Sejarah umpama cermin belakang kereta

Dr Jeniri Amir

KUCHING – Jika hasil sebuah pungutan pendapat dalam talian dijalankan akhbar nasional dalam bahasa Inggeris diambil kira, jelas bukan semua pihak bersetuju dengan langkah Kementerian Pelajaran mewajibkan pelajar lulus mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun, jika dapatan sebuah akhbar Melayu kebangsaan, Utusan Malaysia tentang kejahilan rakyat Malaysia terutama generasi muda tentang sejarah negara diambil kira, memang wajar mata pelajaran itu diperkenalkan.

Mengapakah sebahagian rakyat Malaysia tidak setuju dengan langkah itu? Adakah kerana mereka diselubungi kesangsian tentang kandungan Sejarah yang bakal diperkenalkan nanti? Atau mereka memang gagal melihat kepentingan sejarah dalam kehidupan dan masa depan kita? Sebagai pelajar yang mengikuti sejarah Malaysia sebagai pengkhususan utama ketika mengikuti ijazah pertama dari 1978-1982, saya tidak pernah menyesal mengikuti bidang berkenaan meskipun sebahagian orang mungkin sahaja mengatakan bahawa kursus Sejarah sama sekali tidak bernilai komersial. Memang, ketika semua orang bercakap dan mengutamakan soal wang, kekayaan, kuasa dan gaya hidup bergengsi, sejarah berada di tangga tercorot dalam keutamaan kehidupan mereka. Tidak hairanlah kini, daripada sekian banyak universiti di negara ini, hanya di Universiti Malaya mempunyai Jabatan Sejarah. Jangan harapkan universiti swasta menawarkannya kerana sejarah dianggap tidak relevan dalam dunia moden yang bersifat materialistik.

Bagi saya, sebahagian daripada kekalutan dan kekecohan dalam politik yang kita alami sekarang berpunca daripada pemimpin politik, tidak kira pemimpin kerajaan atau pembangkang, termasuk juga menteri yang jahil tentang sejarah negara. Kejahilan mereka tentang sejarah awal negara, termasuk soal perlembagaan negara, pembentukan Malaysia dan sebagainya menyebabkan mereka mempertikaikan soal kontrak sosial. Ketika kerajaan diserang Pakatan Rakyat, kita dapat melihat bagaimana tidak bersedianya mereka untuk menangkis hujah berkenaan dengan wacana tandingan berasaskan ilmu dan pemahaman sejarah negara yang meyakinkan. Hanya dengan pengetahuan mendalam terhadap sejarah bangsa dan negara sahaja seseorang dapat menangkis hujah lawan dengan berkesan dan meyakinkan.

Jangan kata sejarah tidak penting. Memang sejarah tidak membawa sebarang erti bagi mereka yang memikirkan soal ringgit dan sen sahaja dalam kehidupan, tetapi kita hanya akan sedar betapa pentingnya sejarah dan dokumen sejarah di dalam arkib ketika kita berdepan dengan krisis. Jika tanpa dokumen dan kesungguhan mengkaji sejarah silam dan mengemukakan hujah berdasarkan fakta sejarah, tidak mungkin kita memenangi Sipadan dan Ligitan ketika kes itu dibawa ke mahkamah antarabangsa di Belanda beberapa tahun lalu.

Tidak dinafikan, sebahagian suara sumbang terhadap usaha mewajibkan pelajar lulus Sejarah adalah kandungannya yang disangsikan tidak memihak kepada parti atau kaum tertentu. Jika dianalisis kandungan sejarah SPM sekarang, antara yang dimasukkan ialah kemunculan tamadun awal manusia dan Asia Tenggara dan tamadun Islam, kerajaan Islam di Madinah, dasar British dan kesannya terhadap ekonomi negara, kemunculan dan perkembangan nasionalisme di Asia Tenggara dan nasionalisme di Malaysia sehingga Perang Dunia Kedua.

Selain itu, turut disentuh ialah kesedaran, pembinaan serta pengukuhan negara dan bangsa Malaysia. Di bawah tajuk berkenaan aspek yang diliputi ialah zaman Kesultanan Melayu Melaka, Malayan Union, Persekutuan Tanah Melayu 1948, Pakatan Murni, Perjanjian Persekutuan Melayu 1957, cadangan dan faktor pembentukan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963. Tajuk lain ialah sistem pemerintahan dan pentadbiran negara, pembangunan dan perpaduan, dan Malaysia dalam kerjasama antarabangsa. Di manakah sejarah Sarawak dan Sabah dalam kurikulum berkenaan? Sesungguhnya, tidak banyak kerana kandungannya adalah berorientasikan sejarah Semenanjung.

Saya faham mengapa sebahagian pelajar tidak menyukai sejarah. Sejarah dianggap sebagai subjek yang sarat dengan fakta, tarikh dan peristiwa. Cara pengajaran yang tidak kreatif tentu menyebabkan Sejarah menjadi ‘hantu’ yang perlu dielakkan. Saya masih ingat bagaimana seorang guru saya dalam Tingaktan Enam dahulu hanya menyalin nota di atas papan tulis dan membaca daripada buku teks Sejarah Eropah yang tebal. Bayangkan anda terpaksa belajar tentang sejarah Itali, Jerman dan sebagainya itu tanpa penerangan yang mencukupi. Manakala seorang lagi pensyarah saya di universiti juga turut membaca daripada buku teks. Aduh, itu saat yang menyeksakan. Akhirnya, kebanyakan pelajar hanya mendapat keputusan cukup makan dalam peperiksaan Higher School Certificate (STPM).

Bukan sebarangan guru boleh disuruh mengajar sejarah. Guru sejarah perlu mempunyai daya analitis, imaginasi dan kreativiti supaya pelajar berminat mengikutinya. Kaedah dan pendekatan yang kreatif dan berkesan tentu membantu menghidupkan peristiwa silam dalam minda pelajar. Daya ingin tahu pelajar perlu diterokai dengan meminta mereka membuat penyelidikan; bukannya sekadar menyuruh mereka menghafal. Mengapa tidak menggunakan filem, dokumentari, teater, pidato, gambar, dan seumpamanya. Muat naikkan semua itu ke dalam YouTube supaya pelajar dapat mengaksesnya bila-bila masa, apatah lagi ini merupakan saluran paling menarik perhatian mereka. Minta pelajar ke arkib dan muzium atau ke tempat berlakunya peristiwa sejarah berkenaan. Adakan forum, perbincangan, persembahan drama dan seumpamanya lagi. Di tangan guru yang kreatif, sejarah silam adalah serba mungkin.

Buku teks seharusnya tidak mengongkong mereka. Pelajar terutama pada peringkat sekolah menengah perlu dilatih untuk mentafsir dan menganalisis peristiwa sejarah, apatah lagi, sesuai dengan pendapat sejarawan terkemuka, R.G Collingwood, semua sejarah ialah sejarah pemikiran. Dan, bagi E.H Carr, sejarah ialah satu proses interaksi berterusan antara ahli sejarah dengan fakta-faktanya, satu dialog yang tidak berkesudahan antara masa kini dengan masa lampau.

Sejarah negara dan bangsa sendiri penting dan perlu diketahui dan dihayati oleh rakyat. Sejarah mempunyai nilai dan makna tertentu dalam kehidupan manusia. Siapa anda hari ini adalah kerana sejarah silam anda. Kita sentiasa memerlukan masa lalu kerana masa sudah ialah sebahagian daripada kewujudan kita. Pengalaman silam dapat dijadikan landasan ketika kita menuju ke hadapan. Sesiapa yang tidak mengetahui sejarah berkemungkinan mengulangi kesilapan silam. Pada zaman lampau, masyarakat Yunani purba umpamanya, seperti yang diriwayatkan Herodutus yakin bahawa peradaban atau negara sentiasa mengalami proses kitaran.

Sejarah ialah peristiwa yang berulang-ulang. Kita perlu belajar daripada banyak peristiwa silam temasuk tragedi 13 Mei 1969 agar peristiwa sedemikian tidak akan berulang lagi. Untuk memahami masa kini dengan lebih baik, kita pelru memahami masa silam. Pendek kata, masa silam dapat dijadikan sebagai petunjuk dan penyuluh masa depan. Justeru, kandungan sejarah yang bakal diperkenalkan perlulah bersifat objektif berdasarkan fakta dan data; bukannya hanya mengutamakan ideologi, parti atau kaum tertentu. Buku teks sejarah sekarang perlu dirombak dari segi kandungan, gaya penulisan dan persembahannya bagi menepati objektif pengajaran-pembelajaran dan memastikan pelajar seronok membaca dan mengikutinya.

Anggaplah sejarah seolah-olah seperti cermin belakang kereta. Sekali-sekala kita perlu menoleh ke arah cermin belakang ketika bergerak ke hadapan.

*Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak.

 

One thought on “Sejarah umpama cermin belakang kereta

Tinggalkan sepatah dua kata

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s