Masa Depan Industri Kraf Kebangsaan

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah melakukan inisiatif mengadakan Hari Kraf Kebangsaan bagi mengiktiraf pengusaha dan penggiat kraf dalam mengembangkan industri kraf negara. Walaupun kraf tidak memberi pulangan yang lumayan tetapi jika diusahakan secara lebih teratur, perusahaan ini boleh membantu meninggikan pendapatan ramai yang bekerja separuh masa atau bersendirian yang biasanya berpendapatan rendah.

Kraf adalah industri warisan yang bergantung banyak kepada kecekapan tangan individu yang terlibat. Ada yang begitu cekap sehingga hasil kerja mereka begitu halus dan bernilai amat tinggi. Di beberapa negara Timur, termasuk Jepun, pekerja yang tercekap sekali dijadikan Khazanah Negara atau “National Treasure” dan mereka dibantu oleh kerajaan supaya mereka dapat meneruskan kerja tangan mereka dan tidak meninggalnya kerana ingin bekerja dalam bidang yang memberi pendapatan yang lebih. Dengan itu kecekapan ini dapat dikekalkan walaupun permintaan untuknya tidak sebegitu.
Tetapi mereka yang menjadi “National Treasure” ini dikehendaki menurunkan kecekapan mereka kepada generasi yang muda supaya seni kraf ini tidak akan luput. Dengan cara ini satu daripada warisan kita tidak akan hilang.

Namun kraf masih dapat memberi kerja dan pendapatan jika diuruskan secara komersial. Walaupun produk kraf adalah hasil kerja tangan tetapi cara kerja seperti ini tidak dapat membekalkan jumlah yang cukup untuk permintaan yang besar (mass consumption) bagi semua barangan di zaman ini). Kita tidak lagi boleh buat satu dua barangan seminggu secara sambilan untuk menjualnya di kampung atau bandar berdekatan hanya apabila siap. Pasaran sekarang memerlukan bekalan yang banyak yang disiapkan mengikut jadual pesanan. Kualiti juga mestilah tinggi dan sama untuk satu-satu produk yang dikeluarkan.

Hasil kerja tangan yang bergantung kepada kecekapan masing-masing pekerja tetap tidak sama daripada segi kualiti dan ukuran. Bekalan juga tidak menentu kerana kerja di rumah tidak tertakluk kepada disiplin tempat kerja terutama masa bekerja. Pelanggan akan kecewa apabila pesanan tidak ditunaikan mengikut jadual yang dipersetujui. Hasil kerja tangan tidak mungkin tinggi jumlahnya sedangkan dalam zaman “mass consumption” jumlah yang amat besar diperlukan. Jumlah untuk menguji pesanan sahaja pun amat besar sehingga pengusaha kraf tidak dapat membekalnya.

Pasaran menentukan jaya atau gagalnya industri. Jenis industri yang tidak mampu memenuhi permintaan pasaran tidak akan maju bahkan akan hilang terus. Banyak sudah industri tradisional yang tidak ada lagi. Justeru itu jika industri kraf hendak dikekal dan dimajukan, selera dan permintaan pasaran mestilah diambilkira.

Walaupun kraf melibatkan kerja tangan tetapi cara bekerja tidak semestinya sambilan dan diusahakan bersendirian. Kraf juga boleh diusaha secara teratur dengan mengadakan kilang yang mengamalkan disiplin tempat kerja. Kerja-kerja yang dibuat tidak perlu dilakukan oleh seorang pekerja dari mula sehingga ke peringkat akhir dengan terhasil barang yang sedia untuk dijual. Sebenarnya kerja-kerja yang diperlukan boleh dibahagi-bahagi supaya pekerja tertentu membuat sebahagian sahaja daripada kerja yang diperlukan. Kerja- kerja lain disusuli oleh pekerja lain dan seterusnya sehingga barang berkenaan dihasil sepenuhnya.

Dengan bekerja mengikut jadual dan pembahagian kerja seperti dalam industri-industri moden yang lain, maka bukan sahaja barangan berkenaan akan sama kualiti dan ukurannya tetapi pengeluaran akan dapat dipercepatkan dan jumlah akan menepati permintaan pasaran. Masa bekerja mestilah ditetapkan mengikut amalan kilang-kilang industri lain. Pekerja boleh dibayar gaji tetap dan juga peratusan tertentu daripada keuntungan. Pekerja juga boleh melabur dalam kilang kraf seperti dengan perniagaan-perniagaan lain.

Seperkara lagi ialah penggunaan alatan dan mesin yang boleh menolong percepatkan dan menentukan ukuran dan kualiti kerja-kerja tertentu. Sudah tentu barangan yang dihasilkan dengan mesin bukanlah kraf yang sebenar. Tetapi untuk bahagian kerja tertentu mesin boleh digunakan. Membelah buluh dan menyediakan bahan untuk anyaman atau melukis batik dan lain-lain yang sesuai untuk mesin sepatutnya tidak dibuat dengan tangan. Mengulang sesuatu “design” yang sama juga lebih baik dibuat dengan mesin.

Penggunaan mesin untuk kerja-kerja tertentu dalam menghasilkan barangan kraf akan menjamin keluaran yang lebih besar yang mana ini akan menolong bekalan untuk pasaran dengan secukupnya.

Sesuatu barangan kraf yang dibuat sepenuhnya dengan tangan akan mendapat nilai dan harga yang tinggi. Tetapi jumlahnya tidak akan mencukupi untuk pasaran “mass consumption” dan juga permintaan untuknya tidak mungkin besar. Sebaliknya kraf yang melibatkan penggunaan mesin akan mempunyai nilai yang kurang tinggi tetapi pasarannya lebih besar. Jelas sekali terdapat dua jenis pasaran, satu yang berkualiti tinggi tetapi permintaan terhad; dan satu lagi yang berkualiti rendah sedikit tetapi permintaan lebih tinggi.

Dalam perusahaan songket umpamanya, alatan tenunan tradisi mengeluarkan hasil yang amat tinggi nilainya tetapi mengambil masa yang panjang dengan kos kerja yang juga tinggi. Dengan itu harga kain songket yang ditenun secara tradisi amat tinggi dan mampu dibeli hanya oleh orang berada sahaja untuk acara tertentu. Kain songket tidak sesuai untuk pakaian harian atau pun seminggu sekali untuk sembahyang Jumaat.

Hari ini Malaysia mengimpot dari Selatan Asia kain benang emas yang seakan-akan kain songket. Ramai yang tidak mampu membeli kain tenunan tradisional terpaksa membeli kain benang emas tenunan mesin dari negara asing ini. Yang jelas ialah ada pasaran baik bagi kain-kain seperti ini. Tidak ada sebab kenapa kita tidak boleh ada industri kain benang emas buatan mesin ini. Kita mesti yakin jika kita ada perusahaan ini coraknya akan lebih berselera Melayu dan lebih sesuai dengan kehendak kita.

Kerajaan ingin memperkenalkan industri yang juga mempunyai unsur separuh kraf ini. Kita akan sokong industri kecil seperti ini jika ia disusun sebagai kilang kecil yang diurus mengikut cara-cara komersial. Untuk ini latihan boleh diberi kepada yang berminat dalam bidang pengurusan kilang.

Bagi membangunkan kawasan luar bandar, kerajaan akan memperbaharui konsep satu kampung satu industri dengan cara mengadakan satu kilang kecil bagi satu kampung. Barangan yang dikeluarkan tidaklah semestinya barangan kraf. Barangan buatan kilang yang sesuai untuk industri kecil di kampung akan dikenalpasti dan diberi galakan. Projek ini menjadi penting kerana ramai penduduk kampung mendapat pendapatan yang rendah kerana tidak bekerja sepenuh masa. Dalam bidang pertanian kerja yang dibuat lebih menumpu kepada kerja sambilan dan tidak memerlukan kerja setiap hari. Dengan itu terdapat masa lapang berkali ganda lebih daripada masa bekerja. Tidak mungkin petani mendapat pendapatan yang sama dengan pekerja kilang yang bekerja lapan jam sehari setiap hari melainkan pada hujung minggu atau cuti am. Keluhan para petani dan nelayan akan kemiskinan mereka memang berasas tetapi sebabnya ialah kerana masa kerja petani dan nelayan tidak sama dengan pekerja kilang. Dengan adanya kilang yang terletak di kampung maka masa lapang petani dan nelayan bolehlah di manfaatkan dengan bekerja di kilang. Sudah tentu pendapatan mereka akan bertambah. Waktu bekerja bolehlah disusun dengan mengambilkira waktu untuk pertanian dan waktu untuk bekerja di kilang.

Jika pertanian tertentu yang hendak diusahakan, jadual kerja separuh di kilang boleh diamalkan. Pertanian bukanlah bertanam sahaja dan kemudian menunggu hasil tanpa membuat apa-apa. Banyak kerja perlu dibuat supaya hasil pertanian adalah lebih baik. Sebab itu disiplin kerja diperlukan dalam pertanian juga. Kebun getah yang nampak seperti hutan dengan hasil yang rendah adalah kerana tidak ada disiplin kerja.

Kalau kita sanggup bekerja tidak ada sebab kenapa kita harus terus miskin. Adalah menjadi hasrat Kerajaan melihat semua rakyat Malaysia memperolehi pendapatan yang lebih tinggi samada sebagai pekerja yang mengambil upah atau yang bekerja bersendirian, samada di kilang atau di ladang. Tetapi kita perlu mengambilkira persaingan dalam pasaran di mana kita menawarkan khidmat atau tenaga kita. Jikalau kita tuntut upah yang tidak setimpal dengan sumbangan khidmat atau tenaga kita, maka hasil kerja kita akan menjadi terlalu tinggi kosnya sehingga tidak dapat bersaing dalam pasaran dan tidak dapat dijual. Dengan itu perusahaan kita akan rugi dan gagal dan kita akan hilang pekerjaan, menganggur dan tidak mempunyai pendapatan sama sekali.

Sebaliknya jika hasil kerja kita bermutu tinggi dan jumlahnya menepati permintaan pasaran, upah dan pendapatan kita boleh ditingkatkan sehingga kita bukan sahaja tidak miskin lagi tetapi kita akan lebih berada dan taraf hidup kita akan meningkat.

Kita sedang berusaha untuk menjadikan negara kita negara maju menjelang 2020. Kita tidak ingin melihat dalam negara kita yang sudah maju terdiri daripada kaum tertentu dan yang tidak maju yang terus miskin daripada kaum tertentu yang lain. Sedikit sebanyak kita boleh membantu mereka yang miskin tetapi tentulah tidak sama dengan yang berusaha sendiri. Bantuan Kerajaan tidak boleh menjadikan orang yang miskin kaya. Hanya yang berusaha sendiri sahaja yang akan kaya. Kejayaan orang lain yang menyumbang kepada peningkatan negara kita ke peringkat negara maju adalah kerana mereka berusaha bekerja keras baik sebagai pekerja, peniaga atau pengusaha. Siapa sahaja yang berusaha yang sanggup bekerja keras akan maju. Sebabnya orang asing berhempas pulas hendak datang ke Malaysia ialah kerana terdapat banyak peluang kerja di Malaysia. Peluang-peluang ini ada kerana rakyat Malaysia sendiri tidak sanggup bekerja, tidak sanggup kotor tangan, tidak sanggup berpindah sedikit ke tempat di mana ada peluang kerja.

Orang Melayu khususnya perlu ingat apabila mereka tidak sanggup bekerja di zaman British, penjajah telah membawa masuk pekerja dari India dan China. Pada satu ketika orang Melayu menjadi kaum yang minoriti di Malaya. Jika tidak kerana kemelesetan ekonomi pada tahun-tahun tiga puluhan yang menyebabkan ramai daripada orang asing balik ke negara mereka mungkin semasa kita menuntut kemerdekaan kita orang Melayu akan menjadi puak minoriti yang lemah dalam segala-galanya. Jika kita capai kemerdekaan dalam keadaan itu kita tidak pun akan dapat sedikit kuasa yang dimiliki oleh kita sekarang. Kita akan jadi seperti orang Melayu di sebuah negara Asia Tenggara yang tidak pun dilayan sebagai rakyat yang memiliki sama hak dengan rakyat lain.

Inilah kesan ketidaksanggupan orang Melayu untuk berusaha, bekerja, bersikap cermat dengan harta benda. Sekarang ini kita sekali lagi terpaksa bergantung kepada tenaga pendatang asing. Janganlah kita kecewa kemudian kerana sedikit kelebihan yang ada pada kita daripada segi politik akan terhakis dan kita menjadi orang yang miskin di Malaysia yang sudah maju.

Kerajaan tidak mencadang sesuatu melainkan untuk kebaikan. Banyak sudah peluang pekerjaan, perniagaan dan perusahaan yang telah diadakan oleh Kerajaan. Pembangunan industri kraf ini adalah satu daripadanya. Kita tidak boleh menguruskan industri kraf secara dahulu, secara perusahaan sambilan oleh individu yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kita mesti jadikan industri kraf industri yang teratur, dengan kilang-kilang kraf yang mengamalkan disiplin tempat kerja, yang mengeluarkan barangan secara teratur dengan kualiti yang tinggi dan menepati pesanan yang dibuat oleh pelanggan. Ini sahaja cara yang boleh menghidupkan industri kraf dan memberi pulangan pendapatan yang setimpal dan baik kepada pekerja dan pengusaha.

Setelah cuba membangunkan industri kraf dengan menggalakkan individu mengeluarkan barangan kraf secara persendirian dan mendapati cara ini gagal memajukan industri ini dan menambah pendapatan penduduk desa, Kerajaan sedang mencuba cara industri kilang kecil di desa untuk memajukan kraf tangan dan industri kecil di kampung. Tanda-tanda cara ini disambut baik dan memberi pekerjaan kepada penduduk kampung yang tidak dapat atau tidak mahu tinggal kampung sudah pun ternampak. Hanya yang tinggal ialah mengenalpasti industri dan barangan yang berlainan untuk diperkenalkan. Janganlah sesiapa anggap pendekatan ini sebagai peluang untuk mendapat bantuan wang daripada Kerajaan yang akan digunakan untuk tujuan-tujuan lain. Janganlah sengaja menggagalkan projek ini. Jangan kita musnahkan diri.

Dalam zaman moden ini kita perlu sesuaikan diri kita dan cara kita dengan aliran zaman. Jika tidak kita akan ketinggalan. Sudah banyak bangsa dan tamadun yang hilang dari muka bumi ini. Janganlah kita menjadi satu daripadanya.

Kraf mencerminkan budaya dan seni yang memberi identiti kepada sesuatu bangsa. Jika sesuatu kraf atau perusahaannya sudah menjadi lapuk kita boleh hidupkan kraf itu melalui cara-cara baru. Segala hasil kraf zaman dahulu perlu dijadikan khazanah bangsa dan negara dan di simpan dengan baik. Ia boleh menjadi punca inspirasi daripada segi bentuk dan penghiasannya. Ia juga menjadi bukti asas tamadun kita. Oleh sebab- sebab inilah dan potensinya sebagai industri yang boleh memberi pulangan yang baik, yang kita perlu hidupkan warisan kraf kita.

Rakyat Malaysia perlu mempromosi produk kraf tempatan sebagai pilihan utama untuk dijadikan hiasan atau cenderahati. Dengan cara ini kita dapat memperluaskan lagi pengedaran produk kraf tempatan.

 

 

 

Advertisements

Tinggalkan sepatah dua kata

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s