Sudah menjadi darah daging orang politik

Mengampu atau membodek.

Dr Jeniri Amir

 

Mengampu atau membodek sudah menjadi sebahagian daripada amalan kita, termasuk dalam politik dan di organisasi tempat bekerja. Politik tanpa amalan mengampu bagai tidak sah. Angkat-mengangkat seolah-olah sudah membudaya dalam politik, termasuk di Sarawak. Amalan ini sudah mencengkam begitu kuat ke dalam sistem politik kita sehingga begitu sukar untuk dikikis. Amalan ini telah berlaku sejak sekian lama. Dalam budaya politik Melayu dan rantau ini, feudalisme begitu kuat mempengaruhi pemain atau pelaku politik. Jadi, apabila Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan membangkitkan persoalan ini di Miri baru-baru ini, saya sedikit terkejut kerana sebenarnya budaya mengangkat sudah tidak asing lagi di Sarawak.

 

Untuk melihat sejauh mana budaya ini diamalkan, telitikan sahaja kandungan ucapan dan kata-kata yang digunakan oleh Tuai Rumah, Penghulu atau Ketua JKK di rumah panjang apabila menyambut kedatangan YB (ADUN).  Begitu juga dengan ADUN apabila membodek Ketua Parti atau Menteri Persekutuan yang datang. Telitikan juga bahasa tubuh mereka apabila berdepan dengan pemimpin politik kanan. Lihat bagaimana mereka mencium tangan dan tunduk ketika berjabat tangan dengan pemimpin itu. Wajah pemimpin tertentu terlintas dalam kepala kita apabila bercakap tentang isu ini, baik berdasarkan kata-kata atau bahasa tubuhnya ketika berdepan dengan pemimpin elit berkenaan.

 

Dari pemimpin cawangan hinggalah ketua bahagian, dan seterusnya menteri kanan, mereka sedar bahawa jika hendak hidup dalam politik, mereka bukan sahaja perlu menjaga hati pemimpin atasan, tetapi perlu pandai membodek. Beritahu saya, berapa orang pemimpin politik yang tidak pandai membodek? Tidak keterlaluan dikatakan sebahagian besar mereka pandai membodek. Mereka tahu bahawa tidak ada ruginya jika mengangkat pemimpin atasan.

 

Mereka tahu siapa yang perlu dibodek, bagaimana membodek, dan bila mereka perlu membodek. Membodek boleh dilakukan oleh orang bawahan terhadap orang atasan dan orang atasan terhadap orang bawahan, tetapi sering dilakukan orang bawahan terhadap orang atasan. Jika pun orang atasan cuba membodek orang bawahan, niatnya mungkin sekadar menyenangkan hati orang bawahan supaya individu berkenaan lebih terangsang dan rajin melakukan kerja yang diserahkannya. Sebaliknya, bagi orang bawahan yang mengampu pemimpin mereka, terutama dalam politik, jika pemimpin itu termakan bodek, maka imbalan dan hasilnya adalah begitu besar.

 

Sesetengah ahli politik sedar bahawa untuk mendapat tempat di hati pemimpin kanan politik, mereka bukan sahaja perlu bergantung kepada kelayakan, pengalaman atau jawatan. Yang tidak kurang pentingnya, mereka perlu bijak mengambil hati pemimpin berkenaan, termasuk dengan membodek. Lagi tinggi pangkat pemimpin politik berkenaan, lagi penting dan perlu baginya untuk membodek. Mereka yang membodek ini mempunyai agenda atau niat tertentu ketika membodek. Saya kadangkala hairan, bagaimana pemimpin seperti itu tidak berasa malu langsung. Mereka yang mengamalkan budaya membodek untuk ‘hidup’ dalam politik sebenarnya sanggup menggadaikan prinsip mereka. Mereka rela melutut, mencium tangan, dan melakukan apa-apa sahaja asalkan orang yang dibodek senang hati dan hajat mereka dipenuhi. Bagi mereka, persetaankan dengan maruah dan digniti atau prinsip.

Membodek dilakukan dengan pelbagai tujuan, sama ada untuk mendapat gelaran, jawatan, dinaikkan pangkat, dikekalkan dalam jawatan, mendapat projek atau untuk sentiasa berada di dalam buku baik pemimpin itu. Kita tahu bahawa sebahagian pemimpin tinggi atau elit memang suka dibodek. Beliau suka mendengar yang baik-baik tentang dirinya. Dia mahu dipuji, dipuja dan disanjung oleh ahli dan pemimpin parti di bawah. Pemimpin jenis ini sentiasa mahu mendengar berita dan maklum balas positif disalurkan kepadanya. Dia suka mereka yang membawa berita bahagia. Pemimpin jenis ini berada di dalam dunia binaannya sendiri dan terpisah daripada dunia realiti.

 

Dia sama sekali tidak mahu mendengar komen negatif mengenai dirinya, dasar, projek, dan ideanya. Dia mahu disifatkan sebagai pemimpin terbilang, luar biasa ideanya, pintar, berpengalaman luas, sukar dicari ganti, dan telah banyak berjasa kepada rakyat dan negeri atau negaranya. Dia semakin seronok jika diberitahu bahawa jika tidak kerana kepemimpinannya, negeri dan negara tidak akan maju. Walhal, jika pemimpin tidak membawa pembangunan dan kemajuan, apakah lagi tugasnya. Memang menjadi tugas dan tanggungjawab pemimpin untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan melaksanakan pembangunan, menghapuskan kemiskinan dan membawa kebahagian dan kemakmuran kepada rakyat.

 

Pemimpin berkenaan akan kembang hidungnya jika mendengar pujian meskipun pujian itu adalah melampau dan berlebih-lebihan. Lagi tinggi lambungan orang di sekitarnya, lagi puas dan besarlah hidung pemimpin berkenaan. Pemimpin jenis ini akan semakin ego dan besar kepalanya dengan pujian dan sanjungan orang di sekitarnya. Pemimpin berkenaan menganggap dirinya serba sempurna dan tidak mempunyai sebarang kecacatan. Mengikut pemerhatian saya, banyak pemimpin dunia, termasuk di rantau ini yang mabuk dalam pujian dan sanjungan. Semakin berkuasa dan berpengaruh seseorang pemimpin itu, maka semakin besarlah keinginannya untuk mendengar orang di sekelilingnya memuji beliau.

 

Mereka yang menyatakan kelemahan dan kekurangannya dianggapnya mempuyai agenda peribadi dan berniat jahat. Pemimpin berkenaan menyifatkan mereka yang berbuat demikian, tidak mengenang budi, berfikiran cetek dan tidak jujur. Dia sama sekali tidak mahu dikritik atau kelemahannya ditelanjangi. Kritikan menyebabkan dia mudah melenting, matanya terbeliak, dan suaranya dinaikkan. Aha, kita perlu berwaspada dengan pemimpin yang sentiasa mahu dipuji dan dilambung.

 

Amalan mengampu dan mengangkat yang terlaluan dalam politik perlu dikurangkan. Jika kita membiarkan amalan ini membelenggu politik, kita akan kerugian. Jika pemimpin mempunyai kuasa untuk menaikkan pangkat atau memberi projek kepada individu, maka tentu tidak adil bagi mereka yang tidak mengampu dan tidak pandai mengampu, kerana yang mengampu tentu berpeluang besar mendapat jawatan kanan, projek atau gelaran. Meritokrasi atau kriteria sebenar menjadi tidak lagi relevan. Akhirnya, budaya ini menimbulkan persekitaran yang tidak baik kerana melemahkan semangat orang yang betul-betul layak dan sesuai mendapat jawatan atau projek, dinaikkan pangkat atau mendapat gelaran.

Seperti kata George Chan, budaya angkat hanya akan menggerhanai atau menyelubungi masalah sebenar yang dihadapi oleh rakyat. Beliau dilaporkan sebagai berkata, untuk sekian lama, pemimpin kerajaan, iaitu pemimpin politik banyak bercakap tentang hal yang elok di Sarawak, tetapi mereka tidak berani bercakap tentang masalah dan isu sebenar dihadapi rakyat.

 

Beliau mahu budaya sedemikian dihentikan dengan pemimpin perlu diberitahu tentang masalah sebenar atau realiti agar pemimpin tahu akan realiti di bawah. Saya suka dengan kenyataan George Chan yang ini. Beranikah pemimpin kanan dalam kerajaan, termasuk menteri penuh dan menteri muda dan wakil rakyat memberitahu perkara sebenar kepada pemimpin tertinggi di negeri ini? Beranikah pemimpin cawangan dan bahagian memberitahu realiti kepada pemimpin atasan mereka? Beranikah kakitangan kerajaan memberitahu isu dan masalah sebenar kepada bos mereka? Dan, mahukah pemimpin elit dna pemimpin kanan mendengar realiti atau perkara sebenar?

 

Anda tentu masih ingat akan kisah maharaja yang menerima pujian orang kanan dan di sekitarnya tentang pakaiannya. Pakaian maharaja itu dikatakan begitu cantik, menarik dan sesuai sehinggalah seorang kanak-kanak memberitahu baginda bahawa, maharaja berkenaan sebenarnya adalah telanjang bulat. Inilah akibatnya jika pemimpin suka dipuji dan orang di sekitar pemimpin suka memuji. Kebenaran akan diselubungi oleh kepalsuan. Semua orang bersikap hipokrit dan takut memberitahu realiti. Siapakah yang perlu dipersalahkan dalam kes sedemikian? Adakah pemimpin yang suka diampu atau mereka yang suka mengampu? Kedua-duanya memikul beban kesalahan.

 

Dalam konteks politik, jika orang sekitar atau pegawai kerajaan asyik memberitahu sesuatu yang suka didengar oleh pemimpin berkuasa meskipun maklumat yang disampaikan itu sebenarnya tidak benar, hal ini tentu amat berbahaya bukan sahaja kepada masyarakat dan negeri, tetapi juga kepada pemimpin berkenaan sendiri. Kita tentu pernah mendengar bagaimana dalam pilihan raya 1999, sesetengah pemimpin di peringkat cawangan memberitahu calon bahawa segalanya baik di peringkat akar umbi menjelang pilihan raya. Tahu apa yang berlaku pada hari pengiraan undi?
Pemimpin berkenaan sama ada kalah atau menang dengan kurang daripada seratus undi.

 

Adakah kita mahu kejadian seperti ini menimpa kita? Atau kita perlu diberitahu sesuatu yang benar? Pemimpin yang baik harus sedar bahawa pujian yang melampau tidak baik untuk dirinya dan kerjaya politiknya. Pemimpin yang baik perlu sedar bahawa dirinya bukan serba sempurna. Dia perlu mempunyai telinga dan kulit tebal untuk menerima realiti. Dia perlu sedia dikritik dan mendengar kelemahannya, dan bukannya asyik mahu dipuji. Dia perlu berwaspada terhadap mereka yang asyik memuji kebaikan, kelebihan dan keunikannya, baik dari segi idea, dasar atau rancangan yang dilaksanakannya. Maklum balas yang negatif perlu diterima dengan hati terbuka, dan bukannya dengan prasangka dengan menganggap mereka yang berbuat demikian atau mengkritik sebagai penderhaka, berniat jahat dan tidak berguna. Kritikan dapat digunakan untuk membaiki kelemahan dan membetulkan kesilapan. Hanya pemimpin yang ego dan mabuk kuasa sahaja yang seronok mendengar pujian dan tidak mahu mendengar kritikan.

 

*Penulis, pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak ialah penganalisis politik dan komennya banyak dikutip oleh media tempatan dan nasional.

 

Advertisements

Tinggalkan sepatah dua kata

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s