Harga Sebuah Lukisan (Baharudin A. Manan)

Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum

Sinopsis

Kamal Hijaz akan berpindah ke Terengganu kerana mengikut bapanya. Dia seorang pelajar yang berbakat melukis. Dua minggu sebelum berpindah, dia menyertai pertandingan melukis. Pada pagi hari pertandingan, Kamal Hijaz didatangi kawannya, Maryati dan Norlela. Mereka bersarapan bersama-sama di taman mini sekolah. Maryati mengkhianati Kamal Hijaz dengan menukar kertas lukisannya. Walau bagaimanapun, Kamal Hijaz berjaya memenangi hadiah pertama juga dalam pertandingan itu. Akhirnya, Maryati mengaku bahawa dialah yang berbuat khianat terhadap Kamal Hijaz. Dia meminta maaf, Kamal Hijaz bukan sahaja memaafkannya, malahan menghadiahi Maryati sebuah lukisan.

Tema

Keluhuran hati dalam persahabatan. Keluhuran hati Kamal Hijaz terserlah apabila dia bersikap tenang dan memaafkan Maryati yang telah mengkhianatinya. Pada hari pertandingan, Maryati telah menukar kertas lukisan Kamal Hijaz ketika dia ke kantin untuk membersihkan bekas makanan.

Persoalan

• Kesungguhan menghasilkan sesuatu yang terbaik.
Contoh : Kamal Hijaz membelek-belek buku kumpulan lukisan untuk mencari idea yang akan dijadikan model dalam pertandingan melukis.

• Keharmonian dalam kehidupan persahabatan.
Contoh : Kamal Hijaz duduk bersandar di bangku simen terazo di taman mini sekolah. Dia didatangi oleh Maryati dan Norlela. Mereka bertegur sapa dan dengan berbual mesra.

• Nilai baik hati dalam kalangan murid sekolah.
Contoh : Maryati mengeluarkan bekas makanan dan mengajak Kamal Hijaz makan bersama-sama mereka.

• Gigih menghadapi cabaran hidup.
Contoh : Meskipun menghadapi kesukaran melukis akibat kertas lukisannya yang disabotaj, Kamal Hijaz masih mampu bertenang dan meneruskan lukisannya dengan yakin dan berjaya

• Keinsafan atas kesilapan yang dilakukan.
Contoh : Maryati berasa bersalah dan menginsafi kesalahannya mengkhianati Kamal Hijaz dan seterusnya dia meminta maaf.

• Kemuliaan hati.
Contoh : Kamal Hijaz memaafkan kesalahan Maryati yang mengkhianatinya dan menghadiahkan sebuah lukisan

Plot
• Permulaan
Kamal Hijaz membelek-belek buku lukisan untuk mencari ilham yang akan dilukiskan dalam pertandingan melukis yang akan disertainya. Pembaca diperkenalkan dengan watak Kamal Hijaz sebagai pelajar yang hebat dalam lukisan di sekolahnya.

• Perkembangan
Kamal Hijaz duduk bersandar pada bangku simen terazo di taman mini sekolah. Dia didatangi Maryati dan Norlela. Mereka bertegur sapa dan usik-mengusik tentang isu yang berkisar tentang pertandingan melukis yang akan disertai oleh mereka sebentar lagi. Sejurus kemudian, Maryati mengeluarkan bekas makanan dan mengajak Kamal Hijaz makan bersama-sama mereka. Pada mulanya, Kamal Hijaz agak keberatan dan malu untuk menerima pelawaan Maryati, tetapi atas permintaan mereka untuk kali yang terakhir, Kamal Hijaz mengalah. Setelah selesai makan, Kamal Hijaz dan Norlela pergi ke kantin untuk mencuci pinggan dan gelas.

• Puncak
Pertandingan melukis bermula, Kamal Hijaz keresahan kerana kertas lukisannya telah disabotaj sehingga sukar untuk diwarna. Dia terpaksa menukar kertas lukisan. Sekali gus dia mengubah fikiran, lalu melukis gambaran Hang Tuah bertikam dengan Hang Jebat. Tatkala itu, fikirannya berkonflik, berfikir tentang kisah sejarah Hang Tuah dan Hang Jebat. Pada perhimpunan mingguan di sekolah, dia diumumkan sebagai pemenang Pertandingan Melukis Peringkat Daerah, manakala Maryati sebagai pemenang kedua.

• Peleraian
Pada hari terakhir persekolahan, Kamal Hijaz diberi peluang memberikan ucapan perpisahan. Ucapannya amat menyentuh hati Maryati, dan Maryati berasa bersalah dan kesal. Maryati menemui Kamal Hijaz untuk meminta maaf. Kamal Hijaz memaafkan Maryati dan menghadiahi Maryati sebuah lukisan.
Teknik Plot

• Pemerian
Contoh: Penulis memerihalkan peristiwa Kamal Hijaz yang dicemburui oleh kawan-kawannya kerana kebolehannya melukis.

• Monolog Dalaman
Contoh: Penulis menggambarkan Kamal Hijaz bermonolog dalaman semasa melukis gambaran pahlawan sedang bertikam di pertandingan melukis peringkat daerah

• Dialog
Contoh: Teknik ini digunakan semasa Maryati meminta maaf kerana telah mengkianati Kamal Hijaz semasa pertandingan melukis

Watak dan Perwatakan
Watak Utama
Kamal Hijaz
• Pelajar Tingkatan 2 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sirusa.
• Berbakat dan berminat dalam lukisan dan sentiasa mendapat markah A dalam Mata Pelajaran Lukisan.
• Pelajar yang berusaha dengan gigih. Dia tekun mencari ilham sebagai persediaan menyertai pertandingan melukis.
• Berjiwa mulia kerana menyumbangkan hadiah yang diperoleh kepada PIBG bagi membantu rakan-rakan yang kurang bernasib baik.
• Tabah dan tenang ketika menghadapi masalah. Dia tetap bersabar dan meneruskan lukisannya yang kedua sehingga berjaya.
• Bersikap terbuka dan pemaaf. Dia memaafkan Maryati yang telah mengkhianatinya.

Watak Sampingan

Maryati

• Rakan kepada Kamal Hijaz.
• Seorang yang peramah dan mudah mesra. Hal ini terserlah sewaktu dia dan Norela bertemu dengan Kamal Hijaz sebelum pertandingan melukis.
• Berjiwa kecil. Dia sanggup menggunakan taktik kotor untuk mengalahkan Kamal
• Hijaz dalam pertandingan melukis.
• Mudah insaf dan menyesali kesilapannya. Dia berasa bersalah dan meminta maaf daripada Kamal Hijaz atas kesalahannya menukar kertas lukisan.

Latar

Latar Masa

• Hari Isnin. Hari Perhimpunan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sirusa.
Contoh: Pengetua menyampaikan amanatnya dan mengumumkan keputusan pertandingan yang diadakan.

• Hari Sabtu. Hari cuti persekolahan.
Contoh : Pada hari pertandingan melukis di Sekolah Menengah Kebangsaan Sirusa.

• Dua minggu.
Contoh : Tempoh antara hari pertandingan melukis dengan pengumuman keputusan pertandingan diumumkan

• Tiga hari
Contoh : Tempoh Kamal Hijaz berlatih melukis gambar pemandangan di sawah padi dan gambaran dua pahlawan sedang bertikam
Latar Tempat
• Sekolah Menengah Kebangsaan Sirusa. Tempat pertandingan melukis dijalankan. Contoh : Di Sekolah Menengah Kebangsaan itulah akan dilangsungkan pertandingan melukis itu.

• Taman mini sekolah. Tempat Kamal Hijaz menunggu sebelum pertadingan dimulakan. Contoh : Kamal Hijaz duduk bersandar pada bangku simen terazo yang terletak berhampiran taman mini sekolah.

• Kantin sekolah. Latar tempat yang digunakan watak untuk membersihkan bekas
makanan. Contoh :“Kalau sudah begitu kata kamu, terpulanglah. Tapi, Norlela tentu boleh membantu kamu mencuci pinggan dan gelas di kantin,”

Latar Masyarakat

• Golongan pendidik. Golongan yang berilmu dan bertanggungjawab mendidik anak-anak tempatan. Contoh : Cikgu Salina yang memaklumkan kepada pelajar tentang pertandingan melukis peringkat daerah.
• Golongan pelajar. Sekumpulan anak-anak yang menuntut ilmu secara formal di sekolah. Contoh : Kamal Hijaz, Maryati dan Norlela merupakan murid yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sirusa
• Golongan yang gigih berusaha.. Terdapat individu yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk berjaya. Contoh : Tiga hari Kamal Hijaz berlatih melukis gambar pemandangan di sawah padi dan gambaran pahlawan sedang bertikam
• Golongan yang sanggup mengkhianati orang lain. Terdapat individu yang sanggup mengkhianati kawan demi kepentingan sendiri, tidak terkecuali pelajar. Contoh : Maryati sanggup menukar kertas lukisan Kamal Hijaz sebelum pertandingan bermula.

Nilai

• Nilai persahabatan.Contoh : Meskipun Maryati pernah mengkhianati Kamal Hijaz, mereka tetap bersahabat dan akan terus bertukat-tukar kertas soalan setelah mereka berpisah nanti.

• Nilai ketabahan. Contoh : Ketabahan Kamal Hijaz sewaktu menghadapi masalah dengan kertas lukisannya. Dia tetap tabah dan gigih meneruskan lukisan keduanya

• Nilai kesabaran. Contoh : Kesabaran Kamal Hijaz menerima pengakuan Maryati yang menukar kertas lukisannya sebelum pertandingan melukis

• Nilai kegigihan. Contoh : Kamal Hijaz membelek helaian buku lukisan, dan berlatih tiga hari melukis pemandangan di sawah padi dan pahlawan sedang bertikam

Pengajaran

• Kita hendaklah bersungguh-sungguh untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik. Contoh : Kamal Hijaz membelek-belek buku kumpulan lukisan untuk mencari idea yang akan dilukiskan dalam pertandingan melukis.
• Kita hendaklah berbudi bahasa. Contoh : Maryati mengeluarkan bekas makanan dan mengajak Kamal Hijaz makan bersama-sama mereka.
• Kita hendaklah bersemangat tinggi. Contoh : Meskipun menghadapi kesukaran melukis akibat daripada kertas lukisannya yang dikhianati, Kamal Hijaz masih mampu bertenang dan meneruskan lukisannya dengan yakin dan berjaya.
• Kita hendaklah menginsafi dan mengakui kesilapaan sendiri. Contoh : Maryati berasa bersalah dan insaf akan kesalahannya mengkhianati Kamal Hijaz dan seterusnya dia meminta maaf.
• Kita hendaklah berhati mulia. Contoh : Kamal Hijaz memaafkan kesalahan Maryati yang telah mengkhianatinya dan menghadiahinya sebuah lukisan.

Gaya Bahasa
• Peribahasa : Contoh : Membulatkan hatinya
• Hiperbola: Contoh : Menusuk rongga hidung
• Pengaruh bahasa asing: Contoh : Penggunaan bahasa Inggeris – water colour
• Simile: Contoh : macam nenek kebayan
• Kata ganda: Contoh : Kamal Hijaz merenung muka Maryati dan Norlela bergilir-gilir.
• Sewaktu Kamal Hijaz dan Norlela pergi ke kantin untuk mencuci pinggan dan gelas,
• Maryati menukar kertas lukisan Kamal Hijaz dengan kertas lukisannya yang telah disapu dengan lilin.

Advertisements

Tinggalkan sepatah dua kata

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s