Sekolah satu aliran capai gagasan 1Malaysia

PELAKSANAAN sekolah satu aliran kembali menjadi perbualan hangat. Pelbagai pihak baik kalangan ahli akademik, tokoh sejarah mahupun orang politik mula memandang serius cadangan ini. Malah ramai juga secara terus-terang mengutarakan sokongan mereka untuk melaksanakan cadangan tersebut dengan segera, baik pihak kerajaan mahupun pembangkang. Selama ini negara kita dianggap unik kerana kejituan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.

Ia jarang sekali berlaku di negara luar. Nenek moyang kita telah bekerja keras dan melakukan pelbagai pengorbanan untuk mencapai keharmonian kaum yang kita nikmati sekarang. Namun apa yang dikhuatiri, semangat perpaduan ini semakin lama semakin terhakis. Untuk itu kerajaan perlu bertindak segera dan kembali kepada fitrah pembentukan semangat perpaduan seperti yang dilakukan oleh generasi terdahulu yang ternyata membuahkan hasil selama ini.

Anak-anak kita yang bakal mewarisi negara ini perlu dididik dan dibentuk dari sekarang supaya mereka benar-benar dapat menghayati konsep dan erti sebenar perpaduan antara kaum yang terbina sekian lama. Apakah kita lupa bahawa anak-anak yang dilahirkan umpama sehelai kain putih. Justeru kita percaya ibu bapa dan guru yang rapat dengan mereka saban hari dapat membantu memupuk nilai dan semangat perpaduan yang kita kehendaki. Hanya sekolah dilihat sebagai tempat terbaik untuk membentuk anak- anak kita.

Namun malangnya apa yang berlaku sekarang ialah anak- anak kita jelas terpisah dengan sekolah aliran masing-masing. Melayu di sekolah kebangsaan manakala Cina dan India masing-masing di sekolah jenis kebangsaan. Kita percaya sekolah satu aliran ini tidak akan menafikan hak kaum masing-masing yang mahu bahasa ibunda mereka dipelajari oleh anak-anak mereka. Ia juga pastinya tidak sama sekali menghilangkan identiti kaum tersebut. Bahasa ibunda masing-masing boleh terus diajar di sekolah satu aliran sebagai satu mata pelajaran wajib mengikut kaum masing-masing. Pokok pangkalnya adalah bak kata peribahasa ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Memang ada golongan yang menentang keras cadangan mewujudkan sekolah satu aliran.

Mereka mengutarakan pelbagai alasan mengikut perspektif dan logik akal masing-masing yang jelas mempunyai agenda tersendiri, dipengaruhi oleh emosi dan rasa tidak puas hati. Dalam hal ini kerajaan sewajarnya bertindak dengan lebih bijak dan berhemah dengan mengambil kira pandangan dan pendapat majoriti penduduk negara ini yang rata-rata menyokong cadangan penubuhan sekolah satu aliran. Pedulikan golongan yang sering menjadi pengacau kepada pelbagai program yang hendak dilaksanakan. Kerajaan perlu melihat secara lebih menyeluruh kepada manfaat yang bakal diperoleh hasil daripada pelaksanaan cadangan ini yang boleh membantu ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yang dicita-citakan.

Usah endahkan golongan yang sememangnya sinonim dengan budaya ‘tidak setuju’. Mereka tidak pernah menyokong apa sahaja program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan sudah lali dengan budaya menentang dan membangkang. Jika kita mahu mencapai Wawasan 2020, Misi Nasional dan terkini gagasan 1Malaysia, maka kewujudan sekolah satu aliran adalah jawapan dan jalan penyelesaiannya.

Hanya dengan sekolah satu aliran sahaja kita lihat anak-anak kita yang bakal mewarisi kepimpinan masa depan dapat meneruskan hasrat dan cita-cita yang telah kita bangunkan. Melentur buluh biarlah dari rebung. Anak-anak kita masih belum terlambat untuk dilentur atau dibentuk. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Serdang, Selangor

 

Advertisements

2 thoughts on “Sekolah satu aliran capai gagasan 1Malaysia

  1. Syabas dan tahniah kerana berjaya membuatkan saya hampir sempurna tugasan yang diberikan. Doakan semoga saya mampu menjawab dengan cemerlang dalam SPM nanti. Syukran jazillan!

Tinggalkan sepatah dua kata

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s