JALAN TENGAH

Rejang menangis

Dr Jeniri Amir

Tiga kejadian melibatkan sungai di Sarawak menjadi tajuk berita menjelang penghujung bulan Oktober 2010 ini.

Pertama, kemalangan membabitkan ekspres bot mengorbankan 13 nyawa di Sungai Anap, Tatau. Kedua, air di Sungai Rajang, semakin surut. Ketiga, usaha kerajaan negeri di bawah pelan induk untuk membersihkan Sungai Sarawak.

Sungai menjadi nadi kegiatan ekonomi, sistem pengangkutan dan kehidupan sebahagian besar daripada 2.5 juta penduduk Sarawak, terutama mereka di sepanjang Sungai Rajang, Sungai Baram, Batang Sadong, Batang Tatau, Batang Lupar dan Sungai Limbang. Sarawak mempunyai 55 batang sungai. Jika sungai mati, maka segala kehidupan dan kegiatan mereka akan turut mati. Sungai mempunyai peranan signifikan dan kesan besar dalam kehidupan seharian mereka. Sungai bukan sahaja perlu dipelihara tetapi dilindungi daripada segala kegiatan yang mengancam hayatnya.

Jika sungai sudah tercemar dan mati, ia tentu merugikan manusia dan mendatangkan malapetaka yang tidak sukar dibayangkan. Tidak ada gunanya menyesal apabila nasi sudah menjadi bubur. Jadi, sebelum sesuatu yang tidak diingini terjadi, segala langkah perlu diambil untuk mengelakkan kejadian buruk menimpa kita. Usaha menyelamatkan sungai daripada pencemaran bukan sahaja memakan masa dan tenaga, tetapi memerlukan peruntukan besar.

Sebenarnya, semua itu tidak perlu jika kita sensitif dan prihatin terhadap sungai dan tidak mengambil ringan dengan membuang segala sampah ke dalamnya sehingga mencekik dan mematikan sungai. Tidakkah kita berasa berdosa dan kesal melihat sungai yang mengalir lancar dan begitu bersih suatu ketika dahulu, kini tidak lagi bergerak, berbau busuk dan dipenuhi sampah dan keladak?

Jadi, apabila Sungai Rajang tercekik dan tercemar oleh sampah sarap dan balak dua minggu lalu, tidak hairan ramai yang memperlihatkan keprihatinan mereka. Sungai Rajang perlu segera diselamatkan dan dibersihkan daripada sebarang ancaman angkara perbuatan manusia yang rakus dan tidak mempedulikan alam sekitar. Kini, kita wajar berasa risau dengan kejadian yang menimpa Sungai Rajang. Sungai Rajang yang menarik perhatian ramai baru-baru ini kerana fenomena balak dan sampah sepanjang lebih 50 kilometer sehingga menggemparkan penduduk di sepanjang sungai terbabit, kini berdepan dengan ancaman lain yang tidak kurang risikonya. Fenomena Sungai Rejang tercekik sedemikian menyebabkan kita masuk ke dalam rekod dunia!

Kini, Sungai Rajang sedang menderita dan menangis duka. Sungai Rajang semakin kering. Air semakin susut dan akibatnya, penduduk di Sibu, Kanowit, Song, dan Kapit dan Belaga dicengkam kebimbangan dan kerisauan yang bukan kepalang. Ini berita buruk kepada mereka yang sudah sekian lama bergantung kepada sungai sebagai nadi kehidupan dan pengangkutan.

Malah, sungai berkenaan menjadi mangkin kehidupan sejak zaman-berzaman lagi. Bayangkan tanpa jalan raya, bagaimanakah penduduk dari kawasan terbabit dapat bergerak dari satu tempat ke tempat lain, dan juga pergi ke Sibu?
Pada 13 Oktober lalu paras air di Kapit dikatakan 6.7m di atas paras laut tetapi menjuman kepada 2m sahaja lima hari kemudian. Apakah yang menjadi sebab utama air semakin kering? Adakah kerana proses menakung air di Empangan Bakun setinggi 205 meter? Atau sekali lagi, jalan paling mudah, adalah dengan menyalahkan cuaca! Balak dan sampah sarap hanyut tempoh hari disebabkan cuaca, air kering di dalam sungai juga kerana cuaca!

Untuk mendapat jawapan tepat, tanyakan mereka yang sudah berpuluh-puluh tahun menggunakan sungai terbabit, termasuk pengendali bot ekspres. Hakikatnya, satu pertiga daripada sumber air yang mengalir ke dalam Sungai Rajang dinafikan dengan langkah penakungan air berkenaan. Dalam keadaan sekarang kita mahu semua pihak, termasuk penduduk terbabit bercakap berdasarkan fakta, kerana akhirnya fakta dan kebenaranlah yang terserlah dan berguna kepada kita semua. Misalnya, jangan katakan puncanya ketiadaan hujan kerana sebelum itu pun hujan tidak pernah turun untuk beberapa minggu tetapi tidaklah sampai berlaku seperti sekarang. Kali ini air cepat susut di dalam sungai sehingga mendedahkan tebing dan bongkah batu di dalam sungai dan segala kemudahan prasarana berkaitan dengan sistem pengangkutan.

Kerisauan penduduk di sepanjang sungai berkenaan memang beralasan kukuh. Bayangkan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung penduduk, pelajar sekolah dan pesakit jika keadaan ini berterusan? Bagaimana hendak menghantar ubat dan makanan ke kawasan terbabit?

Sungai Rajang merupakan satu-satunya sistem pengangkutan yang memungkinkan mereka bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Jika sungai itu sudah kering kontang, ini merupakan satu malapetaka yang pasti mendatangkan kesulitan yang luar biasa kepada petani, penangkap ikan, pembalak, pengendali bot dan sebagainya. Sejak Jumaat minggu lalu bot ekspres yang menjadi sistem pengangkutan utama dari Kapit ke Belaga, sekitar 155 km dari pekan berkenaan dan sebaliknya tidak dapat beroperasi. Malah, kini perahu panjang dan bot dikatakan hanya dapat beroperasi ke kawasan di bawah Jeram Pelagus, sekitar 30 km dari Kapit.

Keadaan ini memberi kesan langsung kepada kegiatan pelancongan. Pelancong yang ingin menikmati keindahan sungai dengan menaiki bot dan kapal sehingga ke Jeram Pelagus yang begitu mencabar tidak akan lagi dapat ke sana. Air yang rendah pasti akan menjejaskan kegiatan mengangkut balak dari kem balak di sepanjang sungai dan cabang sungai terbabit, termasuk Sungai Katibas dan Sungai Baleh. Harus diingat bahawa kem balak di sepanjang sungai terbabit banyak menyalurkan balak untuk diproses di kilang papan berdekatan Sibu dan Tanjung Manis.

Sesungguhnya, jika keadaan sekarang bertambah teruk dan berlarutan, pasti ini akan mendatangkan kesan buruk dan berpanjangan kepada persekitaran dan ekosistem. Tanpa air yang mencukupi, atau lebih buruk lagi sungai menjadi kering, tidak sukar diduga bahawa kebanyakan spesies ikan, termasuk ikan empurau yang berharga sekitar RM500 sekilogram akan mati dan akhirnya pupus. Pendapatan penduduk yang selama ini bergantung kepada kegiatan menangkap ikan tentu terjejas. Selain itu, air masin dari laut akan mengalir ke hulu sehingga menjejaskan kehidupan di dalam sungai.
Jadi, jangan biarkan Sungai Rajang terus meratap dan menderita.

*Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak.

Advertisements

Tinggalkan sepatah dua kata

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s