Hari Paling Bersejarah….Mengapa perlu tunggu hingga 47 tahun?

Terima kasih kepada akhbar Berita Harian kerana sering memberi ruang dan peluang bagi artikel tentang Sabah dan Sarawak

HARAPAN RAKYAT:

  1. Kami berharap lawatan ini bukannya dibuat memandangkan tidak lama lagi PRU DUN Sarawak
  2. Benarkah rakyat Ulu Krian bakal menikmati bekalan elektrik dan jalan raya sempurna tidak lala lagi?


Kunjungan PM sejarah Rumah Panjang Radin

Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my

HARI ini dianggap sebagai paling bersejarah dan paling bertuah bagi 289 penghuni Rumah Panjang Radin, Lachau Ulu, kira-kira 50 kilometer dari bandar Sri Aman, apabila Datuk Seri Najib Razak, menjadi Perdana Menteri pertama negara yang memijakkan kaki ke rumah panjang 48 pintu itu.

Lebih bermakna kunjungan Najib itu membawa sinar baru kepada rumah panjang berkenaan apabila beliau melancarkan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di rumah panjang terbabit, selepas berpuluh tahun penduduk di situ bergantung kepada pelita dan janakuasa.

Najib dijadualkan merasmikan projek BELB di rumah panjang kaum Iban itu pagi ini, selepas merasmikan BELB di Rumah Juliana, Kamidan Jaya, Awik, Saratok.

Tinjauan Berita Harian ke Rumah Panjang Radin semalam mendapati penghuni rumah panjang itu sibuk membuat persiapan akhir untuk menyambut kedatangan Najib dan rombongan dengan diketuai sendiri Tuai Rumah, Radin Suin, 43.

“Kami teruja apabila diberitahu mengenai kedatangan Perdana Menteri ke rumah panjang kami dan sejak seminggu lalu kami sudah melakukan segala persiapan perlu termasuk mengecat baru rumah panjang kami, memasang tikar getah baru dan memasang tirai baru untuk kesemua 48 pintu Rumah Panjang Radin.

“Kami melakukan ini semua secara gotong-royong kerana terlalu gembira dengan kedatangan Perdana Menteri ke sini. Semua penghuni rumah panjang yang berkerja jauh juga sudah pulang kerana mahu berjumpa dengan Perdana Menteri.

“Tidak pernah dalam sejarah rumah panjang kami dikunjungi seorang Perdana Menteri dan hari ini kami rasa amat bertuah. Malah Menteri peringkat Pusat pun tidak pernah memijakkan kaki ke rumah panjang kami setakat ini,” kata Radin kepada Berita Harian.

Radin berkata, kedatangan Najib hari ini akan disambut secara tradisional dengan persembahan tarian dan muzik kaum Iban, seterusnya merasmikan projek berkenaan dan makan tengah hari bersama penghuni rumah panjang itu.

Bagi penghuni tertua di rumah panjang itu, Majang Akoi, 80, kedatangan Najib ke situ diharap akan membawa sinar harapan baru kepada penghuni rumah panjang dan penduduk sekitarnya.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat kerana akhirnya memberikan bekalan elektrik kepada rumah panjang kami. Pada masa sama kami juga memerlukan bekalan air paip yang bersih.

“Sehingga kini penduduk di sini bergantung kepada air gunung dan air hujan. Jalan raya masuk ke rumah panjang kami hampir empat kilometer juga masih berbatu dan belum berturap. Diharap perkara ini juga akan diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.

Majang juga amat berharap supaya sebuah sekolah menengah dapat dibina di kawasan Lachau kerana setakat ini hanya ada sekolah rendah di situ, sedangkan sekolah menengah kedudukannya agak jauh di Melugu.

Bagaimanapun, Majang bersyukur kerana kedua-dua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang mewakili mereka, iaitu Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Begunan, Mong Dagang, kerap turun padang serta mengambil tahu masalah rakyat.

Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, tiba di Kuching malam tadi untuk lawatan rasmi dua hari ke Sarawak. Selain merasmikan BELB di Saratok dan Lachau, beliau dijadual melawat projek pembetungan banjir di Kampung Nanas, Kelaka dan Sungai Simunjan Lama, serta mengadakan tinjauan mesra di Gerai Lama, Simunjan, petang ini.

Malam ini Perdana Menteri dan isteri dijadual menghadiri makan malam 1Malaysia di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang baru di Kuching, sebelum meneruskan lawatan ke Sibu, esok.

Rosmah dijadual menghadiri majlis berasingan bersama badan bukan kerajaan (NGO) di Kuching tengah hari ini dan esok dijadual merasmikan Pusat Agape di Sibu.

Esok, Perdana Menteri dijadual menghadiri majlis bersama rakyat di Nanga Tada, Nanga Jagau dan Nanga Ngungun di Kanowit, sebelum mengadakan tinjauan mesra di Pasar Sentral Sibu dan makan tengah hari Tahun Baru Cina di Sibu, sebelum pulang ke ibu negara pada sebelah petang.

 

Tinggalkan sepatah dua kata

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s