Perenggan Karangan Berpandukan Bahan Rangsangan

PERENGGAN DALAM PENULISAN KARANGAN BERPANDUKAN BAHAN RANGSANGAN

Para pelajar saya sering bertanya mengapa Karangan Berpandukan Bahan Rangsangan yang tidak melebih 120 patah perkataan itu perlu ditulis dalam lima perenggan? Hal ini kadang-kadang menjadi dilema buat guru-guru kerana:

  • Tidak ada arahan yang jelas tentang perkara ini.
  • Kebanyakan buku rujukan atau semua buku rujukan menyarankan agar karangan ini ditulis hanya dalam tiga perenggan sahaja; iaitu perenggan pengenalan, perenggan isi (beberapa isi dimasukkan dalam satu perenggan) dan perenggan penutup
  • Guru-guru juga tidak sependapat dalam hal ini, ada guru yang mengatakan karangan ini perlu ditulis dalam tiga perenggan dan ada yang berpendapat karangan ini patut ditulis dalam lima perenggan, iaitu; perenggan pendahuluan, tiga perenggan isi dan perenggan penutup.

Dalam hal ini, saya berpendapat para pelajar dan guru-guru perlu memikirkan mengapa kita perlu menulis karangan berperenggan.  Para guru juga sering mengingatkan pelajar-pelajar supaya menulis karangan dalam perenggan yang sesuai. Menurut Kamus Dewan edisi ketiga perenggan ialah “bahagian daripada muka atau bab dalam buku (rencana dll) yang terdiri daripada beberapa baris”. Perenggan digunakan oleh penulis untuk menyampaikan gagasan ideanya secara lebih tersusun dan mewujudkan komunikasi antara penulis dengan pembaca.

Sebab-sebab penulisan karangan memerlukan perenggan ialah:

  1. Perenggan sangat penting kerana dapat memudahkan penulis menyampaikan idea-idea secara sistematik.
  2. Perenggan dapat memberikan panduan kepada penulis untuk menghasilkan perenggan-perenggan yang lain.
  3. Penulis dapat mengawal penyampaian isi karangan secara tersusun satu demi satu sehingga selesai.
  4. Hal ini dapat mengelakkan penulis mengulang-ulang isi atau buah fikiran yang sama.
  5. Bagi pembaca, perenggan yang baik akan memudahkan mereka mengikuti idea-idea penulis untuk memahaminya.
  6. Perenggan akan memungkinkan penulis mengeksploitasikan minat pembaca untuk meneruskan bacaan mereka.

Lazimnya, dalam sesebuah penulisan yang bercorak ilmiah atau akademik, perenggan dapat digolongkan kepada tiga bahagian utama, iaitu:

1.      Perenggan pendahuluan

Pada perenggan pendahuluan, tiga fungsi utamanya ialah menarik minat pembaca, menyatakan maklumat latar penulisan secara ringkas, dan mengemukakan tesis penulisan

2.      Perenggan badan atau isi

Perenggan badan atau isi akan menjadi wadah pengembangan idea utama. Setiap perenggan pada bahagian ini akan mengutarakan satu topik atau judul atau ringkasnya satu isi sahaja. Ayat ini dikenal sebagai ayat judul, manakala ayat-ayat lain yang menyokongnya dikenal sebagai ayat sokongan atau ayat huraian. Tegasnya, bahagian perenggan badan ini akan memiliki dua struktur, iaitu bahagian judul yang mengandungi ayat judul dan bahagian pewajaran yang mengandungi ayat sokongan. Pola binaan perenggan yang mengemukakan ayat judul pada permulaan perenggan dinamakan deduktif dan sekiranya ayat judul terletak pada akhir perenggan, kita namakan teknik induktif

3       Perenggan penutup.

Perenggan penutup berfungsi untuk menamatkan penulisan tersebut. Perenggan ini akan membuat rumusan, kesimpulan, atau konklusi yang merangkumi keseluruhan idea penulisan yang dibincangkan. Perenggan penutup sangat penting untuk memberikan isyarat kepada pembaca bahawa penulisan tersebut akan berakhir. Pada bahagian ini, antara kaedah yang dapat digunakan ialah menyimpulkan penyata tesis yang awal, menyatakan penyata tesis dengan cara yang lain, membuat anekdot (kisah pendek) berkaitan dengan tesis, dan membuat rumusan. Memberikan pandangan atau ulasan penulis merupakan salah satu strategi menulis bahagian penutup
Perenggan yang baik hendaklah mempunyai kriteria seperti:

  1. berkesatuan
  2. berpautan
  3. berturutan
  4. berkecukupan.

Jawapan yang sering saya kemukakan kepada para pelajar bagi soalan mengapa Karangan Berpandukan Bahan Rangsangan yang tidak melebih 120 patah perkataan itu perlu ditulis dalam lima perenggan? ialah supaya memudahkan mereka menyampaikan idea-idea secara sistematik.  Selain itu, isi karangan juga akan tersusun satu demi satu sehingga selesai jika karangan ditulis satu isi dalam satu perenggan. Seterusnya hal ini dapat mengelakkan pelajar mengulang-ulang isi atau buah fikiran yang sama dan memudahkan guru atau pemeriksa  memahami idea-idea pelajar.

Kesimpulannya, tanpa perenggan yang teratur, sesebuah penulisan akan kelihatan seperti sebuah bangunan yang tidak teguh binaannya dan kacau strukturnya yang menampakkan kelemahan tukangnya itu. Oleh sebab itu, aspek ini tidak sewajarnya dipandang mudah oleh para pelajar dan guru-guru, bak kata peribahasa, kalau mahu melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Pada peringkat menengah rendah (PMR) inilah kita patut menekankan perkara ini, kalau hal ini tidak dilakukan, apa gunanya kita mengajar pelajar menulis karangan dalam perenggan?

Advertisements

3 thoughts on “Perenggan Karangan Berpandukan Bahan Rangsangan

Tinggalkan sepatah dua kata

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s