Faktor-faktor yang menyebabkan masyarakat lebih gemar membaca bahan bacaan picisan berbanding dengan buku ilmiah

PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN

TINGKATAN 1

MEI 2011

Bahagian A(i)

[Masa yang dicadangkan: 40 minit]

[20 markah]

 

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan tulis suatu ringkasan tentang faktor-faktor yang menyebabkan masyarakat lebih gemar membaca bahan bacaan picisan berbanding dengan buku ilmiah. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah kata. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Minat membaca di kalangan masyarakat memang tinggi jika dilihat daripada sambutan yang luar biasa terhadap buku dan majalah popular yang berbentuk picisan. Bahan picisan itu boleh ditakrifkan sebagai bahan bacaan yang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada pembaca. Bahan bacaan sebegini juga tidak mengandungi unsur-unsur keilmuan dan pendidikan serta  mengandungi  humor, hiburan, pornografi dan keganasan yang banyak. Contoh bahan picisan ialah komik- komik dan majalah-majalah remaja.

Keghairahan para penerbit yang berlumba-lumba untuk menerbitkan buku atau majalah picisan ini hingga menjadi lambakan di kedai-kedai buku adalah antara faktor yang menggalakkan masyarakat lebih gemar membaca bahan bacaan picisan ini. Kita tidak boleh berbangga dengan peningkatan minat membaca kalau tumpuan hanya diberikan kepada bahan-bahan bacaan yang berbentuk  picisan semata-mata kerana membaca bahan-bahan ini boleh membawa kesan negatif dan tentu sekali tidak mampu mengasah minda supaya masyarakat lebih kreatif dan berfikir dengan lebih bijak dan rasional. Bagi remaja pula, mereka mungkin akan meniru aksi-aksi yang terkandung dalam bahan picisan itu. Contohnya adegan pergaduhan. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka sentiasa berkeinginan untuk melakukan sesuatu perkara yang tidak pernah mereka lakukan, mereka sentiasa ingin mencuba. Di samping itu, hal ini juga akan meningkatkan gejala sosial dalam kalangan masyarakat.

Dalam konteks inilah masyarakat, terutamanya remaja lebih gemar membaca bahan-bahan picisan ini kerana kandungannya yang menyeronokan dan memberi kepuasan kepada mereka.  Hal ini terjadi demikian, kerana budaya membaca rakyat Malaysia yang belum mantap lagi.  Selain itu, segelintir masyarakat Malaysia lebih gemar membaca bahan-bahan tentang hiburan, gosip dan rekaan. Hal ini amat meresahkan kita terutamanya apabila kita terbaca kenyataan yang mendakwa buku-buku ilmiah tidak dibaca tersadai  di gedung percetakan Dewan Bahasa dan Pusataka, tambahan pula ahli-ahli akedemik kurang menulis buku yang bersifat ilmiah.  Bagi kebanyakan pelajar pula, mereka tidak berminat untuk membaca buku ilmiah kerana bahan ilmiah dikatakan membosankan dan remeh-temeh bagi mereka, kalau bembaca pun mereka  hanya membaca buku ilmiah untuk tujuan peperiksaan sahaja.

Isu masyarakat lebih gemar membaca bahan bacaan picisan berbanding dengan buku ilmiah, harus dilihat secara keseluruhan dan bukannya menyalahkan satu-satu pihak sahaja. Misalnya, kos pembelian turut mempengaruhi minat remaja untuk membeli bahan-bahan picisan tersebut. Harga bahan-bahan picisan adalah lebih murah berbanding dengan bahan ilmiah. Harga untuk bahan-bahan picisan hanyalah sekitar RM3.00 hingga RM5.00 tetapi untuk bahan-bahan ilmiah, ada yang mencecah ratusan ringgit. Satu lagi faktor sebab hal ini berlaku dapat dilihat pada keadaan bahan-bahan picisan itu sendiri yang mempunyai ilustrasi gambar yang menarik dan berwarna-warni sedangkan pada bahan-bahan ilmiah hanya terdapat warna hitam dan putih sahaja.

Kesimpulannya, masyarakat negara ini lebih gemar membaca buku-buku atau majalah yang menghidangkan bahan bacaan berbentuk hiburan atau rekaan semata-mata daripada membaca bahan bacaan bermaklumat dan berisi ilmu dan pengetahuan.

Pemahaman Bahagian A (ii). Jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

  1. Berikan maksud rangkai kata  mengasah minda dalam petikan. [2 markah]
  2. Nyatakan dua kesan negatif akibat membaca bahan-bahan picisan ? [4 markah]
  3. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang patut dilakukan untuk menggalakkan masyarakat membaca bahan bacaan yang berbentuk ilmiah ? [4 markah]

Skema pemarkahan Peperiksaan Pertengahan Tahun Mei 2011

Bahagian A(i)

  1. Keghairahan para penerbit yang berlumba-lumba untuk menerbitkan buku atau majalah picisan ini hingga menjadi lambakan di kedai-kedai buku
  2. Remaja lebih gemar membaca bahan-bahan picisan ini kerana kandungannya yang menyeronokkan dan memberi kepuasan kepada mereka.
  3. Hal ini terjadi demikian, kerana budaya membaca rakyat Malaysia yang belum mantap lagi.
  4. Selain itu, segelintir masyarakat Malaysia lebih gemar membaca bahan-bahan tentang hiburan, gosip dan rekaan.
  5. Tambahan pula ahli-ahli akedemik kurang menulis buku yang bersifat ilmiah.
  6. Bagi kebanyakan pelajar pula, mereka tidak berminat untuk membaca buku ilmiah kerana bahan ilmiah dikatakan membosankan dan remeh-temeh bagi mereka
  7. mereka  hanya membaca buku ilmiah untuk tujuan peperiksaan sahaja
  8. Harga bahan-bahan picisan adalah lebih murah berbanding dengan bahan ilmiah.
  9. Satu lagi faktor sebab hal ini berlaku dapat dilihat pada keadaan bahan-bahan picisan itu sendiri yang mempunyai ilustrasi gambar yang menarik
  10. pada bahan-bahan ilmiah hanya terdapat warna hitam dan putih sahaja.

SKEMA JAWAPAN

Pemahaman Bahagian A (ii). Jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

  1. Berikan maksud rangkai kata  mengasah minda dalam petikan. [2 markah]

Maksud rangkai kata  mengasah minda dalam petikan ialah

  • memupuk fikiran
  • menajamkan akal
  • mempertajam akal
  • memupuk daya berfikir
  • meningkatkan keupayaan akal/berfikir.

2.  Nyatakan dua kesan negatif akibat membaca bahan-bahan picisan ? [4 markah]

Dua kesan negatif akibat membaca bahan-bahan picisan ialah

  • bahan tersebut tentu sekali tidak mampu mengasah minda supaya masyarakat lebih kreatif dan berfikir dengan lebih bijak dan rasional.
  • Selain itu, bagi remaja pula, mereka mungkin akan meniru aksi-aksi yang terkandung dalam bahan picisan itu. Di samping itu, membaca bahan picisan juga akan meningkatkan gejala sosial dalam kalangan masyarakat.

3.  Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang patut dilakukan untuk menggalakkan masyarakat membaca bahan bacaan yang berbentuk ilmiah ? [4 markah]

Advertisements

PENGIMBUHAN AWALAN MEN-PADA KATA PINJAMAN

k

komersial – mengkomersialkan

komunikasi – mengkomunikasikan

kafir – mengkafirkan

konsepsi – mengkonsepsikan

kategori – mengkategorikan

korporat – mengkorporatkan

kritik – mengkritik

koordinasi – mengkoordinasikan

kuantifikasi – mengkuantifikasikan

komputer – mengkomputerkan

kredit – mengkreditkan

klasifikasi – mengklasifikasikan

kristal – mengkristalkan

kuantiti – mengkuantitikan

p

pamer – mempamerkan

personifikasi – mempersonifikasikan

plaster – memplaster

polemik – mempolemikkan

politik – mempolitikkan

popular – mempopularkan

s

servis – menservis

simulasi – mensimulasikan

stabil – menstabilkan

standard – menstandardkan

steril – mensteril

swasta – menswastakan

syampu – mensyampu

syariat – mensyariatkan

syelek – mensyelek

syarat – mensyaratkan

sabotaj – mensabotajkan

syukur – mensyukuri

syarikat – mensyarikatkan

struktur – menstrukturkan

skru – menskru

syirik – mensyirikkan

t

tabligh – mentablighkan

tadbir – mentadbir

tafsir – mentafsirkan

takdir – mentakdirkan

taksir – mentaksirkan (melalaikan)

takrif – mentakrifkan (mendefinisikan)

takwil – mentakwilkan

talkin – mentalkinkan

takbir – mentakbirkan (mimpi)

tauhid – mentauhidkan

tauliah – mentauliahkan

terjemah – menterjemahkan

tradisi – mentradisikan

transformasi – mentrasformasikan

transkripsi – mentranskripsikan

transliterasi – mentransliterasikan

Petua mudah untuk meringkaskan karangan

PETUA MUDAH UNTUK MERINGKASKAN KARANGAN

  • Baca soalan (dah baca mestilah faham perkara pokok/tajuk petikan)
  • Baca petikan sekali lalu (walaupun cikgu tahu ada yang membaca terus mencari dan menggaris garis isi, tetapi sebaik-baik nya jangan berbuat begitu)
  • Baca petikan sekali lagi.  Pada kali ini barulah anda menggaris isi ringkasan
  • Sebaik-baiknya cari 6 isi. Garis dan nomborkan setiap isi supaya kita tahu jumlah isi yang sudah ditemui.
  • Tulis SATU isi dalam SATU ayat dengan AYAT SENDIRI  yang ringkas, tepat dan padat.
  • AYAT SENDIRI -Ayat sendiri bermaksud ayat yang tidak disalin bulat-bulat daripada petikan dari mula hingga akhir. Maksudnya ialah tiada perubahan perkataan, pengguguran atau penggantian perkataan dibuat. Menggunakan ayat sendiri bukan bermaksud pelajar mesti  melakukan perubahan seperti pengguguran perkataan atau penggantian perkataan atau penukaran satu atau lebih perkataan dengan perkataan lain yang difikirkan sesuai. Sebenarnya dalam jawaban ringkasan PMR pelajar tidak digalakkan menukarkan kata kunci jawaban kepada perkataan lain kerana hal ini mungkin akan mengubah maksud asal pertikan dan sudah tentu akan menyusahkan guru atau pemeriksa.
  • Guru patut menerangkan kepada pelajar tentang konsep ayat sendiri dalam jawaban ringkasan supaya para pelajar  tidak menulis jawaban yang menyimpang atau jauh berbeza dengan jawapan dalam skema jawaban peperiksaan.  Jika hal ini berlaku, sudah tentu markah untuk isi akan dipotong atau pun tiada markah jika isi tersebut terpesong daripada skema.
  • Sehubungan dengan itu, untuk memantapkan ayat ringkasan lagi para pelajar hanya perlu menambahkan penanda wacana dan kata hubung yang sesuai seperti berikut.

 

Antara _________________(ayat tajuk)_______________ialah _____________(isi 1)____________________. Seterusnya, ___________(isi 2)___________________.  Selain itu, _____________________(isi 3) __________________.  Begitu juga dengan _____________(isi 4)____________. Di samping itu, __________________(isi 5)____________________.  Akhir sekali, _______________(isi 6)__________________.

  • Penanda wacana lain yang boleh digunakan ialah seperti sementara itu, dalam pada itu, di sebalik semua itu dan lain-lain seumpamanya.

Berdasarkan pengalaman mengajar, petua ini amat berkesan terutamanya bagi pelajar-pelajar yang lemah.

Peringatan dalam meringkaskan karangan1.             Pelajar tidak boleh menyatakan pendapat ataupun pandangan sebaliknya hanya perlu menyatakan isi bedasarkan kehendak soalan.

  1. TIDAK BOLEH menyalin ayat dalam petikan bulat-bulat dari mula hingga akhir.
  2. Tidak boleh menggugur-gugurkan  ayat dan mencantumkannya menjadi satu ayat.
  3. Tidak boleh menyalin isi secara terpilih dan menulis ringkasan tanpa menggunakan penanda wacana dan kata hubung yang sesuai.
  4. Ringkasan bermaksud menulis ISI PENTING berdasarkan soalan.
  5. Tulis isi ringkasan mengikut urutan isi dalam petikan.
  6. Tulis ringkasan hanya dalam SATU PERENGGAN dalam jumlah TIDAK MELEBIHI 80 patah perkataan.

Cara atau petua ini adalah pandangan peribadi penulis berdaraskan pengalaman mengajar.  Cara ini tidak semestinya betul dan bukan cara mutlak yang mesti diikuti, bak kata peribahasa lain padang, lain belalangnya. Lain orang, lain caranya.

Kelemahan sistem pendidikan

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kelemahan-kelemahan sistem pendidikan yang terlalu mementingkan peperiksaan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan untuk menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

 

Setiap ibu bapa pasti mengharapkan anak mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan supaya anak mereka dapat meneruskan pengajian atau sebagai tiket untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. Namun, kecemerlangan akademik semata-mata belum mencukupi jika tidak disokong dengan daya ketahanan untuk menghadapi cabaran. Sehubungan dengan itu, hasrat Kementerian Pelajaran untuk mencari pendekatan baru pendidikan bagi mengurangkan ujian dan peperiksaan yang dianggap tidak praktikal lagi. Diterima baik oleh masyarakat. Melalui pemantauan yang dilakukan telah didapati sistem yang terlalu mementingkan peperiksaan tidak sesuai lagi kerana tidak menguji kemampuan sebenar pelajar, sekali gus membebankan pelajar dan guru.

Sistem pendidikan yang baru akan diperkenalkan secara berperingkat-peringkat di sekolah-sekolah tertentu. Sistem ini akan diuji keberkesanannya selama lima tahun, kemudian barulah ditentukan sama ada sistem baru tersebut akan diperluas ke semua sekolah atau tidak. Dalam proses tersebut penambahbaikan akan dilakukan terhadap mana-mana kecacatan supaya pelaksanaannya benar-benar berkesan. Sistem pendidikan juga memerlukan perubahan kurikulum, buku teks dan perubahan lain-lain. Kini, guru bimbang untuk menggunakan kaedah lain-lain kerana takut terkeluar daripada ketetapan Kementerian Pelajaran akibatnya, motivasi pelajar merosot kerana dipaksa belajar mengikut jadual waktu, bukannya mengikut minat mereka seperti yang sepatutnya.

Sesungguhnya, kita menyedari kesan nyata daripada kepincangan sistem pendidikan negara ialah wujudnya fenomena pengangguran dalam kalangan siswazah akibat tidak tahu memanfaatkan ilmu yang mereka peroleh. Masalah itu berlaku kerana sistem pendidikan dikekang birokrasi sehingga sukar berubah. Jelaslah sistem pendidikan yang ada sekarang, melahirkan pelajar yang hanya tahu menjawab soalan tetapi tidak boleh berfikir. Kesannya, pelajar berlumba-lumba pergi ke kelas tuisyen dan meninggalkan saat-saat indah bersama keluarga dan mengabaikan aktiviti-aktiviti beriadah dan aktiviti kemasyarakatan.

Masyarakat pula berpandangan bahawa hanya mereka yang memperoleh pangkat A dalam setiap pelajaran sahaja pelajar yang cemerlang, tetapi pelajar yang gagal dalam peperiksaan dianggap gagal dalam segala-galanya. Hal ini telah menyebabkan para pelajar tertekan untuk memperoleh keputusan yang baik sehingga hilang keseronokan belajar. Kini segala-galanya terpulang kepada ahli-ahli akademik dan para pemikir pada peringkat tertinggi untuk mengenal pasti sistem pendidikan baru yang sesuai diamalkan.

 

  1. Berikan maksud menguji kemampuan dalam petikan. [2 markah]
  2. Apakah tahap-tahap yang perlu dilakukan untuk menilai sistem baru pendidikan sebelum sistem tersebut dapat dilaksanakan di semua sekolah? [4 markah]
  3. Kebanyakan pelajar sekarang lemah dalam aspek sahsiah dan kurang mahir berkomunikasi walaupun mendapat pangkat A dalam semua mata pelajaran.  Pada pendapat anda, mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]

Kepentingan menghayati Rukun Negara

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan menghayati Rukun Negara. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Sejak di bangku sekolah lagi telah kita telah dididik dengan semangat prinsip Rukun Negara yang menjadi teras perpaduan rakyat pelbagai bangsa dan agama di negara ini. Rukun Negara yang mengandungi lima prinsip, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluruhan Perlembagaan; Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan itu adalah antara resipi kejayaan Negara dalam menyatupadukan rakyat. Walau bagaimanapun, kini penghayatan Rukun Negara semakin terhakis dari jiwa rakyat Malaysia apabila mereka menempuh alam dewasa.

Antara punca yang menyebabkan  gejala sosial dalam kalangan remaja semakin meningkat sejak belakangan ini adalah sebab penghayatan terhadap Rukun Negara yang kurang. Bagi mengingatkan rakyat tentang kepentingan mempertahan prinsip-prinsip Rukun Negara, kerajaan telah melancarkan Kempen Menghayati Rukun Negara. Semangat Rukun Negara yang telah tersemadi dalam sanubari rakyat sejak lebih 35 tahun dahulu perlu dikekalkan terus. Penghayatan Rukun Negara amat penting kerana mampu mendidik seseorang supaya menghormati kaum-kaum lain. Malah, Rukun Negara dapat mewujudkan perasaan hormat-menghormati dan bertoleransi bagi mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Lima prinsip Rukun Negara yang merangkumi pelbagai aspek dalam masyarakat adalah pemangkin keamanan dan kerharmonian negara. Rukun Negara juga mampu melahirkan masyarakat Malaysia yang demokratik, saintifik dan progresif selain bersifat terbuka terhadap cara hidup rakyat pelbagai kaum.  Rukun Negara juga dapat mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran Negara dapat dinikmati bersama kerana lima prinsip Rukun Negara sebenarnya adalah saling lengkap-melengkapi.

Prinsip  kepercayaan kepada Tuhan mampu menerapkan kepercayaan beragama yang boleh mengukuhkan ikatan pelbagai kaum di Malaysia serta melahirkan rakyat yang mempunyai jati diri yang padu. Rukun Negara juga mendidik kita menjunjung tinggi nilai kesetiaan kepada Raja dan negara kerana Raja adalah lambang perpaduan negara.  Tidak kurang pentingnya Rukun Negara juga mendidik kita supaya menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Negara.

Kejadian tidak menghormati institusi beraja dan mengheret  institusi  raja ke dalam kemelut politik yang kian meningkat dewasa ini adalah berpunca daripada sikap segelintir pihak yang tidak menghayati Rukun Negara. Oleh itu,  usaha untuk memastikan rakyat menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara sepanjang masa merupakan langkah tepat dan perlu melibatkan segenap lapisan masyarakat.

Bahagian A (ii): Pemahaman

  1. Berikan maksud semakin terhakis dari jiwa dalam petikan. [2 markah]
  2. Apakah perkara-perkara yang telah berlaku akibat  sikap masyarakat yang tidak menghayati semangat Rukun Negara? [4 markah]
  3. Masyarakat sekarang semakin kurang menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara. Pada pendapat anda, mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]

Petua mudah meringkaskan karangan

PETUA MUDAH MERINGKASKAN KARANGAN

Guru perlu menjelaskan secara mudah, supaya pelajar faham.

  • Tulis isi ringkasan mengikut  urutannya dalam petikan
  • Dapatkan 6 isi.
  • Tinggalkan perkara yang merupakan keterangan bagi isi pokok.
  • Jangan masukkan keterangan dan contoh .
  • Isi yang telah dikenal pasti mesti digaris dan dinomborkan 1-6, supaya pelajar tahu berapa jumlah isi yang ada.
  • Ayat-ayat yang dibina harus ringkas, tepat dan padat.
  • Jangan mengubah perkataan sesuka hati untuk mengelakkan ringkasan berubah daripada maksud asal.
  • INGAT-JANGAN tulis perkara yang tidak dinyatakan dalam petikan ataupun memberikan pendapat sendiri dalam ringkasan karangan.
  • Tulis ringkasan hanya dalam SATU perenggan
  • Jangan buat pengenalan dan kesimpulan
  • Jangan menulis  daripada 80 patah perkataan.

MENGESAN ISI

Untuk mengesan isi dalam sesuatu petikan, pelajar perlu:

  • Dapatkan tema keseluruhan petikan. Tema ini mudah ditemui dalam soalan. Contohnya.  tulis sebuah ringkasan tentang faedah menyertai kegiatan kokurikulum kepada pelajar (inilah tema atau tajuk).

AYAT ACUAN UNTUK MENULIS RINGKASAN

Antara…………………(tajuk)……………………………… ialah ……………………..(isi 1)……………………. Selain itu, ………………………(isi 2)…………………………………….. Seterusnya, ………………… (isi 3)…………………….. Begitu juga, ………………………..(isi 4)…………………………………….. Di samping itu, …………………………..(isi 5)……………. Akhir sekali ,………………………………(Isi 6) …………………………………………………………..

Punca-punca banjir kilat

Bahagian A (i)

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang punca-punca banjir kilat. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Banjir kilat ialah banjir yang berlaku dengan serta-merta atau dengan tidak disangka-sangka. Banjir kilat adalah antara bencana alam yang kerap berlaku di negara kita dan boleh mendatangkan beberapa kesan buruk terhadap semua hidupan sehingga boleh membawa kematian.

Banjir kilat berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah akibat hujan yang berterusan. Hujan yang berterusan tanpa berhenti-henti selama beberapa jam akan menyebabkan banjir berlaku. Di kawasan-kawasan rendah, air hujan akan dialirkan ke sungai. Air yang memenuhi sungai akan melimpah keluar sehingga menyebabkan kawasan tanah rendah dipenuhi air.

Proses pembandaran menyebabkan banyak kawasan yang dipermoden. Kawasan-kawasan tanah rendah telah ditebus guna dengan mengambil tanah dari kawasan bukit. Ada juga anak-anak sungai yang ditimbus untuk dijadikan tapak bangunan. Aktiviti-aktiviti seperti ini merupakan faktor penyebab berlakunya banjir kilat kerana apabila hujan turun, air akan mengalir dari kawasan bukit ke kawasan yang rendah dan kemudian bertakung, maka lama-kelamaan air akan bertambah dan banjir kilat akan berlaku.

Hakisan sungai yang kerap berlaku juga boleh mendatangkan banjir kilat. Faktor semula jadi berlaku apabila hujan turun dengan lebat, air akan mengalir deras and menghakis tebing-tebing sungai. Akhirnya tanah tebing akan runtuh dan membentuk satu mendapan di dasar sungai. Seterusnya sungai akan menjadi cetek. Begitu juga dengan aktiviti manusia yang suka membuang sisa-sisa domestik seperti sampah-sarap dan sisa-sisa industri ke dalam sungai boleh menyebabkan sungai menjadi cetek dan pengaliran air tersekat. Apabila hujan lebat turun, sungai tersebut tidak dapat megalirkan air hujan yang banyak. Akhirnya air sungai akan melimpah ke tebing dan dengan ini banjir akan berlaku.

Hutan yang berperanan menyerap air hujan juga semakin berkurangan.  Hal ini menyebabkan air hujan terus turun ke bumi tanpa diserap oleh tumbuhan. Hujan yang turun dengan lebat menyebabkan air mengalir dengan banyak ke dalam sungai. Apabila sungai tidak dapat menampung air hujan dalam jumlah yang banyak, maka berlakulah banjir kilat.

Masalah banjir kilat yang sering melanda bandar pula adalah disebabkan kekurangan sistem perparitan yang sempurna. Parit yang dibina terlalu kecil dan cetek serta sering tersumbat. Apabila berlaku hujan lebat parit tersebut tidak dapat menampung sejumlah air yang banyak, maka air melimpah keluar dari parit menyebabkan banjir kilat berlaku.

Hujan dan banjir merupakan fenomena alam yang berlaku secara semula jadi dan membawa rahmat kepada manusia, tetapi jika kita tidak mengambil lankgah-langkah untuk memelihara kelangsungan alam serta tidak melakukan aktiviti pembangunan dengan terancang, maka masalah banjir kilat akan betrerusan.

Bahagian A (ii)

  1. Berikan maksud   memelihara kelangsungan alam dalam petikan. [2 markah]
  2. Bagaimanakah hakisan sungai berlaku? [4 markah]
  3. Pada pendapat anda, apakah langkah yang patut dilakukan untuk mengurangkan banjir kilat di negara kita? [4 markah]