Kepentingan telefon bimbit

Talian komunikasi tanpa wayar atau telefon bimbit, ialah salah satu alat perhubungan atau komunikasi dan telah menjadi gaya hidup masyarakat dunia masa kini.  Memang tidak dapat dinafikan bahawa memiliki telefon bimbit banyak kelebihannya, mana tidaknya seseorang yang beribu-ribu batu jauhnya di pelosok dunia sekalipun dapat dihubungi juga.  Dengan adanya talian internet kita dapat mengetahui berita-berita penting dan terkini lebih cepat melalui telefon bimbit.

Alat perhubungan ini yang  pada satu ketika dahulunya dianggap barangan mewah, kini mampu dimiliki oleh setiap golongan masyarakat dunia. Malahan, ada ibu bapa yang mampu menyediakan alat komunikasi ini kepada anak-anak mereka sejak di bangku sekolah rendah lagi bagi memudahkan mereka menghubungi anak-anak. Telefon bimbit dapat menyampaikan pesanan secara pantas dan berkesan dan boleh menyimpan pelbagai maklumat juga.

Tidak keterlaluan jika telefon bimbit dikatakan lebih penting daripada komputer dan internet kerana telefon bimbit tidak memerlukan kuasa elektrik. Rupa bentuknya yang comel dan praktikal dengan dilengkapi kamera, perakam video, SMS, GPRS, WAP, WiFi dan kemudahan 3G, Blackberry dan Iphone yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Dengan teknologi terkini kita boleh melihat wajah siapa-siapa yang kita hubungi. Kini boleh menghubungi talian Internet juga bagi mengetahui berita yang dilaoprkan di luar Negara. Banyak yang diperoleh apabila kita dapat menggunakan Internet.

Lebih menarik lagi, telefon bimbit dapat menyimpan dan memaklumkan akan jadual harian. Pendek kata, telefon bimbit dapat menyelesaikan masalah yang selama ini sukar untuk dibuat. Dalam dunia hari ini anda akan dianggap ketinggalan zaman sekiranya tidak memiliki telefon bimbit.

Dalam pada itu, tidak dinafikan telefon bimbit juga boleh membawa kemudaratan. Misalnya telefon bimbit boleh menyebabkan berlakunya pembaziran jika disalahgunakan. Malahan sesetengah individu sanggup berhabis duit untuk menukar telefon mereka dengan model telefon terbaru. Bagi pelajar, ada yang sanggup mengikat perut asal sahaja talian tidak terputus. Hal ini, ditambah pula dengan tindakan para pelajar merakam aksi-aksi mereka yang mencolok mata lalu memuat turun rakaman tersebut di Youtube.

Advertisements

Langkah-langkah untuk mengurangkan kemalangan jalan raya

Kemalangan jalan raya bukanlah satu perkara baharu di negara kita, malahan sejak sekian lama kadar kemalangan di jalan raya yang berlaku di negara ini merupakan antara yang tertinggi di dunia.  Kemalangan tersebut telah banyak menyebabkan kehilangan nyawa, terutamanya kemalangan yang melibatkan penunggang motorsikal dan kemalangan bas. Oleh sebab itu, kerajaan telah melakukan langkah-langkah yang sewajarnya bagi mengurangkan kemalangan jalan raya di negara ini. Contohnya, semasa musim perayaan Hari Raya baru-baru ini, kerajaan telah melancarkan operasi yang dikenali dengan ‘Ops Selamat’

Antara langkah yang patut dilakukan ialah undang-undang keselamatan jalan di jalan raya perlu diperketat supaya kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Syarat lulus bagi ujian kelas memandu juga haruslah diperketat. Selain itu, para pemandu diwajibkan menduduki peperiksaan setiap dua tahun untuk menyegarkan ingatan dan membiasakan mereka dengan kemahiran yang diajarkan dalam kelas memandu dahulu. Keadaan kenderaan seperti tidak berlampu dan sistem brek yang rosak merupakan antara  penyebab utama kemalangan di jalan raya. Oleh itu, para pemandu perlu sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik sebelum digunakan, khususnya untuk perjalanan yang jauh. Sehubungan dengan hal itu, pihak kerajaan haruslah mewajibkan pemilik  kenderaan menghantar kenderaan ke Puspakom untuk diperiksa setiap tahun dan mengenakan denda terhadap mereka yang mengingkarinya.

Kemalangan jalan raya yang kerap berlaku sejak belakangan ini adalah berpunca daripada sikap pemandu yang suka memandu  melebihi had laju yang ditetapkan. Dalam hal ini, had laju yang sedia ada wajar dikurangkan, khususnya di kawasan lebuh raya, walaupun sesetengah pemandu sememangnya tidak bersetuju dengan cadangan ini, tetapi apabila suatu peraturan itu telah ditetapkan, mereka harus mematuhinya.

Denda juga harus dikenakan terhadap pengguna yang memandu melebihi had yang ditetapkan. Jika seseorang pemandu itu didapati melakukan kesalahan yang sama lebih daripada dua kali, maka lesen memandu mereka perlu digantung. Tindakan ini sudah pasti akan dapat membuka mata pengguna-pengguna lain. Sikap tidak mengambil peduli akan keselamatan diri dan juga keselamatan pengguna yang lain semasa di jalan raya dalam kalangan pengguna selama ini pasti akan terhakis apabila amaran menggantung lesen memandu mereka dikeluarkan.

Pengguna juga perlu disedarkan tentang tanggungjawab mereka ketika berada di jalan raya melalui kempen-kempen keselamatan jalan raya oleh pihak tertentu, bak kata pepatah,’ janganlah sudah terhantuk baru hendak terngadah’ kerana apabila sesuatu kecelakaan sudah berlaku, tiada guna menyesalinya lagi, kerana nasi sudah pun menjadi bubur.

Punca-punca masalah sosial dalam kalangan remaja.

Mukadimah

Mengapa cikgu tidak menggunakan rangkai kata punca-punca “gejala”  sosial dalam kalangan remaja?

Cikgu tidak menggunakan rangkai kata punca-punca “gejala”  sosial dalam kalangan remaja kerana menurut  Kamus Dewan ‘gejala’ bermaksud petanda atau tanda-tanda. Maka kalau ditulis punca-punca “gejala”  sosial dalam kalangan remaja, bermaksud punca-punca petanda atau tanda-tanda sosial dalam kalangan remaja. Oleh itu, pada pandangan cikgu masalah sosial atau penyakit sosial dalam kalangan remaja adalah lebih sesuai. 

Masalah sosial dalam kalangan remaja bermaksud salah laku sosial yang dilakukan oleh golongan remaja. Masalah sosial seperti membuli rakan, mencuri, terlibat dengan lumba haram dan sebagainya bukanlah sesuatu yang baharu dalam kalangan remaja pada hari ini. Malahan, masalah ini semakin menjadi-jadi dari hari ke hari sehingga telah membimbangkan banyak pihak. Misalannya, sepanjang tahun 2010 sebanyak, 5,165 kes yang melibatkan remaja dilaporkan, masing-masing 1,947 kes membabitkan pelajar dan 3,218 kes oleh bukan pelajar, iaitu peningkatan 38 peratus dan 43 peratus berbanding 2009.   Sesungguhnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan fenomena ini terus berleluasa.

Gejala kurang sihat ini berlaku kerana para remaja kurang perhatian daripada ibu bapa, khususnya bagi ibu bapa yang bekerja di bandar. Ibu bapa sibuk bekerja sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Akibat keletihan, mereka langsung tidak mahu mengambil tahu tentang pelajaran anak-anak, apatah lagi untuk meluangkan masa bagi mendengar masalah anak-anak mereka. Hal ini pasti menyebabkan anak-anak berasa bosan, sekali gus menyebabkan anak-anak mencari jalan keluar untuk menghiburkan hati.

Selain itu, golongan remaja terjebak dalam gejala negatif juga akibat bergaul dengan kumpulan yang salah. Ada sesetengah ibu bapa pula berpendapat bahawa pemberian wang yang secukupnya kepada anak-anak sudah memadai. Dalam hal ini, ibu bapa seharusnya tahu bahawa kasih sayang tidak dapat ditukar ganti dengan wang.

Sementara itu, segolongan remaja pula mengambil jalan mudah dengan melakukan perbuatan yang tidak baik kerana hendak melarikan diri daripada masalah yang menimpa keluarga mereka. Contohnya perceraian antara ibu bapa mereka.dan pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara punca berlakunya gejala sosial di negara kita. Para remaja yang buntu dengan masalah yang dihadapi keluar dari rumah dan mencari kebebasan dengan bergaul dengan kumpulan yang tidak senonoh.

Penglibatan golongan remaja dalam kegiatan jenayah ini dapat diatasi jika semua pihak memainkan peranan masing-masing. Guru-guru, misalnya boleh memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian yang ungugul dalam kalangan para pelajar di sekolah. Kaunseling kepada para pelajar yang bermasalah tentunya dapat membantu mengatasi masalah yang dihadapi dengan lebih tenang dan rasional.

Dalam pada itu, guru-guru juga mesti menjalankan aktiviti-aktiviti kokurikulum juga boleh dijalankan dengan berkesan supaya para pelajar tidak mempunyai alasan untuk melepak. Di samping itu, pendidikan agama haruslah diterapkan dalam kalaangan anak-anak sejak mereka kecil lagi. Pendidikan Moral dan agama amat perlu  dipertingkankan  kerana semua agama mendidikr penganutnya supaya berkelakuan baik.

Tegasnya, banyak punca remaja ini terlibat dengan masalah sosial. Oleh tu, semua pihak harus bekerjasama dalam menentukan golongan remaja yang akan meneruskan kepemimpinan negara pada masa hadapan.  Sikap masayarakat kita yang ‘tidak mahu menjaga tepi kain orang’ haruslah diubah.  Anggota masyarakat sepatutnya prihatin dengan melaporkan segala kegiatan salah laku yang melibatkan golongan remaja kepada pihak yang berkuasa.