Negara aman cuba diporak-perandakan

Oleh Rejal Arbee
rejal@mcoba.com
2011/09/15

Dakwaan Malaysia ikut telunjuk Barat mahu perkecilkan pemimpin

SEJAK Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau Mat Sabu memperlekeh perjuangan pemimpin UMNO mencapai kemerdekaan, sebaliknya menganggap Ahmad Indera atau Mat Indera yang bersekongkol dengan pengganas komunis sebagai wira kemerdekaan, sudah ada generasi muda, termasuk anak Melayu yang taksub dan terpengaruh dengan idola mereka itu.

Demikian juga PAS Pusat yang melihat bahawa ia boleh mengeksploitasi keadaan itu sudah secara terang-terangan menyokong pendirian Mat Sabu. Maka PAS pun mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO tidak pernah mengangkat senjata untuk mendapatkan kemerdekaan, sementara pejuang lain menggadaikan nyawa hingga menyebabkan penjajah ketika itu berada dalam keadaan ‘amat parah’.

Kita sepatutnya harus mengakui landasan yang sudah diwujudkan pimpinan terdahulu mencapai kemerdekaan, yang sudah membawa negara ke tahap kemajuan yang dinikmati rakyat sehingga sekarang dalam suasana aman. Malangnya kini sudah ada segelintir yang persoalkan kerjasama baik itu dengan pihak Barat. Apakah dengan jalin kerjasama demikian, kemerdekaan kita tercela dan kita berterusan menjadi ‘vassal’ kuasa Barat?

Kata PAS lagi: “Apa yang UMNO buat ialah menjalankan pusingan keempat yang akhir dan menuntut kredit mutlak atas kejayaan itu, tanpa sebarang pengiktirafan kepada pejuang kemerdekaan yang tersungkur dalam tiga pusingan awal yang berjaya melemahkan kuasa penjajah.”

Maka itulah jasa Datuk Onn Jaafar yang berjaya menyatukan pelbagai pertubuhan Melayu di bawah panji UMNO menentang penjajahan British yang hendak memantapkan kedudukannya di Tanah Melayu selepas kembali berkuasa berikutan kekalahan Jepun pada akhir Perang Dunia Ketiga pada 1945, melalui cadangannya hendak menubuhkan Malayan Union yang kemudian disambung Tunku Abdul Rahman membawa negara mencapai kemerdekaan pada 1957 diperlekehkan.

Jasa kedua-dua tokoh ini diperkecilkan hanya kerana mereka pernah berkhidmat dengan pemerintahan British. Demikian juga usaha mendapatkan kemerdekaan menerusi rundingan sudah dianggap tidak bermakna dengan perjuangan mengangkat senjata yang membawa kepada pertumpahan darah.

Beginilah keadaannya hingga sanggup membuat tanggapan songsang terhadap sejarah negara hanya kerana ghairah untuk mendapatkan sokongan menguasai tampuk pemerintahan di Putrajaya, jika menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Kini riwayat hidup Mat Indera ditimbulkan bahawa dia sebenarnya adalah seorang guru agama mengajar al-Quran dan dengan itu tidak mungkin boleh menyertai perjuangan komunis. Mereka juga menyebut bagaimana tentera British terdiri daripada askar Fiji dan Gurkha mengganggu anak gadis Melayu serta isteri orang yang membawa kepada Mat Indera mengangkat senjata.

Hakikat bahawa dia bersekongkol dengan kira-kira 180 anggota Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai Goh Peng Tun menyerang dan membunuh anggota polis Melayu serta keluarga termasuk anak mereka di Bukit Kepong, Muar, pada 1950 hendak dilupakan begitu saja?

Persoalannya kenapa menyerang balai polis yang dianggotai polis Melayu dan tidak menyerang askar Fiji yang membawa banyak masalah kepada masyarakat Melayu di kawasan berkenaan ketika itu?

Kini wujud pula dakwaan kononnya negara ini walaupun merdeka, tetapi masih terkongkong dengan kuasa Barat sebagai sebuah ‘vassal’, iaitu negara yang mengikut telunjuk Barat. Apakah dakwaan ini berasaskan fakta sebenar?

Golongan yang berfikiran demikian sengaja mahu memperkecilkan apa yang dilakukan kerajaan Malaya di bawah pimpinan Tunku dan Perikatan menjalin kerjasama baik dengan bekas penjajah dan kuasa Barat selepas mencapai kemerdekaan demi kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sungguh menghairankan apakah mereka menganggapkan usaha yang menjadi landasan kemajuan negara sekarang dalam suasana aman tanpa pertelingkahan kaum, walaupun Malaysia adalah negara majmuk sudah tidak bermakna?

Apakah mereka mahu negara menjadi porak-peranda menghadapi perbalahan dan pertempuran antara kaum seperti yang berlaku di Sri Lanka atau memencilkan diri dari dunia luar seperti Myanmar atau pun keadaan ekonomi dan pembangunan kucar-kacir seperti yang berlaku di beberapa negara Afrika seperti Zimbabwe, Congo atau Ghana dan Nigeria. Apakah keadaan begini yang mereka mahukan?

Kita sepatutnya harus mengakui landasan yang sudah diwujudkan pimpinan terdahulu mencapai kemerdekaan, yang sudah berjaya membawa negara ke tahap kemajuan yang dinikmati rakyat sehingga sekarang dalam suasana aman.

Malangnya kini sudah ada segelintir yang persoalkan pula kerjasama baik itu dengan pihak Barat. Apakah dengan menjalin kerjasama demikian, kemerdekaan kita tercela dan kita berterusan menjadi ‘vassal’ kuasa Barat?

Mereka nampaknya tidak mahu bersyukur kita sudah mencapai kemajuan yang amat baik jika dibandingkan dengan beberapa negara lain yang juga mencapai kemerdekaan pada dekad 50-an dan 60-an yang mengamalkan sikap bermusuhan dengan bekas penjajah dan kuasa Barat hingga menjejas pembangunan negara dan ekonomi mereka.

Kini sudah ada beberapa blog yang cuba mengabui mata rakyat terhadap kekejaman pengganas komunis di bawah pimpinan Chin Peng dengan mengagungkan pendirian anggota Melayu dalam PKM, khususnya mereka yang menganggotai Regimen ke-10 dengan alasan sama seperti diberikan Mat Sabu bahawa mereka mengangkat senjata berjuang menentang penjajah British.

Penulis ialah Felo Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Advertisements

One thought on “Negara aman cuba diporak-perandakan

Tinggalkan sepatah dua kata

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s