Tatabahasa

Rumus:
me-…-kan —Objek Bergerak,
me-….-I –Objek Tidak Bergerak
Huraian:
Apitan men-…-kan dan men-…-I yang berpasangan dalam ayat yang mempunyai dua objek kebanyakannya diikuti oleh objek bergerak dan objek tidak bergerak. Dalam situasi ini, apitan men-…kan diikuti oleh objek bergerak, manakala apitan men-…-I diikuti oleh objek yang tidak bergerak.

Contoh:

  • Dia menghadiahkan sehelai kain batik kepada ibu. (Kain batik bergerak atau diserahkan…maksudnya ada pergerakan kain batik dari tangan dia ke arah ibunya ).
  • Dia menghadiahi ibu sehelai kain batik. (Ibu tidak bergerak)

Latihan :
Nyatakan ayat-ayat di bawah ini sama ada betul [ / ] atau salah [ X ]

(1) Nenek membekalkan Najwa pisang goreng. [ X ]
(2) Nenek membekali pisang goreng kepada Najwa.[  X ]
(3) Hakim menjatuhi pesalah itu hukuman mati. [  / ]
(4) Hakim menjatuhkan hukuman mati kepada pesalah itu. [ / ]
(5) Guru menghadiahkan Salima sebuah buku rujukan. [ X  ]
(6) Guru menghadiahi sebuah buku rujukan kepada Salima. [ X  ]
(7) Cikgu Zamilah mengajarkan kami mata pelajaran Matematik. [ / ]
(8) Cikgu Zamilah mengajar mata pelajaran Matematik kepada kami. [  X ]
(9) Saya memberi anak-anak yatim wang sebanyak RM5.00. [ X ]
(10) Saya memberikan wang kepada anak-anak yatim sebanyak RM 5.00. [  /]

Pasangan apitan me—kan dan awalan me- ….

Rumus:
Me—kan –> Objek Bernyawa
Me-… –> Objek Tak Bernyawa
Huraian:
Apitan me—-kan dan awalan me- yang berpasangan dalam ayat yang mempunyai dua objek sahaja kebanyakannya diikuti oleh objek bernyawa dan objek tidak bernyawa. Dalam situasi ini, apitan men-…-kan diikuti oleh objek bernyawa dan awalan me- .. diikuti oleh objek tidak bernyawa.

Contoh:

  • Ibu menjahitkan adik sehelai baju kurung. (Adik ialah objek yang bernyawa).
  • Ibu menjahit sehelai baju kurung untuk adik. (Baju kurung ialah objek yang tidak bernyawa)
  • Betul: Doktor menjahit luka adik. (Luka tidak bernyawa)
  • Jefferson membacakan adiknya buku cerita. (Adik bernyawa)
  • Jefferson membaca buku cerita untuk adiknya. (buku cerita tidak bernyawa)

Latihan:
Nyatakan ayat-ayat di bawah ini sama ada betul [ / ] atau salah [ x ]
(1) Kakak membuatkan secawan kopi untuk ayah. [ X  ] sepatutnya membuatkan ayah secawan kopi
(2) Kakak membuat ayah secawan kopi. [ X ] sepatutnya membuat secawan kopi untuk ayah
(3) Ibu memasakkan ayah sup kambing. [ /  ]
(4) Ibu memasak sup kambing untuk ayah. [ /  ]
(5) Pelayan itu mengambilkan saya makanan. [ /  ]
(6) Pelayan itu mengambil makanan untuk saya. [  / ]
(7) Reza menuliskan sepucuk surat untuk neneknya.  [ X  ]
(8) Reza menulis neneknya sepucuk surat.[  X ]
(9) Mereka akan membelikan kami cenderamata. [  / ]
(10) Mereka akan membeli cenderamata untuk kami. [  / ]

KEKHILAFAN PENGGUNAAN IALAH DAN ADALAH

Perkataan ialah dan adalah merupakan dua perkataan yang amat lumrah digunakan dalam penulisan hari ini. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan agak sukar untuk menemukan tulisan yang tidak menggunakan kedua-dua kata pemeri ini. Kedua-dua perkataan ini dikatakan telah masuk ke dalam kosa kata bahasa Melayu belakangan ini. Hal ini akan menjadi jelas jika diteliti buku klasik Melayu Sejarah Melayu kerana dalamnya kita tidak akan bersua dengan perkataan ialah ataupun adalah. Demikian juga dalam Hikayat Hang Tuah, tidak ada penggunaan kedua-dua perkataan ini. Menurut Asmah Hj Omar (1994), perkataan ialah terbentuk daripada perkataan ia dan lah manakala adalah pula masuk ke dalam bahasa Melayu dari bahasa Indonesia. Perkataan ini digunakan sebagai padanan bagi kopula yang wujud dalam bahasa Belanda.

Walaupun perkataan-perkataan ini sudah begitu lazim di kalangan pengguna bahasa Melayu, namun terdapat kekhilafan di kalangan pengguna dalam hal penggunaannya yang betul dan mengikut aturan nahu Melayu. Menurut Tatabahasa Dewan (1994), kedua-dua perkataan ini termasuk kelompok kata prafrasa atau perkataan-perkatan yang diletakkan di awal atau di depan frasa. Kata prafrasa ialah sejumlah perkataan yang terletak di hadapan frasa, iaitu sama ada frasa nama, frasa kerja, atau frasa adjektif (Nik Safiah Karim et al. 1994:245). Dan, kedua-dua perkataan adalah dan ialah merupakan jenis kata pemeri. Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat (Nik Safiah Karim et al. 1994:250).

Walaupun kedua-dua kata pemeri boleh digunakan untuk memerihal dan merangkaikan subjek dengan frasa, namun ada aturan untuk menggunakannya. Penggunaannya bukanlah secara sewenang-wenangnya. Sebenarnya, ada dua cara pemerihalan itu dapat dilakukan, iaitu secara persamaan atau secara huraian.

Untuk memerihalkan secara persamaan atau ekuatif, kata pemeri ialah digunakan. Perhatikan beberapa contoh penggunaan jenis ini di bawah:

Yang berbeza ialah bentuk dan sifatnya.

  1. Bukti jelas ialah kita masih mempunyai program membantu rakyat yang termiskin.
  2. Lokasi yang sering diberi tumpuan ialah kawasan perumahan, pusat perkelahan pinggir sungai dan pantai.

Dalam ayat-ayat di atas, kata pemeri ialah diletakkan di hadapan frasa nama bentuk dan sifatnya, kita, dan kawasan perumahan, pusat perkelahan pinggir sungai dan pantai. Kesemua frasa ini ialah frasa nama; oleh hal itu, perlulah disusuli kata pemeri ialah.

Sekarang kita perhatikan pula beberapa penggunaan kata pemeri adalah di bawah ini. Perkataan adalah digunakan untuk memerihalkan secara huraian atau kualitatif. Perhatikan beberapa contoh penggunaan di bawah:

  1. Rumah yang dijual adalah terlalu kecil.
  2. Tujuan projek itu adalah untuk mendapatkan sumber kewangan bagi persatuan itu.

Seperti yang diperhatikan dalam ayat-ayat di atas, kata pemeri adalah diletakkan di hadapan frasa adjektif seperti terlalu kecil dan frasa sendi nama untuk mendapatkan sumber sumber kewangan. Dengan yang demikian, yang menjadi jelas kepada kita bahawa kata pemeri ialah hadir di hadapan frasa nama sahaja, manakala kata pemeri adalah hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Hal ini juga bermakna adalah tidak boleh hadir di hadapan frasa nama dan frasa kerja, dan demikian juga ialah tidak boleh diletakkan di hadapan frasa kerja atau frasa adjektif ataupun di hadapan frasa sendi nama. Walaupun sudah ada aturan penggunaan sedemikian, namun kita sering bersua juga dengan ayat-ayat yang menggunakannya dengan salah, dan adakalanya digunakan secara tukar ganti, iaitu secara sewenang-wenangnya, seolah-olah kedua-dua kata pemeri itu bersifat sinomim.

  1. Sekarang marilah kita perhatikan beberapa contoh penggunaan kata pemeri yang tidak betul dan pembetulannya di bawah: Mula-mula kita lihat kekhilafan penggunaan kata pemeri ialah.
  2. Tujuan projek ialah untuk mendapatkan wang sebanyak RM4 juta. (Sepatutnya: Tujuan projek adalah untuk mendapatkan wang sebanyak RM4 juta).

Objektif DBKL membina rumah kos rendah antaranya ialah untuk menampung keperluan kediaman golongan berpendapatan rendah. (Sepatutnya: Objektif DBKL membina rumah kos rendah antaranya adalah untuk menampung keperluan kediaman golongan berpendapatan rendah).

Kini, kita perhatikan pula penggunaan kata pemeri adalah yang tidak tepat dalam contoh-contoh yang berikut:

  1. Peningkatan kos ini adalah akibat kenaikan harga bahan binaan. (Sepatutnya: Peningkatan kos ini ialah akibat kenaikan harga bahan binaan).
  2. Pelajar adalah aset penting negara dan bakal pemimpin pada masa hadapan. (Sepatutnya: Pelajar ialah aset penting negara dan bakal pemimpin pada masa hadapan).
  3. Kebanyakannya adalah pertubuhan dan badan-badan bukan kerajaan yang gerakannya dicetuskan oleh aktivitis Barat. (Sepatutnya: Kebanyakannya ialah pertubuhan dan badan-badan bukan kerajaan yang gerakannya dicetuskan oleh aktivitis Barat).
  4. Cadangan untuk mewujudkan program kerahan tenaga adalah suatu langkah yang positif. (Sepatutnya: Cadangan untuk mewujudkan program kerahan tenaga ialah suatu langkah yang positif).

Yang jelas daripada contoh-contoh yang dipaparkan di atas, masih terdapat kekhilafan di kalangan pengguna bahasa Melayu dalam hal menggunakan kedua-dua kata pemeri ini. Yang menjadi menarik di sini ialah sebahagian besar contoh dalam makalah ini dipetik daripada salah sebuah majalah popular, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka! Seperti yang kita ketahui, bahasa yang baik ialah yang tertakluk kepada aturan dalam bahasa tersebut. Jika pengguaannya mengikut kelaziman, kesewenangan, dan ketidakaturan, sudah tentunya akan menjadi kucar-kacir bahasa tersebut.

Daripada huraian di atas, jelas juga kepada kita bahawa adalah dan ialah tidak boleh diletakkan sebelum frasa kerja. Amalan meletakkan kata pemeri di hadapan frasa kerja memang menyalahi nahu Melayu. Oleh itu, kita perlu mengelakkan membina ayat-ayat seperti yang berikut:

  1. Hampir kesemua filem Barat adalah berorientasikan komersil (Sepatutnya: Hampir kesemua filem Barat berorientasikan komersil).
  2. Perjuangan sebelum merdeka ialah menuntut kemerdekaan dalam segala bidang, iaitu ekonomi, politik, dan sosial. (Sepatutnya: Perjuangan selepas kemerdekaan adalah untuk menuntut kemerdekaan ekonomi, politik, dan sosial).
  3. *Sebelum merdeka perjuangan masyarakat jelas ialah menuntut kemerdekaan dalam semua bidang. (Sepatutnya:Sebelum merdeka perjuangan masyarakat jelas adalah menuntut kemerdekaan dalam semua bidang).
  4. Salah satu objektif sosial dalam pembangunan perumahan di Malaysia ialah menyediakan perumahan yang murah untuk keperluan rakyat. (Sepatutnya: Salah satu objektif sosial dalam pembangunan perumahan di Malaysia adalah untuk menyediakan perumahan yang murah untuk keperluan rakyat).
  5. Adalah dimaklumkan bahawa sekolah akan tutup selama dua hari sempena Hari Raya Puasa. (Sepatutnya: Dengan ini dimaklumkan bahawa sekolah akan tutup selama dua hari … atau Pelajar-pelajar dimaklumkan bahawa sekolah akan tutup selama dua hari…).
  6. Kejayaan wanita dalam pendidikan mereka adalah disebabkan oleh kesedaran mereka sendiri. (Sepatutnya: Kejayaan wanita dalam pendidikan mereka disebabkan oleh kesedaran mereka sendiri).

Dalam hal penggunaan kata pemeri, terdapat suatu lagi amalan yang tidak betul. Amalan itu ialah penggunaannya yang bersifat kelewahan. Dengan erti kata yang lain, penggunaannya tidak diperlukan, tetapi digunakan dalam penulisan. Kita perhatikan contoh penggunaan seumpama itu di bawah:

  1. Dia ialah guru. (Sepatutnya: Dia guru).
  1. Masalah itu adalah merupakan masalah besar. Sepatutnya: Masalah itu merupakan masalah besar).
  2. Tindakan yang berterusan gejala maksiat. (Sepatutnya: Tindakan yang berterusan perlu bagi menutup semua gejala maksiat).adalah perlu bagi menutup semua
  3. Persembahan penyanyi itu adalah sungguh hebat. (Sepatutunya: Persembahan penyanyi itu sungguh hebat).

Seperti yang dipaparkan dalam contoh-contoh di atas, penggunaan adalah dan ialah tidak diperlu atau tidak wajib digunakan dalam ayat-ayat di atas. Dalam ayat 21, misalnya, sudah memadailah jika ayat tersebut dibina dengan dua frasa, iaitu ‘persembahan penyanyi itu’ + ‘sungguh hebat’ kerana ayat ini dibina berdasarkan pola FN + FA. Ayat ini tidak perlu kata pemeri adalah untuk memerihalkan secara persamaan atau ekuatif dalam frasa tersebut. Dalam ayat ini, persembahan penyanyi itu ialah frasa nama, manakala frasa adjektifnya adalah sungguh hebat. Dalam hal ini, pernah pelajar-pelajar saya berhujah bahawa meninggalkan kopula ialah dan adalah dalam ayat mencacatkannya, dan ada juga yang rasa janggal jika ayat tidak ada kopula. Nyata pandangan mereka itu tidak tepat kerana dalam bahasa tidak tertakluk kepada rasa janggal atau kepada rasa sedap atau tidak sedap. Rasa janggal dan tidak sedap itu timbul kerana pelajar-pelajar tidak biasa dengan 4 pola ayat dalam bahasa Melayu.

Mungkin gejala tersebut terjadi kerana pengaruh bahasa Inggeris. Oleh sebab wujud kata gerund seperti am, is, are, was, dan were dalam semua ayat bahasa Inggeris, maka pengguna bahasa Melayu pula mencuba memadankan kata-kata itu dengan kata pemeri adalah dan ialah. Sebenarnya, amalan memadankan gerund dengan adalah atau ialah dalam bahasa Melayu tidaklah tepat. Kata pemeri dalam bahasa Melayu digunakan untuk memenuhi fungsi-fungsi yang tertentu seperti yang dinyatakan pada awal makalah ini. Tidak wajar untuk memasukkan unsur yang tidak menjadi milik bahasa Melayu ke dalamnya.

Mudah-mudahan makalah ini sedikit sebanyak dapat membantu para pengguna bahasa Melayu menjadi lebih peka kepada aturan menggunakan kedua-dua kata pemeri ini. Dalam hal ini, penggunaannya berdasarkan aturan dan bukannya secara sewenang-wenangnya perlu ditegaskan oleh para pendidik kita kepada pelajar-pelajar terutamanya supaya kekhilafan ini dapat diperbetul. Marilah kita bersama-sama memantapkan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita!

Kesalahan Ejaan yang Kerap dilakukan oleh Pelajar

 Dalam karangan pelajar yang saya semak, rata-rata melakukan kesalahan yang agak sama. Walau bagaimanapun, saya telah membuat satu kajian dan mendapat kesalahan tersebut berpunca daripada:

  • Kesalahan sejak sekolah rendah
  • Tidak membaca karangan yang telah disemak oleh guru, terutamanya kesalahan ejaan.
  • Membaca buku berbahasa Melayu yang salah sehingga mudah mempercayai dan menggunakan ejaan tersebut.
  • Kesalahan sari kata dalam filem, drama , dan rancangan menerusi televisyen yang dibaca dan terus dipercayai.
  • guru subjek Bahasa Melayu sendiri membuat kesalahan sehingga anak murid mereka pun buat salah.

Berikut ialah kesalahan ejaan paling popular yang sering dilakukan oleh pelajar:

KESALAHAN……………………..–>PEMBETULAN

  1. Kebanyakkan……………………… kebanyakan
  2. berkerjasama……………………….bekerjasama
  3. kadang-kala…………………………kadangkala
  4. penyalah gunaan………………….penyalahgunaan
  5. Disamping itu……………………….Di samping itu
  6. kerosakkan………………………….kerosakan
  7. anti-merokok………………………antimerokok
  8. serious……………………………….. serius
  9. terguris………………………………….tergores
  10. seringkali ……………………………….sering kali
  11. biadap…………………………………..biadab
  12. television………………………………televisyen
  13. penguatkuasa……………………….penguat kuasa
  14. dairi ……………………………………..diari
  15. barang kali……………………………..barangkali
  16. mengulangkaji………………………..mengulang kaji
  17. menyosalsiasat………………………menyoal siasat
  18. bersatu-padu……………………….bersatu padu
  19. bu-bapa atau ibubapa………………………………..ibu bapa
  20. pasca kemerdekaan……………….pascakemerdekaan

Kata pemeri

Kesilapan Penggunaan adalah dan ialah
Kata pemeri ialah dan adalah merupakan kata tugas yang tergolong sebagai kata prafrasa. Kata pemeri ialah digunakan untuk menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala adalah menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh-contoh yang dapat dilihat daripada penggunaan kedua-dua kata pemeri ini adalah seperti berikut :
1). Kesilapan penggunaan kata adalah di tempat ialah
Contoh:

  1. Anak adalah anugerah Allah. (Salah)
  2. Anak ialah anugerah Allah. (Betul)
  3. Pak Mat adalah orang yang pertama menerpka kawasan itu. (Salah)
  4. Pak Mat ialah orang yang pertama meneroka kawasan itu. (Betul)
  5. Matlamat AMAN adalah pembinaan masyarakat sejahtera. (Salah)
  6. Matlamat AMAN ialah pembinaan masyarakat sejahtera. (Betul

2)    Kesilapan penggunaan kata ialah di tempat adalah
Contoh:

  1. Majalah ini ialah untuk kaum wanita sahaja. (Salah)
  2. Majalah ini adalah untuk kaum wanita sahaja. (Betul)
  3. Persembahan itu ialah baik. (Salah)
  4. Persembahan itu adalah baik. (Betul)

3)    Kesilapan penggunaan kata adalah di hadapan kata kerja.

Contoh:

  1. Matlamat utama syarikat ini adalah membantu para golongan muda. (Salah )
  2. Usaha yang dijalankan adalah menerbitkan risalah. (Salah )
  3. Matlamat utama syarikat ini adalah untuk membantu para golongan muda. (Betul)
  4. Usaha yang dijalankan adalah dengan menerbitkan risalah. (Betul)

4) Kesilapan penggunaan kata adalah pada awal ayat.
Contoh:

  1. Adalah dengan ini diisytiharkan bahawa… (Salah )
  2. Dengan ini dimaklumkan bahawa… (Betul )
  3. Adalah dimaklumkan bahawa… (Salah )
  4. Dengan ini dimaklumkan bahawa… (Betul)

5) Kesilapan penggunaan kata adalah dan kata kerja

Contoh:

  1. Keputusan ini diambil adalah berdasarkan… (Salah)
  2. Keputusan ini diambil berdasarkan… (Betul)
  3. Para pelajar adalah dipelawa memohon… (Salah)
  4. Para pelajar dipelawa memohon… (Betul)
Advertisements

3 thoughts on “Tatabahasa

  1. keliru. apakah maksud ‘kain batik’ adalah objek bergerak manakala ‘ibu’ adalah objek tidak bergerak.bukankah terbalik?

      • Lebih mudah untuk diingati dan difahami:

        Imbuhan me-…kaN biasanya diikuti oleh objek sebagai penyambutnya,
        manakala, imbuhan me-..I biasanya diikuti oleh manusia (kata ganti diri orang)

Tinggalkan sepatah dua kata

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s