkan pada hujung minggu atau cuti am. Keluhan para petani dan nelayan akan kemiskinan mereka memang berasas tetapi sebabnya ialah kerana masa kerja petani dan nelayan tidak sama dengan pekerja kilang. Dengan adanya kilang yang terletak di kampung maka masa lapang petani dan nelayan bolehlah di manfaatkan dengan bekerja di kilang. Sudah tentu pendapatan mereka akan bertambah. Waktu bekerja bolehlah disusun dengan mengambilkira waktu untuk pertanian dan waktu untuk bekerja di kilang.

Jika pertanian tertentu yang hendak diusahakan, jadual kerja separuh di kilang boleh diamalkan. Pertanian bukanlah bertanam sahaja dan kemudian menunggu hasil tanpa membuat apa-apa. Banyak kerja perlu dibuat supaya hasil pertanian adalah lebih baik. Sebab itu disiplin kerja diperlukan dalam pertanian juga. Kebun getah yang nampak seperti hutan dengan hasil yang rendah adalah kerana tidak ada disiplin kerja.

Kalau kita sanggup bekerja tidak ada sebab kenapa kita harus terus miskin. Adalah menjadi hasrat Kerajaan melihat semua rakyat Malaysia memperolehi pendapatan yang lebih tinggi samada sebagai pekerja yang mengambil upah atau yang bekerja bersendirian, samada di kilang atau di ladang. Tetapi kita perlu mengambilkira persaingan dalam pasaran di mana kita menawarkan khidmat atau tenaga kita. Jikalau kita tuntut upah yang tidak setimpal dengan sumbangan khidmat atau tenaga kita, maka hasil kerja kita akan menjadi terlalu tinggi kosnya sehingga tidak dapat bersaing dalam pasaran dan tidak dapat dijual. Dengan itu perusahaan kita akan rugi dan gagal dan kita akan hilang pekerjaan, menganggur dan tidak mempunyai pendapatan sama sekali.

Sebaliknya jika hasil kerja kita bermutu tinggi dan jumlahnya menepati permintaan pasaran, upah dan pendapatan kita boleh ditingkatkan sehingga kita bukan sahaja tidak miskin lagi tetapi kita akan lebih berada dan taraf hidup kita akan meningkat.

Kita sedang berusaha untuk menjadikan negara kita negara maju menjelang 2020. Kita tidak ingin melihat dalam negara kita yang sudah maju terdiri daripada kaum tertentu dan yang tidak maju yang terus miskin daripada kaum tertentu yang lain. Sedikit sebanyak kita boleh membantu mereka yang miskin tetapi tentulah tidak sama dengan yang berusaha sendiri. Bantuan Kerajaan tidak boleh menjadikan orang yang miskin kaya. Hanya yang berusaha sendiri sahaja yang akan kaya. Kejayaan orang lain yang menyumbang kepada peningkatan negara kita ke peringkat negara maju adalah kerana mereka berusaha bekerja keras baik sebagai pekerja, peniaga atau pengusaha. Siapa sahaja yang berusaha yang sanggup bekerja keras akan maju. Sebabnya orang asing berhempas pulas hendak datang ke Malaysia ialah kerana terdapat banyak peluang kerja di Malaysia. Peluang-peluang ini ada kerana rakyat Malaysia sendiri tidak sanggup bekerja, tidak sanggup kotor tangan, tidak sanggup berpindah sedikit ke tempat di mana ada peluang kerja.

Orang Melayu khususnya perlu ingat apabila mereka tidak sanggup bekerja di zaman British, penjajah telah membawa masuk pekerja dari India dan China. Pada satu ketika orang Melayu menjadi kaum yang minoriti di Malaya. Jika tidak kerana kemelesetan ekonomi pada tahun-tahun tiga puluhan yang menyebabkan ramai daripada orang asing balik ke negara mereka mungkin semasa kita menuntut kemerdekaan kita orang Melayu akan menjadi puak minoriti yang lemah dalam segala-galanya. Jika kita capai kemerdekaan dalam keadaan itu kita tidak pun akan dapat sedikit kuasa yang dimiliki oleh kita sekarang. Kita akan jadi seperti orang Melayu di sebuah negara Asia Tenggara yang tidak pun dilayan sebagai rakyat yang memiliki sama hak dengan rakyat lain.

Inilah kesan ketidaksanggupan orang Melayu untuk berusaha, bekerja, bersikap cermat dengan harta benda. Sekarang ini kita sekali lagi terpaksa bergantung kepada tenaga pendatang asing. Janganlah kita kecewa kemudian kerana sedikit kelebihan yang ada pada kita daripada segi politik akan terhakis dan kita menjadi orang yang miskin di Malaysia yang sudah maju.

Kerajaan tidak mencadang sesuatu melainkan untuk kebaikan. Banyak sudah peluang pekerjaan, perniagaan dan perusahaan yang telah diadakan oleh Kerajaan. Pembangunan industri kraf ini adalah satu daripadanya. Kita tidak boleh menguruskan industri kraf secara dahulu, secara perusahaan sambilan oleh individu yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kita mesti jadikan industri kraf industri yang teratur, dengan kilang-kilang kraf yang mengamalkan disiplin tempat kerja, yang mengeluarkan barangan secara teratur dengan kualiti yang tinggi dan menepati pesanan yang dibuat oleh pelanggan. Ini sahaja cara yang boleh menghidupkan industri kraf dan memberi pulangan pendapatan yang setimpal dan baik kepada pekerja dan pengusaha.

Setelah cuba membangunkan industri kraf dengan menggalakkan individu mengeluarkan barangan kraf secara persendirian dan mendapati cara ini gagal memajukan industri ini dan menambah pendapatan penduduk desa, Kerajaan sedang mencuba cara industri kilang kecil di desa untuk memajukan kraf tangan dan industri kecil di kampung. Tanda-tanda cara ini disambut baik dan memberi pekerjaan kepada penduduk kampung yang tidak dapat atau tidak mahu tinggal kampung sudah pun ternampak. Hanya yang tinggal ialah mengenalpasti industri dan barangan yang berlainan untuk diperkenalkan. Janganlah sesiapa anggap pendekatan ini sebagai peluang untuk mendapat bantuan wang daripada Kerajaan yang akan digunakan untuk tujuan-tujuan lain. Janganlah sengaja menggagalkan projek ini. Jangan kita musnahkan diri.

Dalam zaman moden ini kita perlu sesuaikan diri kita dan cara kita dengan aliran zaman. Jika tidak kita akan ketinggalan. Sudah banyak bangsa dan tamadun yang hilang dari muka bumi ini. Janganlah kita menjadi satu daripadanya.

Kraf mencerminkan budaya dan seni yang memberi identiti kepada sesuatu bangsa. Jika sesuatu kraf atau perusahaannya sudah menjadi lapuk kita boleh hidupkan kraf itu melalui cara-cara baru. Segala hasil kraf zaman dahulu perlu dijadikan khazanah bangsa dan negara dan di simpan dengan baik. Ia boleh menjadi punca inspirasi daripada segi bentuk dan penghiasannya. Ia juga menjadi bukti asas tamadun kita. Oleh sebab- sebab inilah dan potensinya sebagai industri yang boleh memberi pulangan yang baik, yang kita perlu hidupkan warisan kraf kita.

Rakyat Malaysia perlu mempromosi produk kraf tempatan sebagai pilihan utama untuk dijadikan hiasan atau cenderahati. Dengan cara ini kita dapat memperluaskan lagi pengedaran produk kraf tempatan.

 

 

 

Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar melalui amalan kitar semula

Pemeliharaan bermaksud memelihara, pembelaan, perawatan, manakala pemuliharaan adalah perihal proses, usaha, perbuatan memulihara sesuatu. Dalam konteks  alam sekitar, sudah tentu kedua-dua perkataan tersebut berkaitan dengan proses pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar melalui amalan kitar semula merupakan satu perkara yang patut diamalkan dalam usaha kita untuk mencapai pembangunan yang lestari ( tidak berubah-ubah,  kekal, tetap),  berkualiti dan seimbang.

Pemimpin negara yang disokong oleh majoriti rakyat Malaysia bercita-cita mencapai taraf negara maju yang mengikut  acuannya yang tersendiri menjelang tahun 2020. Pembangunan yang pesat dari segi ekonomi dan sosial telah melahirkan keperluan untuk pembangunan fizikal yang lebih besar dan lebih canggih. Namun begitu, dalam usaha untuk membangunkan negara, kita harus memastikan bahawa alam sekitar tidak sekali-kali menjadi korban.

Walaupun secara keseluruhannya, menurut Malaysian Quality of Life Report, indeks kualiti alam sekitar hampir tidak berubah sepanjang jangka 1990-2000 (iaitu sekitar 100.2 mata), namun terdapat kemerosotan dalam beberapa petunjuk yang membimbangkan. Contohnya, kemerosotan dalam kualiti air sungai dan air, seperti yang ditunjukkan dalam peratusan sungai bersih dalam negara, yang jatuh daripada 53.3 peratus pada tahun 1990 kepada 28.3 peratus pada tahun 2000.

Kemerosotan kualiti air sungai-sungai kita ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk pencemaran yang datang daripada sisa-sisa buangan isi rumah dan ladang ternakan; efluen dari sektor pembuatan dan industri berasaskan pertanian; pepejal terampai (tidak mendap, terapung), dari hakisan tanah; dan sisa logam berat dari kilang. Sedikit sebanyak, hal ini memberi gambaran bahawa ramai rakyat Malaysia masih kurang mengambil berat tentang kaedah pembuangan sisa pejal yang bersih dan teratur. Dalam hal ini, kita mempunyai infrastruktur kelas dunia, tetapi mentaliti pada tahap mentaliti rakyat dunia ketiga.  Rakyat Malaysia yang bermentaliti sedemikian yang harus berubah.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa antara masalah alam sekitar yang semakin meruncing di Malaysia pada masa ini ialah jumlah sisa pepejal yang dibuang semakin banyak, ditambah dengan masalah tapak pelupusan sisa buangan yang semakin berkurangan lagi. Malaysia adalah antara negara yang paling banyak sampah, iaitu kira-kira 17,000 tan sampah dihasilkan setiap hari, atau sebanyak lebih 5 juta tan setiap tahun. Kadar penghasilan sampah negara dijangka akan terus meningkat pada kadar 2 peratus setiap tahun, selari dengan pertambahan penduduk dan kegiatan ekonomi negara yang semakin pesat. Dalam pada itu, menurut satu kajian,  tapak pelupusan sisa buangan akansetakat 80 peratus dalam hanya dua tahun lagi.

Kini kerajaan sedang dalam proses untuk meningkatkan penggunaan teknologi pelupusan sampah yang canggih-canggih untuk melupuskan sisa buangan. Namun begitu, usaha-usaha ini tidak akan mencukupi untuk mencapai tujuan kita. Sebenarnya, di samping pengurusan sisa pembuangan, kita juga harus menumpukan perhatianterhadap isu pengurangan sisa dan sampah itu sendiri. Di sini, pemahaman dan amalan kitar semula oleh segenap lapisan masyarat dapat memainkan peranan yang amat penting.

Kitar semula bukanlah satu perkara baru, malah banyak negara telahpun lama melaksanakannya. Terdapat banyak faedah yang dapat diperolehi jika rakyat Malaysia dapat menerapkan amalan kitar semula dalam rutin harian mereka.

Dari segi ekonomi misalnya, negara kita terpaksa membelanjakan lebih daripada 400 juta ringgit setahun untuk menguruskan sampah yang dihasilkan oleh penduduk negara. Sekiranya negara berjaya mencapai sasarannya, iaitu untuk mengitar semula sekurang-kurangnya 22 peratus daripada jumlah janaan sampah negara, adalah dijangka kita boleh menjimatkan sekurang-kurangnya 88 juta ringgit setiap tahun. Jumlah ini boleh disalurkan kepada projek-projek pembangunan lain yang lebih diperlukan oleh rakyat.

Dalam bidang industri, amalan kitar semula dapat mengurangkan perbelanjaan mengekstrak sumber ekonomi baru, manakala industri kitar semula itu sendiri dapat menjana peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan yang lebih, jika dibandingkan dengan industri pembuangan sisa pejal semata-mata.

Perkara yang paling pentin ialah amalan kitar semula dapat membantu  memelihara alam sekita dan dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia keseluruhannya. Cuba bayangkan keadaan jika sisa-sisa buangan yang berlebihan yang tidak dikumpulkan itu terjatuh ke dalam sungai dan longkang-longkang. Akhirnya, sisa-sisa buangan akan mengakibatkan masalah alam sekitar seperti banjir kilat, atau menyebabkan air bertakung yang mungkin menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Sudah pasti hal ini akan membawa kemudaratan dan mendatangkan penyakit kepada rakyat Malaysia sendiri. Oleh hal itu, pendekatan pembangunan yang lebih lestari dan tidak membinasakan alam sekitar menjadi kritikal. Program kitar semula memainkan peranan yang penting menyokong dasar strategik kerajaan bagi pengurusan alam sekitar dan sumber semulajadi yang mapan. Secara spesifik, ia bertujuan untuk mengurangkan intensiti pencemaran dan sisa daripada aktiviti perbandaran dan perindustrian, di samping memastikan alam sekitar bersih dan sihat supaya dapat memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat.

Program kitar semula yang dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaa Tempatan telah mencecah usia 3 tahun, akan tetapi rakyat telah mencapai kadar kitar semula kira-kira 3 peratussahaja. Jika dibandingkan dengan kadar kitar semula dii negara-negara maju yang kebanyakan daripada mereka telah mencapai kadar kitar semula setinggi 30 hingga 47 peratus – prestasi Malaysia jauh ke belakang. Bilangan pusat kitar semula di negara tidak mencukupi dan amalannya tidak meluas sama sekali.

Ada orang yang berpendapat bahawa negara-negaraelah mengambil masa kira-kira 25 tahun untuk mencapai kadar kitar semula tersebut. Namun begitu, Malaysia tidak perlu mengambil masa 25 tahun untuk mencapai sasaran yang telah kita tetapkan. Hal ini dikatakan demikian, adalah kerana kesedaran tentang alam sekitar telah sedia wujud sekarang, dan sebilangan rakyat Malaysia telah pun menitikberatkan keadaan alam sekitar.

Di samping itu, kita mempunyai keupayaan dan akses kepada kaedah-kaedah dan teknologi pelupusan sampah yang tidak mengotori alam sekitar berbanding dengan teknologi pelupusan sampah masa lalu. Yang paling penting, kita ada kelebihan pengalaman kerana dapat mempelajari daripada pengalaman negara-negara maju dalam pelaksanaan program kitar semula, baik dari segi mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat, mahupun dari segi menggunapakai kaedah-kaedah kitar semula yang terkini. Oleh itu, saya percaya kita boleh memendekkan tempoh pembelajaran kita mengenai pengitaran semula dan mempertingkatkan lagi kadar pengitaran semula negara dengan segera.

Sebahagian besar daripada usaha kita untuk meningkatkan amalan kitar semula bergantung kepada penerapan nilai-nilai, sikap dan amalan pro-alam sekitar dalam kalangan rakyat Malaysia supaya kekal dengan pemikiran dan budaya negara maju, sebagai mana yang kita idamkan dalam wawasan 2020. Sesungguhnya, kita perlu menghargai, mengasihi dan menghormati alam sekitar.

Kini, dalam pemikiran ramai rakyat Malaysia, kitar semula hanya terhad kepada tong-tong kitar semula semata-mata. Namun kitar semula adalah jauh daripada itu; ia adalah satu cara hidup yang berkait rapat dengan nilai-nilai murni seperti tidak boros, sederhana dan menghargai nilai sesuatu benda. Sesungguhnya pemikiran kitar semula harus menjadi sebahagian daripada kebiasaan kita, baik di peringkat pembelian, penggunaan ataupun pembuangan.

Di samping itu, untuk menyokong dan mempermudahkan penjiwaan amalan kitar semula dalam diri setiap rakyat Malaysia, pihak-pihak berkuasa hendaklah bekerjasama dengan rakyat dan memastikan bahawa perkhidmatan yang diberi dan kemudahan infrastruktur yang disediakan adalah mencukupi, efisyen, konvenien, dan konsisten. Kementerian perumahan dan kerajaan tempatan perlu mengkaji aspek-aspek polisi dan perundangan yang boleh membantu mempertingkat amalan kitar semula dalam negara. Hal ini, termasuklah langkah- langkah untuk memberi galakan yang bersesuaian, terutama bagi penggunaan teknologi dalam aktiviti kitar semula.

Kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak- pihak berkuasa tempatan haruslah bekerjasama antara satu sama lain supaya dapat memberi perkhidmatan yang berkualiti dan responsif kepada pelanggan, termasuk dari segi pengurusan sisa buangan. Aspek ini amat penting kerana kita semua, sebagai penjawat awam, adalah pemegang amanah rakyat dan harus memberi tumpuan kepada tanggungjawab kita untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada mereka.

Dalam pada itu, kementerian perumahan, pihak berkuasa tempatan, pemaju perumahan, pengurus pusat membeli belah dan pihak-pihak lain mestilah memastikan bahawa pusat pengumpulan sisa buangan serta tong-tong kitar semula ditempatkan di lokasi-lokasi yang sesuai dan mudah diakses, seperti di kawasan perumahan, di pusat aktiviti komuniti, di pusat membeli-belah, dan juga di tempat pekerjaan, untuk memudahkan dan menggalakkan lebih ramai orang mengitar semula.

Untuk menyahut seruan kepimpinan melalui tauladan, dan dalam menjadi sebuah “role-model” bagi pihak-pihak yang lain, semua kementerian, jabatan serta agensi kerajaan, terutamanya yang berada di Putrajaya, mesti menempatkan tong-tong kitar semula di pejabat masing-masing dan mengambil langkah-langkah untuk menggalakkan semua pegawai kerajaan mengamalkan kitar semula. Untuk mengukuhkan lagi amalan kitar semula tersebut dalam kalangan pegawai dan keluarga mereka, setiap kawasan perumahan kerajaan, terutamanya di Putrajaya perlu dilengkapkan dengan pusat pengitaran semula.

Selain itu, kita boleh mengambil langkah-langkah berjimat cermat dalam penggunaan sumber-sumber di pejabat kita. Dalam usaha mengurangkan jumlah kertas yang digunakan di pejabat kerajaan dan sebagai langkah konkrit ke arah kerajaan tanpa kertas.  Dalam hal ini ketua setiausaha negara untuk mengeluarkan surat pekeliling kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan untuk menggalakkan penggunaan pencetakan komputer dwi-muka, dan juga menggalakkan penggunakan bahagian belakang muka surat yang telah digunakan untuk menulis atau mencetak draf-draf dokumen bukan rasmi.

Sebagai bandar moden dan terancang Putrajaya mesti menjadi contoh amalan kitar semula bagi rakyat dan majikan lain di seluruh negara. Amalan kitar semula harus bercambah, berakar dan menghijau di setiap pelosok tanah air.

Amalan kitar semula boleh dijalankan di peringkat nasional, kawasan, komuniti, serta individu. Oleh itu, kejayaan program kitar semula banyak bergantung kepada kerjasama yang erat dalam kalangan semua pihak. Semua individu, kerajaan persekutuan ataupun negeri, pihak berkuasa tempatan, swasta dan institusi pengajian sama-sama menjadikan kitar semula sebagai amalan hidup kita.

Perlaksanaan program kitar semula ini mesti diteruskan secara berpanjangan, bukannya bermusim.  Usaha untuk memastikan program ini berjaya perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda yang bakal mewarisi teraju kepimpinan negara kelak.