‘baru’ atau ‘baharu’

Sebelum ini, apabila pelajar bertanya tentang perbezaan penggunaan perkataan ‘baru’ dan ‘baharu’ saya tidak begitu yakin untuk menjelaskan perkara tersebut’, sehinggalah saya mendengar satu penjelasan yang mengatakan bahawa ‘baru’ adalah Kata Bantu Aspek Masa, iaitu untuk merujuk masa. Contohnya, baru habis makan, baru selesai bertugas, baru mula mahu mengenali hati budi, baru tamat latihan dan seumpamanya.   ‘Baharu’ pula ialah Kata Adjektif, iaitu untuk menerangkan perkara-pekara, barang-barang atau benda-benda yang ‘baharu. Contohnya, seluar baharu, Iphone 4s baharu, azam baharu, tilam baharu dan sebagainya,

Advertisements

Perlukah frasa ‘antara satu dengan yang lain’? Sekadar pandangan peribadi.

Ayat ‘antara satu dengan yang lain’ adalah pengaruh ayat bahasa Inggeris ‘with each other’ . Ayat yang berikut ialah antara contoh ayat bahasa Melayu yang menggunakan ayat ‘antara satu dengan yang lain’

  1. ….supaya mereka boleh saling mengenali antara satu sama / dengan yang lain.
  2. Uda dan Dara saling mecintai antara satu dengan yang lain.
  3. Rakyat Malaysia saling menghormati antara satu sama lain.
  4. Mereka saling berbalas senyuman antara satu sama lain
  5. Kita mesti hormat-menghormati antara satu sama lain supaya hidup kita aman dan sejahtera.

Perhatikan pula apabila ayat yang tertulis di atas tanpa unngkapan ‘antara satu sama lain/ dengan yang lain’

  1. ….supaya mereka saling mengenali ATAU ….supaya mereka boleh berkenal-kenalan
  2. Uda dan Dara saling mecintai.
  3. Rakyat Malaysia saling menghormati.
  4. Mereka berbalas-balas senyuman.
  5. Kita mesti hormat-menghormati ATAU Kita mesti saling menghormati supaya hidup aman dan sentosa

Karangan Peribahasa

Karangan Peribahasa PMR: Karangan Contoh

Masyarakat Melayu memang kaya dengan peribahasa.  Salah satu peribahasa Melayu  yang sering diungkapkan ialah  “sediakan payung sebelum hujan”. Tuliskan suatu karangan yang menggambarkan  maksud peribahasa itu.

Peribahasa merupakan  ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu. Peribahasa seperti simpulan bahasa, pepatah dan bidalan  memang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Melayu sejak dahulu lagi. Pada setiap peribahasa tersirat banyak nasihat dan pengajaran yang berguna sebagai panduan hidup kita. Salah satu pepatah Melayu ialah ‘sediakan payung sebelum hujan’.

Pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’ bermaksud bersedia atau berwaspada kita dalam menghadapi segala perkara atau kemungkinan yang datang, khususnya kemungkinan yang tidak dirancang. Peribahasa ini juga mempunyai persamaan makna dan berkaitan dengan peribahasa “beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.”

Berdasarkan maksud peribahasa ini, ternyata bahawa tujuan penciptaannya untuk mengingatkan kita  supaya senantiasa dalam keadaan bersedia atau bersiap siaga untuk menghadapi masa depan yang penuh cabaran dan dugaan.  Hal ini dikatakan demikian kerana sudah pasti kita dapat menempuhnya dengan baik dan penuh keyakinan jika membuat persediaan. Oleh itu, peribahasa ini sesuai dijadikan pegangan hidup atau pedoman oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira ras, agama atau latar belakang kehidupanl.

Dalam kehidupan seharian, maksud peribahasa ini wajar kita amalkan. Misalnya, semasa kita hidup senang, kita tidak harus bersikap boros. Sebaliknya, kita perlu berjimat cermat dan menyimpan wang untuk keperluan pada masa depan seperti melanjutkan pelajaran. Kita juga boleh menggunakannya pada waktu kesempitan wang atau ditimpa kesusahan. Dengan cara ini, kita tidak perlu berhutang dengan sesiapa.

Amalan berjimat cermat ini patut diterapkan ke dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ibu bapa patut menyediakan sebuah tabung untuk anak-anak. Lebihan wang belanja atau wang saku semasa di sekolah bolehlah dimasukkan ke dalam tabung. Wang ini boleh digunakan oleh anak-anak untuk membeli buku-buku rujukan atau peralatan sekolah yang diperlukan oleh mereka dari semasa ke semasa.

Kesimpulannya, kita haruslah menghayati nilai dan pengajaran yang tersirat dalam peribahasa “sediakan payung sebelum hujan”. Dalam keadaan apa juga pun, kita perlulah bersikap positif dan mengamalkan nilai-nilai yang terkandung dalam peribahasa ‘sediakan payung sebelum hujan” kerana bencana yang mendatang tidak diduga oleh siapa-siapapun, bak kata orang tua-tua, ‘malang itu tidak berbau’.

Latihan: Peribahasa “genggam bara api biar sampai jadi arang” bermaksud jika membuat sesuatu perkara kita harus bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan. Berdasarkan pernyataan tersebut, karang sebuah cerita yang menggambarkan maksud peribahasa itu.

Faedah-faedah melibatkan diri dalam aktiviti sukan

Pada tahun 2011, kerajaan telah memperkenalkan program 1Murid 1Sukan untuk memastikan semua murid terlibat dalam bidang sukan. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah melibatkan diri dalam aktiviti  sukan dalam kalangan murid.

Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta tenaga yang dilakukan sama ada sebagai acara pertandingan, hiburan atau untuk suka-suka bagi mengisi masa lapang atau untuk beriadah. Pada tahun yang lalu kerajaan telah memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan kerana menyedari kepentingan bersukan. Contoh aktiviti sukan yang agak popular kini ialah seperti olahraga, berenang, permainan bola sepak, tenis, badminton dan sebagainya. Persoalannya apakah faedahnya jika seseorang murid itu melibatkan diri dalam aktiviti  bersukan?

Antara faedah bersukan kepada murid ialah sukan dapat meningkatkan disiplin murid. Hal ini dikatakan demikian kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri sendiri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Contohnya setiap pemain dalam sesebuah pasukan itu mesti menepati masa, rajin berlatih, tidak merokok dan mematuhi arahan jurulatihnya.  Oleh itu, secara tidak langsung sukan juga turuk membentuk disiplin murid tersebut.

Seterusnya, sukan juga penting bagi melahirkan seseorang murid yang sihat. Hal ini dikatakan demikian kerana bersukan boleh menguatkan otot dan tulang serta menyihatkan badan. Misalnya, seseorang murid yang bersukan pada setiap petang sudah banyak berpeluh. Oleh itu murid yang aktif bersukan jarang mendapat demam dan selesema berbanding dengan rakan-rakannya yang tidak bersukan

Selain itu, seseorang murid yang aktif dalam kegiatan sukan akan terdidik untuk mengagihkan masa dengan sewajarnya. Hal ini dikatakan demikian kerana murid tersebut akan menentukan masa yang sesuai untuk  memberikan tumpuan terhadap sukan dan masa untuknya  belajar.  Contohnya, seseorang murid yang menyertai pasukan sekolah mesti ada jadual latihan sukan dan jadual belajar. Oleh itu, seseorang murid yang aktif dalam sukan juga berjaya dalam pelajaran.

Di samping itu, sukan juga membentuk murid menjadi seseorang yang berfikiran positif. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan aktif bersukan seseorang itu dapat berfikir secara rasional dan berkeyakinan tinggi dan tidak cepat berputus asa. Contohnya, Datuk Lee Chong Wei  tetap tidak berputus asa walaupun gagal meraih pinggat emas dalam sukan Olimpik baru-baru ini. Oleh itu, sukan penting dalam melahirkan murid yang berfikiran positif.

Akhir sekali, murid yang aktif bersukan juga dapat menggunakan masa lapang mereka dengan lebih bermanfaat. Hal ini dikatakan demikian kerana biasanya murid yang aktif dalam bidang sukan tidak berminat bermain ‘computer game’ dan tidak akan menghabiskan masanya untuk berplesiran di pusat beli-belah, menonton televisyen, dan seumpamanya. Oleh itu, sudah pasti mereka akan menghabiskan masa dengan lebih bermanfaat.

Intihanya, jelaslah di sini bahawa melibatkan diri dalam sukan banyak membawafaedah kepada murid. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyediakan banyak kemudahan untuk bersukan di sekolah. Ibu bapa  pula patut menggalakkan anak-anak mereka bersukan. Begitu juga dengan guru-guru mereka perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran sukan.  Saya percaya dengan adanya kerjasama antara semua pihak lebih ramai lagi jaguh sukan negara yang akan menyerlah di peringkat antarabangsa, asalkan kita tidak melakukannya hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Latihan 1

Kenal pasti perkara yang berikut;

  1. Pendahuluan- Definisi tema soalan, huraian dan contoh, dan kehendak soalan.
  2. Perenggan isi 1 hingga 5 – idea utama,  huraian idea utama (5W1H), contoh untuk menjelaskan idea dan ayat penegasan / pendirian terhadap idea yang diutarakan.
  3. Kesimpulan – rumusan idea, ayat cadangan dan harapan serta ungkapan yang menarik 

Latihan 2

Berpandukan karangan contoh di atas tulis  karangan yang berikut:

Pada masa masa ini, penggunaan laman sosial di internet amat popular dalam kalangan pelajar di Malaysia. Huraikan pendapat anda tentang keburukan terlampau aktif melayari  laman sosial kepada para pelajar.