Usaha memajukan Penan di pedalaman Sarawak bukan kerja mudah

Oleh Dr Jeniri Amir

Daripada Berita Harian: Rabu

MESKIPUN Sarawak mempunyai 28 suku kaum, kaum minoriti Penan sentiasa menggelegak di dada media tanah air dan antarabangsa. Timbulnya isu rogol, sekali lagi kaum 16,000 jiwa itu menarik perhatian ramai. Ada apa dengan Penan? Mengapakah kerajaan seolah-olah gagal menangani masalah mereka? Adakah jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan negeri tidak berkesan atau kita sebenarnya kurang komited menangani masalah Penan? Adakah pihak kerajaan melaksanakan dasar dan program tanpa mengikut kehendak kaum Penan?

Kita perlu turut mendengar apa dimahukan orang Penan. Penan mempunyai cara berfikir sendiri, tidak sama dengan cara kita yang terdedah kepada kemodenan dan pendidikan. Apa yang kita fikirkan baik dan maju, tidak semestinya demikian bagi Penan. Namun, komitmen pihak kerajaan dan kaum Penan yang terpelajar dapat mengubah taraf hidup dan masa depan mereka. Pendekatan lebih bersepadu, serius dan berterusan perlu dilaksanakan untuk memastikan Penan dikeluarkan daripada cengkaman hidup dan masa depan yang tidak menentu.

 

Kegagalan menyelesaikan isu Penan sejak dekad 1970-an menyebabkan isu itu mudah meledak dan dieksploitasikan pelbagai pihak, termasuk pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Benarkah rogol berlaku atau ada masalah lain yang lebih kompleks berkaitan pekerja lelaki di kem pembalakan? Mungkinkah wanita Penan dieksploitasikan pekerja kem pembalakan dan sesudah pekerjaan tamat, maka wanita Penan yang turut mendapat manfaat daripada hubungan itu, akhirnya diabaikan?

 

Kebanyakan Penan di Baram tinggal menetap pada 50-an dan 60-an, manakala mereka di Belaga dan Limbang, pada akhir 60-an dan awal 70-an. Dianggarkan sekitar 300 orang Penan masih berpindah-randah, termasuk di Ba’ Tepen, Ba‘Bareh dan Ba’ Ubong. Meskipun berpindah-randah, kumpulan itu juga mempunyai ketua masing-masing. Penan di Belaga terkenal dengan kraf tangan seperti tikar rotan, bakul anyaman dan parang.

Masalah yang membelenggu kaum Penan sebenarnya jauh lebih serius daripada isu rogol yang diperbesar-besarkan dalam media oleh NGO. Mereka yang pernah ke Belaga pasti akan tersentuh hati melihat keadaan persekitaran dan keperitan hidup mereka. Penan semakin sukar mendapatkan makanan, malah tahun lepas berita kemungkinan mereka kebuluran heboh diperkatakan.

Hakikatnya, Penan berdepan empat masalah utama: tanah, taraf kewarganegaraan, pendidikan dan ekonomi. Tanah adat Penan tidak diiktiraf kerajaan menyebabkan Penan kecewa. Bagaimana mungkin Penan dapat membuktikan tanah di sesuatu kawasan pernah diduduki dan ditanam mereka sebelum 1958? Sebagai penduduk buta huruf, pemalu dan tidak berkeupayaan, Penan sentiasa di pihak kalah dari segi tuntutan tanah adat. Bagi Penan, tanah adalah jiwa dan raga mereka, kerana di tanah dan hutan rimba itulah mereka mengembara, membesar, dan meneruskan kehidupan.

Masih banyak Penan turut menghadapi masalah mendapatkan sijil beranak dan kad pengenalan. Tanpa kad pengenalan kesan dan implikasi dari segi peluang belajar, pekerjaan dan seumpamanya adalah besar. Pihak berkuasa perlu mempertimbangkan kekangan orang Penan, dan tidak seharusnya terlalu mengambil kira aspek dokumen dalam meluluskan permohonan mereka. Pastikan anak Penan mendapat sijil beranak agar mereka tidak berdepan masalah pada masa depan, termasuk menduduki peperiksaan. Meskipun langkah menggalakkan anak Penan pergi ke sekolah sedikit sebanyak berjaya, masih banyak ruang untuk membaikinya. Ia menyebabkan Penan terpinggir dari segi ekonomi.

Pembalakan dan perladangan memburukkan keadaan hidup Penan. Penan berdepan dengan kesukaran mendapatkan makanan ekoran kegiatan pembalakan dan perladangan menyebabkan hutan bukan saja ditebang, tetapi digondol. Sungai mendap dan tercemar, dan akhirnya banyak ikan mati.

Hutan bagi Penan umpama pejabat, bank, hospital, taman tema dan pasar raya bagi warga kota. Mereka bekerja di dalam hutan, mendapat hiburan dan mencari makanan daripadanya.

Tetapi, dengan sebahagian besar hutan diberi kepada syarikat tertentu oleh elit politik negeri terutama sejak dekad 70-an dan 90-an, kini Sarawak tidak lagi boleh berbangga sebagai negeri yang mempunyai 70 peratus hutan hujan tropika. Kaum Penan semakin terpinggir dan binatang yang lebih mudah diperoleh sebelumnya, semakin lari jauh ke dalam hutan. Tanpa hutan rimba Penan akan kebuluran dan mati.

 

Memajukan Penan di pedalaman bukan mudah. Dengan persekitaran mencabar dan keadaan ekonomi mundur, dasar lebih imaginatif dan realistik, dengan mengambil kira sudut pandangan Penan, khasnya berkaitan dengan tanah perlu digubal. Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pertama ke kawasan Penan minggu depan, diharap membolehkan beliau melihat secara dekat kehidupan dan masalah Penan.

dan seterusnya mencetuskan ilham bagaimana masalah terbabit dapat diatasi.

Dengan itu, Penan tidak akan lagi menjadi masyarakat di pinggiran. Isu Penan tidak harus terus dieksploitasikan untuk kepentingan politik. Komitmen jitu perlu diambil untuk meningkatkan taraf hidup kaum Penan. Kunjungan Najib yang merealisasikan gagasan 1Malaysia, jelas memperlihatkan, kaum minoriti di pedalaman pun tidak terlepas daripada perhatiannya. Biarlah Penan diintegrasikan ke dalam masyarakat lain, dan akhirnya dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lain di Malaysia menjelang 2020.

 

Penulis ialah pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak.


 

Advertisements

2 thoughts on “Usaha memajukan Penan di pedalaman Sarawak bukan kerja mudah

  1. Kaum Penan agak istimewa jika dibandingkan dengan etnik minoriti yang lain di Sarawak. Pelbagai kemudahan dan kebajikan dihulurkan oleh kerajaan dan agensi badan berkanun yang lain bagi menjaga kebajikan mereka. Sejak proses asimilasi berlaku ke atas etnik ini awal tahun 2000 sedikit sebanyak sudah menampakkan hasil yang boleh dibanggakan dalam lanskap generasi baru etnik tersebut.

    Sehubungan itu, IPGK Batu Lintang, Kuching Sarawak mencetuskan idea untuk melaksanakan Program Pendidikan Komuniti Penan yang bermula dari tahun 2010 di SK Long Urun, Belaga Sarawak. Program diteruskan di SK Lusong Laku, Belaga (2012) dan SK Long Busang, Belaga (2013). Antara pengisian program tersebut seperti Parenting Skill (Ibu bapa/Penjaga), Bimbingan dan Kerjaya (Belia dan Remaja), Bengkel Kecemerlangan (UPSR) dan Pedagogi PdP (Guru). Impak dari program tersebut kadar keciciran dalam kalangan pelajar Penan dapat dikurangkan, tahap kesedaran ibu bapa/penjaga tentang pendidikan dapat ditingkatkan, Keputusan UPSR meningkat, dan pengambilan pelajar penan masuk ke IPG dan IPTA sedmakin ramai. Sebagai buktinya Lapan Pelajar Penan masuk IPG (Utusan Sarawak 26 Jun 2014).

    Ini menunjukkan kaum Penan mudah untuk dimajukan sekiranya kerajaan menyediakan peluang pendidikan yang banyak kepada kaum ini. Berikan peruntukkan yang tinggi kepada usaha untuk memajukan pendidikan mereka. Dirikan sekolah di perkampungan mereka. Contohnya di Kampung Long Unai, Belaga yang agak jauh di kawasan pedalaman. Murid-murid di Long Unai, terpaksa bersekolah di Long Busang (4-5 jam perjalanan). Jika sekolah didirikan di perkampungan mereka kadar keciciran dapat dibenteras.

    Bersama kita untuk memajukan etnik Penan melalui pendidikan.

Tinggalkan sepatah dua kata

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s