Perihal ‘sebab’ dan ‘kerana’.

Banyak orang keliru dengan penggunaan perkataan “kerana”. Sebagai contoh, banyak yang bertanya tentang ayat yang bermula begini: ”Ini kerana …” seperti dalam ayat ”Ini kerana ibunya sakit.” Bolehkah ayat seperti ini digunakan? Jikalau tidak boleh, mengapa, dan bagaimanakah penggunaan yang betul?

Sekali imbas binaan ayat yang berbentuk ”Ini kerana …” jelas merupakan terjemahan literal bagi ayat dalam bahasa Inggeris yang berbunyi, ”This is because …” Oleh itu, sebenarnya binaan ini bukan binaan bahasa Melayu sejati. Hanya dalam bahasa lisan, atau bahasa basahan, penggunaan bentuk ini digunakan dan memang hal ini kerap berlaku.
“Kerana” ialah kata hubung yang mencantumkan dua ayat. Misalnya ayat “Dia tidak datang kerana ibunya sakit.” Dalam ayat ini, “kerana” menghubungkan ayat induk (Dia tidak datang) dengan ayat kecil keterangan (ibunya sakit). Dalam ayat ini, “kerana” ialah kata hubung ke-terangan.

Ayat yang bermula dengan “Ini kerana …”, seperti dalam ayat: “Ini kerana ibunya sakit”, adalah tidak tepat, disebabkan perkataan “kerana” tidak boleh berfungsi sebagai predikat kepada subjek “ini”. Maka binaan ayat ini patut diubah supaya “kerana” benar-benar berfungsi sebagai kata hubung. Contohnya: “Hal ini demikian kerana ibu-nya sakit”. Dalam ayat ini, ayat induk ialah “Hal ini demikian”, dan “kerana” yang mengikutinya kini berfungsi sebagai kata hubung.
Soal binaan ayat begini memang mengelirukan kerana banyak orang kurang faham tentang golongan kata sesuatu perkataan, lantas berlaku kesalahan dalam menggunakan perkataan tersebut. Dalam contoh di atas, “kerana” yang tergolong sebagai kata hubung telah digunakan sebagai predikat ayat. Hal ini berlaku kerana pengaruh binaan bahasa Inggeris.

Satu lagi persoalan yang berkait dengan perkataan “kerana” ialah dalam konteks penggunaan “oleh kerana”. “Oleh kerana” kerap digunakan bertukar ganti dengan “oleh sebab” yang berfungsi sebagai frasa sendi nama.

Dalam binaan frasa sendi nama, frasa yang bermula de-ngan kata sendi nama mesti diikuti oleh kata nama. Kata sendi nama dalam frasa “oleh kerana” dan “oleh sebab”, ialah “oleh”. Yang menjadi persoalan ialah, apakah golongan kata “kerana” dan “sebab”?
“Kerana” dan “sebab” tergolong sebagai kata hubung. Ayat “Dia tidak datang kerana ibu-nya sakit”, misalnya, boleh juga menjadi “Dia tidak datang sebab ibunya sakit”. Ini membuktikan bahawa kedua-dua perkataan “kerana” dan “sebab” ialah kata hubung.
Dalam bahasa Melayu terdapat perkataan yang boleh menduduki lebih daripada satu golongan kata, bergantung pada penggunaannya dalam ayat. Perkataan “dalam”, misalnya, berfungsi sebagai kata adjektif dalam ayat “Perigi itu sangat dalam”, dan berfungsi sebagai kata arah dalam ayat “Bukunya tersimpan di dalam almari”.

Demikian juga halnya dengan perkataan “sebab”. Dalam ayat “Dia tidak datang sebab ibunya sakit”, kata “sebab” berfungsi sebagai kata hubung. Tetapi dalam ayat “Nyatakan empat sebab mengapa kamu tidak datang”, kata “sebab” berfungsi sebagai kata nama dan bukannya kata hubung.
Penggunaan frasa nama “oleh sebab” adalah lebih tepat dalam bahasa Melayu kerana “sebab” boleh berfungsi sebagai kata nama, sedangkan “kerana” tidak tergolong sebagai kata nama. Misalnya kita tidak pernah menyatakan: “Nyatakan empat kerana mengapa kamu tidak datang”; melainkan “Nyatakan empat sebab mengapa kamu tidak datang”. Jelas, penggunaan “oleh kerana” tidak mematuhi hukum nahu bahasa Melayu.

Advertisements

Tinggalkan sepatah dua kata

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s