Bahasa Melayu satukan 30 etnik di Sarawak

Oleh Misih Taib

Pemilihan Bumi Kenyalang tuan rumah BBK 2009 tepati manifestasi gagasan 1Malaysia

PEMILIHAN Sarawak sebagai tuan rumah pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009 yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di Kuching hari ini amat bermakna kerana inilah kali pertama Bumi Kenyalang dipilih diberi penghormatan itu.

BBK 2009 yang membawa mesej ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ sebelum ini dikenali sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN), diadakan pihak kerajaan bagi mencapai hasrat yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu membina negara bangsa, satu pendekatan ke arah memperkukuh perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangsaan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz, menyifatkan pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah pelancaran BBK 2009 sebagai amat kena pada tempatnya dan menepati gagasan 1Malaysia.

Sarawak menurut beliau, amat berbeza dengan negeri lain terutama di Semenanjung dengan jumlah suku etniknya paling ramai, tetapi semua kaum memilih bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antara mereka.

Sejak dulu lagi bahasa Melayu sememangnya menjadi bahasa ‘penyatuan’ bagi lebih 30 suku kaum di Sarawak, dengan ia dijadikan bahasa komunikasi termasuk di antara orang Melayu dengan orang Cina, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau dan pelbagai suku etnik lain.

Malah perkahwinan campur begitu banyak berlaku di Sarawak, sehingga dalam satu-satu keluarga ada yang terdiri daripada lima kaum, dengan kebanyakannya memilih bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antara mereka.

Penulis sendiri mempunyai rakan yang dalam keluarganya ada keturunan Iban, Orang Ulu, Cina, Melayu dan Bidayuh, dengan setiap perayaan membabitkan kaum berkenaan diraikan oleh keluarga terbabit atas semangat 1Malaysia.

“Kahwin campur adalah contoh paling baik bagi konsep 1Malaysia di Sarawak, ada Bidayuh yang kahwin Iban, Iban kahwin Orang Ulu, Melayu kahwin Iban, Cina kahwin Bidayuh dan pelbagai lagi, dengan lingua franca mereka adalah bahasa Melayu,” kata Termuzi kepada Berita Harian.

Lebih bermakna pelancaran BBK 2009 hari ini disempurnakan oleh pemimpin nombor dua negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang pertama kali menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang.

Kira-kira 5,000 orang dijangka menghadiri majlis pelancaran itu akan mendengar amanat Muhyiddin, selain Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Termuzi, seterusnya disusuli pelbagai acara bercorak kebahasaan dan kesusasteraan.

Kehadiran 30 suku etnik untuk membaca ikrar bahasa pada majlis itu diketuai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pastinya mencipta kelainan kerana jumlah kaum yang begitu ramai untuk melafazkan ikrar pada majlis pelancaran BBK.

Pendekatan Kerajaan Negeri Sarawak dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga amat menarik untuk diperkatakan, sehingga Termuzi sendiri menyifatkan DBP tiada masalah dari segi pengembangan bahasa kebanggaan di Bumi Kenyalang, dan ia wajar dicontohi.

“Di Sarawak bahasa Melayu sejak dulu lagi diterima oleh semua kaum dengan baik dan dijadikan bahasa perhubungan,” katanya.

Seperti ditegaskan Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Openg, tiada paksaan dan unsur emosi digunakan oleh kerajaan negeri Sarawak dalam mengembangkan penggunaan bahasa Melayu, sebaliknya pendekatan berhemah menjadi pilihan, dan pada akhirnya kerajaan negeri yakin semua peringkat akan dapat menerima penggunaan bahasa itu dalam segala urusan secara berperingkat.

Malah katanya, pendekatan sama digunakan untuk persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, yang menyaksikan wakil rakyat yang juga terdiri daripada pelbagai suku etnik, tidak dipaksa menggunakan Bahasa Melayu.

“Dalam persidangan DUN pun kita bersikap fleksibel. Saya sendiri menggunakan Bahasa Melayu, tetapi kadang-kadang turut menyelitkan bahasa Inggeris ketika mahu memberi penjelasan. Kita mesti bersikap fleksibel. Kita tidak mahu mempolitikkan isu bahasa, apa lagi kita mempunyai terlalu banyak suku etnik. Malah kita sudah menggunakan istilah etnik dalam bahasa kebangsaan, misalnya ‘merarau’ yang diambil dari suku Iban,” katanya sambil menambah semua pihak tidak boleh bersikap emosi dalam mengembangkan bahasa supaya ia dapat diterima dengan baik.

Bagi Setiausaha Jawatankuasa Penganjur BBK 2009 yang juga Pengarah DBP cawangan Sarawak, Jiso Rutan, pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah pelancaran adalah satu penghormatan, kerana acara berkenaan sangat penting bagi seluruh rakyat Malaysia dalam memperjuangkan bahasa kebangsaan.

Lebih bermakna katanya, rakyat pelbagai kaum di Sarawak adalah manifestasi konsep 1Malaysia dan bahasa kebangsaan adalah satu wahana dan satu medan yang boleh dijadikan alat untuk mencapai penyatuan lebih jitu.

“Keadaan di Sarawak amat berbeza kerana kita ada pelbagai suku kaum, tetapi dengan semangat 1Malaysia yang ada pada masyarakat Sarawak, saya yakin peluang untuk memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa besar di Sarawak sangat cerah,” katanya.

Penganjuran bulan bahasa yang menggembleng tenaga seluruh anggota masyarakat pada semua peringkat ini diadakan untuk mengukuhkan jati diri dan memperteguhkan perpaduan bangsa melalui bahasa dan sastera.

Pelbagai acara diadakan di setiap negeri dengan di Sarawak ia dimulakan dengan pelancaran Ekspo Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 di Kompleks Pelancongan di Kuching pada Sabtu lalu oleh Abang Johari dan ekspo berkenaan berlangsung selama empat hari.

Persembahan bermukun, kuiz BBK 2009, kuiz sumpit maklumat, pertandingan Juh Ngeja, program penerbitan ilmiah, pertandingan mewarna, majalah dalam kelas, kuiz minda QAF dan persembahan nyanyian lagu rakyat adalah antara pengisian ekspo berkenaan.

Pameran yang diadakan sempena ekspo itu pula memfokus kepada hasil penerbitan DBP sepanjang lebih setengah abad berjuang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ulung. Ini merangkumi kamus, istilah, ensiklopedia, karya-karya yang memenangi hadiah, karya agung, karya bahasa dan sastera serta hasil penerbitan menerusi projek Dana Penggerak Industri Buku, selain buletin, majalah dan penerbitan dalam bentuk multimedia.

Sejak sekian lama bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat memenuhi fungsinya dengan baik sebagai bahasa perpaduan, dalam memupuk dan meningkatkan kesefahaman serta menyuburkan rasa kebersamaan serta membina ikatan kukuh dalam anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, suku kaum, dan budaya.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Sarawak

 

Tinggalkan sepatah dua kata

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: