Keperluan asas adalah tanggungjawab kerajaan. Wajib diberi kepada semua rakyat.

Penduduk Sarawak, Sabah layak terima pembangunan setimpal

KETIKA berkunjung ke Batang Ai, sebuah pekan sekitar setengah jam perjalanan dari Sri Aman ketika kempen pilihan raya kecil hangat berjalan awal tahun ini, saya terkejut besar apabila mendapati sebahagian rumah panjang yang berdekatan dengan projek hidro elektrik Batang Ai, masih tidak mendapat bekalan elektrik. Lebih mengejutkan banyak rumah panjang tidak mempunyai bekalan air bersih dan hanya mempunyai jalan raya tanah, manakala penduduknya rata-rata masih berada pada paras kemiskinan.

Pilihan raya datang dan pergi dan ribuan janji ditaburkan oleh calon dan menteri, namun keadaan dan nasib penduduk tidak jauh berubah sejak 46 tahun lalu. Tidak hairanlah, isu pembangunan sering dijadikan momokan pembangkang menjelang pilihan raya ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri mendakwa sudah berjaya membawa pembangunan ke luar bandar. Hakikatnya, luar bandar Sarawak masih mundur dari segi prasarana, kemudahan kesihatan, persekolahan, bekalan api dan elektrik dan peluang pekerjaan.

Masih ada jalan utama di negeri ini sama seperti 30 tahun lalu dan tidak sesuai dilalui oleh kenderaan biasa, walaupun wakil rakyat sudah silih berganti. Sekitar dua bulan selepas pilihan raya kecil Batang Air dilangsungkan, Perdana Menteri dalam blognya mencatatkan kesan kunjungannya ke kawasan Iban yang terletak di tebing sungai Batang Ai.

Beliau melawat ke kawasan Lubok Antu untuk meyakinkan masyarakat di situ bahawa pembangunan yang dijanjikan kepada mereka akan dikotakan oleh kerajaan. Ini termasuk jalan yang sangat diperlukan untuk menghubungkan kawasan di sekitarnya. Seterusnya, Datuk Seri Najib Razak mencatatkan bahawa persinggahan beliau seterusnya juga benar-benar bermakna.

Kata beliau dalam blognya, beliau dapat tahu mengenai lawatan ayahanda beliau ke sebuah kampung di Serian untuk merasmikan satu projek bekalan air untuk masyarakat Bidayuh yang tinggal di situ. Sejak itu beliau sangat teringin untuk melawat kampung itu. Pada 18 Jun lalu, selepas hampir 43 tahun sejak Allahyarham ayahanda beliau melalui satu lorong kecil yang membawa ke Kampung Pichin di Serian, beliau dapati sejak sekian lama antara pembangunan di kawasan berkenaan, lorongnya kini lebih besar dan mampu digunakan rombongan berkenderaan. Beliau memilih berjalan di laluan sama yang dilalui Allahyarham ayahandanya.

Kata beliau lagi, masyarakat Bidayuh dari Kampung Pichin pastinya tidak akan melupakan hari Perdana Menteri kedua melalui laluan ini ke kampung mereka. Katanya: “Saya benar-benar tersentuh bila mereka menghadiahkan kepada saya satu set gambar lama yang diambil pada hari Allahyarham ayahanda saya melawat Kampung Pichin. Saya berkongsi kenangan gambar ini bersama-sama keluarga. Saya berterima kasih kepada penduduk kampung atas sokongan mereka yang sungguh-sungguh menggalakkan dan saya mengulangi janji saya untuk membawa lebih kemajuan ke kawasan Serian, terutama untuk masyarakat Bidayuh.”

Sesungguhnya, Sarawak dan Sabah memerlukan lebih banyak perhatian dan peruntukan. Rakyat sudah terlalu lama menunggu untuk menikmati kemudahan dan prasarana asas. Rakyat sudah lama bersabar sehingga sebahagian mereka sudah muak dengan sebahagian janji yang tidak dikotakan. Usah lagi menanam tebu di tepi bibir, kerana mereka mahu kata dikotakan dan janji ditepati. Kerbau diikat pada hidungnya, menteri diikat pada janjinya. Inilah masa terbaik untuk membuktikan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Sepatutnya, politik keperluan asas sudah lama berlalu, mengambil kira kekayaan sumber muka bumi di negeri ini. Mengapakah kita masih lagi bergelut dengan kemiskinan dan keperluan kemudahan asas? Adakah kerana ketidakpintaran dari segi perancangan atau pelaksanaan projek yang lemah? Adakah kerana masalah ketirisan dan rasuah? Atau sesungguhnya kerana jumlah peruntukan yang tidak berpadanan dengan keperluan negeri seluas Semenanjung, dengan 5,000 rumah panjang bertaburan di merata-rata tempat di sepanjang sungai, bukit dan gunung-ganang?

Malah, makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang berkaitan dengan pembangunan luar bandar yang dipamerkan di Kuala Lumpur minggu lalu mengenal pasti keperluan rakyat, terutama di Sabah dan Sarawak bagi program transformasi kerajaan. Malah, kesungguhan itu diperlihatkan dengan jelas apabila beliau melantik Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan timbalannya dari Sabah dan Sarawak.

Kerajaan pimpinan Najib memperlihatkan komitmen yang jitu untuk mengubah nasib penduduk di luar bandar dengan menyalurkan peruntukan besar dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh. Peruntukan yang besar memang diperlukan untuk kedua-dua negeri terbabit kerana saiz geografinya yang besar, keadaan pembangunan dan kadar kemiskinan yang masih terkebelakang berbanding dengan Semenanjung.

Nasib masyarakat luar bandar, terutama golongan miskin dan etnik minoriti perlu terus dibela. Kerajaan negeri, misalnya tidak seharusnya hanya mengutamakan kepentingan syarikat gergasi dengan memberi tanah untuk penanaman kepala sawit, tetapi mengabaikan rintihan penduduk miskin yang sudah mengusahakan tanah berkenaan sejak turun-temurun.

Suara rakyat miskin dan tidak memiliki kuasa perlu didengar dengan bersikap adil terhadap mereka. Sayugia diingat, kebanyakan kerusi di Sabah dan Sarawak boleh dianggap sebagai kerusi luar bandar dan pedalaman. Justeru, pengorbanan dan sokongan pengundi dan penduduk terbabit sewajarnya dibalas dengan memastikan nasib dan kehidupan mereka mengalami transformasi.

Jeniri Amir

Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak

 

Advertisements

One thought on “Keperluan asas adalah tanggungjawab kerajaan. Wajib diberi kepada semua rakyat.

  1. Memang wajar Sabah dan Sarawak diberikan peruntukan yang lebih banyak untuk pembangunan infrastruktur setelah begitu lama sudah merdeka. Realitinya, perbezaan pembangunan di Sabah /Sarawak dan Semenanjung Malaysia amat jauh. Yang paling menyedihkan , rakyat Sabah dan Sarawaklah yang paling kurang “miskin” kerana tidak pernah meminta-minta. Biar derita kami tanggung sendiri..

Tinggalkan sepatah dua kata

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s