Pil pahit untuk SUPP sebelum pilihan raya negeri

Dr Jeniri Amir

Saya sengaja turun awal untuk mendengar dan menyaksikan majlis ceramah terakhir anjuran DAP di hadapan Kafe Rafe, di tengah-tengah bandar Sibu malam Sabtu, 15 Mei lalu. Saya ingin tahu bagaimana sambutan terhadap ceramah perdana DAP menjelang hari mengundi keesokannya. Pada malam sebelumnya, tempat yang sama menjadi medan ceramah DAP meskipun kurang daripada 25 orang yang hadir, termasuk pekerja Pakatan Rakyat. Dari atas lori, tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat, termasuk Tien Chua, membangkitkan pelbagai isu tempatan dan nasional. Meskipun sambutan dingin, mereka tetap bersemangat tinggi menyampaikan ceramah; seolah-olah terdapat beribu-ribu orang yang hadir di hadapan mereka.

Namun, berbeza daripada malam sebelumnya, sambutan dan suasana begitu hangat malam Sabtu menjelang hari pengundian meskipun hujan renyai-renyai turun sekali-sekala. Strategi, pendekatan dan teknik kempen DAP ternyata berbeza daripada Barisan Nasional (BN). Mereka tidak sekadar menyampaikan ceramah mengajak sekitar 15,000 hadirin menyanyikan lagu yang membawa tema dan mesej perubahan. Karpal Singh, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Haji Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan calon DAP Wong Ho Leng ternyata mampu memainkan isu, termasuk menyentuh dasar kerajaan, kepemimpinan negeri dan negara, masalah tanah, pajakan tanah, banjir, dan banyak lagi. Hebatnya mereka, terletak kepada bagaimana teknologi digunakan ketika ceramah.

Ketika menyentuh isu kadar pajakan tanah yang baru diumumkan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada malam sebelum itu, Wong Ho Leng mengkritik dasar yang diangggap beliau tidak adil apabila harga yang dikenakan adalah sama untuk semua rumah jenis dalam kategori yang sama. Pemimpin Pakatan Rakyat, tidak kira daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat atau PAS, mempunyai mesej yang sama: Meminta pengundi melakukan perubahan untuk mengajar SUPP dan BN. Kelemahan BN dieksploitasikan dengan sebaik mungkin. Dasar kerajaan dan pemimpin diperlekeh, dan gaya demikian mampu mengundang perhatian dan minat mereka yang hadir.

Penonton bertepuk tangan apabila rumah besar dan tersergam indah milik Ketua Menteri dipaparkan melalui dua skrin yang dipasangkan di hadapan kedai tempat ceramah diadakan. Sambutan luar biasa, dan seorang penganalisis politik Malaysia dari luar negara yang saya temui menggambarkan sambutan sebagai “luar biasa”. Memang, jumlah yang hadiri adalah antara yang terbanyak terhadap ceramah politik di Sarawak dalam sejarah.

Pada permulaan kempen Lit Kit Siang mengakui peluang DAP memenangi kerusi yang ditakluki BN sejak 1990 itu hanya 40 peratus. Itu mungkin strategi supaya dianggap sebagai underdog dan agar pekerja parti bekerja lebih bersungguh-sungguh. Dengan peratusan untuk menang tidak berapa cerah, tentu ahli dan petugas parti melipatgandakan usaha bagi memastikan sejarah 1982 berulang kembali apabila calon DAP menang dengan majoriti 141 undi. Kemudian Lim Kit Siang meningkatkan peratusan, membuktikan peluang untuk DAP menang adalah cerah asalkan pekerja parti terus berusaha bersungguh-sungguh.

Meskipun terhambat dari segi sumber, wang dan jentera parti, namun DAP mempunyak kelebihan dari segi semangat dan strategi kempen. Begitu banyak sukarelewan yang ingin membantu Pakmatan Rakyat. Dikatakan 66 orang Ahli Parlimen DAP berkunjung ke Sibu untuk membantu kempen. Manakala hampir seluruh barisan anggota Kabinet Persekutuan juga turun ke akar umbi, termasuk berkampung di rumah panjang.

Berdasarkan sambutan dan suasana malam itu, dengan majoritinya kaum Cina, saya sudah dapat merasai perubahan beralih kepada DAP. Jika sehari sebelumnya BN berada di hadapan sekurang-kurangnya satu peratus, malam itu, saya agak sokongan mulai memihak kepada Wong Ho Leng. Nama pengerusi DAP negeri itu dilaungkan banyak kali selepas setiap penceramah menamatkan ceramah. Sebagai calon, keupayaan Wong Ho Leng sebagai penceramah tidak dapat dibandingkan dengan Karpal Singh atau Anwar. Lim Guang Eng menyemarakkan semangat yang hadir dengan melaungkan ‘ngap sayot’ laungan digunakan di stadium ketika pasukan bola sepakpimpinan Awang Mahyan, bertarung menentang lawan. Laungan ngap sayot berjaya menggerakkan sokongan rakyat jelata terhadap pasukan pimpinan beliau. Kini, Ketua Menteri Pulau Pinang itu mahu menggunakan ngap sayot dalam kempennya menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Tetapi, hakikat bahawa gaya ceramah dan isu yang dibangkitkan mereka lebih menarik pengundi dan penonton tidak dinafikan meskipun ada yang hadir hanya seronok untuk mendengar bagaimana pemimpin pembangkang mengkritik dan melibas BN. Pemimpin BN yang ditemui masih mengakui bahawa mereka masih berpeluang menang dengan majoriti kecil, dan menganggap bahawa kehadiran ramai penonton bukan bermakna semuanya akan mengundi DAP. Mereka sebenarnya gagal membaca mood dan arus bawah yang terlalu kuat memihak kepada DAP.

Pengundi Cina lebih banyak mendiamkan diri. Mereka memendam dendam untuk sekian lama. Hakikat bahawa mereka sudah muak dengan SUPP, BN dan pemimpin politik tertentu negeri tidak dinafikan. Ia bagai gunung berapi yang sudah lama tidak meledak, tetapi hanya menunggu masa sajaha untuk mengeluarkan laharnya. Saat itu tiba pada hari Ahad, 16 Mei apabila mereka turun mengundi untuk menentukan siapa yang layak menyuarakan isu dan masalah kaum Cina di Parlimen.

Pengundi Cina di bandar Foochow itu menyumbang sebanyak 67 peratus daripada sekitar 55,000 pengundi di Parlimen 212 itu tidak berbeza daripada mereka di Semenanjung, termasuk di Hulu Selangor, yang mengadakan pilihan raya kecil 25 April lalu. Dalam pilihan raya kecil ke-11 selepas pilihan raya umum mac 2008, sekali lagi, mereka mengulangi apa yang berlaku di Semenanjung. Hampir 70 peratus pengundi Cina menolak SUPP dan BN yang dianggap gagal memaahami masalah dan aspirasi mereka.

BN dan SUPP dianggap tidak bersungguh-sungguh menangai kepentingan dan masalah yang dibangkitkan untuk sekian lama, termasuk masalah banjir, pendidikan, isu university, dan dasar yang dipewrsepsi tidak memihak kepada kaum Cina. Meskipun cuba menyelesaikan isu terbabit, namun tindakan menghulurkan bantuan menjelang pilihan raya dianggap terlalu lambat dan tidak memberi kesan untuk menakluki jiwa dan minda pengundi.

Sebaliknya, tindakan itu dianggap tidak ikhlas dan meletakkan pengundi seolah-olah seperti pengemis yang tidak ada maruah diri. Mengapakah pihak kerajaan tidak pernah belajar daripada kesilapan lepas? Mengapakah BN masih lagi terbelenggu dalam kepompong lama dari segi menangani masalah rakyat? Mengapakah BN begitu agresif menjelang pilihan raya dan begitu murah hati waktu kempen? Kenyataan ini tentu tidak diakui pemimpin politik BN.

Fahamilah bahawa pengundi tidak lagi boleh diancam atau dilayan seolah-olah budak kecil yang perlu digula-gula dengan peruntukan dan projek. Mereka bukan lagi seperti pengundi dekad 60-an atau 80-an yang akan menerima bulat-bulat apa sahaja yang dikatakan oleh pemimpin politik. Pengundi muda kini lebih sensitif, terdidik, berpengalaman, malah lebih berkelayakan daripada sesetengah wakil rakyat dan pemimnpin politik. Jika perbuatan dan kata-kata pemimpin politik menyinggung perasaan mereka, mereka akan bertindsak balas dengan menghukum calon yang bertanding. Peti undi menjadi tempat untuk mereka melepas geram dan mengajar parti dan kerajaan yang dilihat gagal memahami aspirasi mereka.

SUPP dan BN boleh memberi seribu satu sebab mengapa mereka kalah, termasuk menyalahkan cara berkempen DAP dan Pakatan Rakyat. Daripada menyalahkan pihak lain dalam kekalahan itu, lebih baik bagi SUPP terutamanya untuk memeriksa dan mencerminkan diri, dan seterusnya membaiki sebarang kelemahan, sebelum parti tertua Sarawak itu terus dicampakkan pengundi Cina di bandar dalam pilihan raya negeri akan datang. Mesej yang dihantar melalui peti undi perlu ditafsir setepatnya, dan yang lebih penting dibetulkan sebarang kesilapan. Belajarlah untuk berjiwa besar dengan menerima kelemahan. Rakyat dan pengundi tidak harus dipandang mudah.

Mereka, memetik kata-kata Timbalan Perdana Menteri, sebenarnya ialah raja. Pemimpin politik tidak harus menganggap mereka seperti tuan, kerana tuan dalam era moden sebenarnya ialah pengundi. Pemimpin ialah hamba rakyat yang perlu sanggup turun ke akar umbi untuk menyelami rungutan dan masalah rakyat. Kita tidak lagi memerlukan pemimpin yang hanya kelihatan sensitif dan prihatin terhadap masalah rakyat menjelang pilihan raya. Masalah pemimpin akar umbi dan wakil rakyat yang dipersepsi gagal menyelami aspirasi dan menyelesaikan masalah rakyatlah yang menjadi antara punca kegagalan BN mengekalkan kerusi yang dikuasainya sejak 1990.

Semua pihak dalam BN perlu mengambil iktibar daripada kekalahan dengan majoriti 398 undi di Parlimen Sibu. Jangan lihat majoriti itu sebagai majoriti kecil, kerana ayunan undi kepada DAP sebenarnya agak tinggi, iaitu sekitar 4,000 undi, jika diambil kira majoriti mendiang Datuk Robert Lau, Timbalan Menteri Pengangkutan sekitar 3, 500 undi dalam pilhan raya 2008. Hampir setiap petik undi atau saluran pengundi Cina memihak kepada DAP. Meskipun sekitar sokongan pengundi Iban mejingkat sebanyak 4 peratus, tetapi ini adalah dengan harga yang mahal. Maksudnya, dengan bantuan dan peruntukan besar yang disalurkan oleh pihak kerajaan kepada penghuni rumah panjang, peningkatan sokongan itu yang tidak begitu signifikan, bukanlah sesuatu yang dapat dibanggakan sangat.

Mengapakah pengundi Cina tidak beganjak pendirian politik mereka, malah terus menghukum SUPP dan BN? Apakah yang menyebabkan mereka begitu kecewa dan terus menghukum kerajaan? Adakah kerana kegagalan SUPP menyuarakan kepentingan mereka atau kegagalan kerajaan mewujudkan dasar yang adil dan telus? Adakah kerana mereka merasai dianaktirikan dalam hal berkaitan dengan pendidikan, persekolahan, peluang anak masuk ke universiti, dan peluang mendapat pekerjaan di sektor awam? Kenyataan Datuk Ibrahim Ali, Presiden Perkasa yang menyifatkan kaum Cina sebagai tidak pandai bersyukur, tentu tidak banyak membantu, malah akan menyebabkan kaum Cina terus menjarakkan diri daripada BN meskipun beliau ialah wakil rakyat Bebas.

Penulis, pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak, kerap diminta komen oleh stesen TV dan akhbar sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil Sibu.

 

Advertisements

Tinggalkan sepatah dua kata

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s