Keburukan belajar pada saat akhir kepada para pelajar

Bahagian A (i): Meringkaskaan Karangan

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang keburukan belajar pada saat akhir kepada para pelajar. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

 

Telah menjadi pengetahuan umum bahawa ramai pelajar di negara ini mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan besar seperti PMR dan SPM apabila peperiksaan tersebut tinggal beberapa minggu lagi untuk diduduki.

 

Tabiat mengulang kaji pelajaran pada saat akhir amat merugikan pelajar kerana pelajar yang belajar pada saat akhir ini hanya akan memahami sesuatu topik itu secara luaran sahaja, mereka tidak mampu untuk menghuraikannya dengan lebih dalam. Malahan topik yang dibaca terhad dan amat berbahaya jika topik tersebut tidak diajukan dalam peperiksaan. Sekiranya mengulang kaji dari awal tahun, pelajar dapat menjawab semua topik yang diajukan dengan cepat dan tepat.

Belajar pada saat akhir juga menyebabkan fikiran menjadi kusut. Apa tidaknya, banyak tajuk yang hendak dibaca sedangkan masa begitu pendek. Hal ini tidak berlaku sekiranya belajar lebih awal, perasaan lebih tenang dan peperiksaan dianggap sebagai cabaran. Ada yang berpendapat, belajar pada saat akhir menyebabkan pelajar itu ketandusan ilmu atau memperoleh ilmu yang sedikit berbanding dengan pelajar yang pandai menggunakan dan memanfaatkan masa yang ada padanya.

Pernah kah anda terbaca berita seseorang pelajar tiba-tiba menjadi seorang yang agresif?. Hal ini disebabkan peperiksaan semakin hampir dan harapan ibu bapa pula terlalu tinggi. Oleh sebab rasa tanggungjawab itu tidak dapat dipikul, maka golongan ini mengulang kaji kerana terpaksa lalu boleh menjadi agresif. Selain itu, belajar pada saat akhir jiga tidak menimbulkan keyakinan untuk menghadapi peperiksaan. Berbanding orang yang belajar awal, keyakinan dalam diri begitu besar apabila  peperiksaan yang ditunggu itu tiba mereka boleh menjawab soalan dengan tenang dan yakin.

 

Bagi para pelajar yang belajar pada saat akhir, oleh sebab persediaan hanya dibuat sebulan atau beberapa minggu sebelum peperiksaan, maka apabila berada di dalam dewan peperiksaan mereka akan berasa gelisah. Hal ini tidak berlaku jika membuat persediaan awal pelajar akan menghadapi peperiksaan dengan tenang. Selain itu belajar pada saat akhir juga akan wujud rasa tidak puas hati dalam diri pelajar. Pada ketika itu barulah  timbul rasa kesal kerana tidak mahu belajar dari awal. Apabila keputusan diumumkan dan pelajar memperoleh keputusan yang buruk, maka timbul rasa bersalah terhadap diri dan keluarga.

 

Bahagian A (ii): Pemahaman

  1. Berikan maksud tidak dapat dipikul dalam petikan. [2 markah]
  2. Mengapakah belajar dari awal lagi memberi kebaikan kepada pelajar? [4 markah]
  3. Belajar sejak dari awal lagi banyak kebaikannya kepada para pelajar. Namun ramai pelajar yang memilih untuk belajar pada saat akhir.  Pada pendapat anda mengapakah keadaan ini boleh berlaku ? [4 markah]

 

 

Kesan-kesan kedatangan pendatang asing tanpa izin

Bahagian A (i): Ringkasan (20 markah)

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kesan-kesan kedatangan pendatang asing tanpa izin. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan

Ekonomi Malaysia yang sedang berkembang dengan pesat telah mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak. Jadi, Malaysia kini menjadi tumpuan pendatang asing yang ingin mencari rezeki lumayan. Namun kemasukan pekerja asing, terutamanya pendatang asing tanpa izin yang telah menimbulkan pelbagai masalah kepada rakyat dan pihak berkuasa negara ini.

Antara masalah utama ialah kerajaan mengalami kesulitan untuk membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Pihak polis, tentera, dan Jabatan Imigresen terpaksa bekerja keras untuk memberkas mereka. Mereka ditahan akan ditempatkan di kem-kem  tahanan sementara. Namun begitu, kedutaan asing pula kurang bekerjasama kerana enggan mengeluarkan dokumen perjalanan sementara kepada rakyatnya supaya mereka dapat dihantar balik. Kedutaan asing juga enggan membiayai kos penghantaran pulang. Hal ini menyebabkan banyak tenaga, wang, dan masa kerajaan dibazirkan dalam usaha mencegah kemasukan pendatang tanpa izin.

Keselamatan sosial kita juga terancam. Ada antara pendatang asing tanpa izin ini merupakan penjenayah yang dikehendaki oleh pihak berkuasa di negara asal mereka. Mereka melarikan diri ke Malaysia supaya terlepas daripada serbuan pihak berkuasa negara asal mereka. Malangnya, mereka terus melakukan jenayah di sini. Kes-kes rompakan, pembunuhan, dan rogol sering berlaku. Mangsa akan menanggung trauma sepanjang masa. Malahan sesetengah taman perumahan dimasuki pencuri setiap malam buat satu tempoh yang panjang. Hal ini menyebabkan penduduk tempatan hidup dalam ketakutan. Kes-kes penjenayah warga Indonesia ditembak mati dalam serbuan polis bukanlah kes yang luar biasa lagi. Malah tentera kita terpaksa dikerah ke Semporna, Sabah, untuk menghadapi lanun Filipina yang menggunakan senjata canggih untuk melakukan rompakan pada siang hari.

Penyakit-penyakit berbahaya juga akan merebak dengan meluas kerana hanya buruh asing yang sah akan dikenakan pemeriksaan kesihatan. Sebaliknya, pendatang asing tanpa izin tidak berbuat demikian. Banyak antara mereka berasal dari kawasan mundur di negara asal mereka. Kesihatan mereka kurang terjamin. Ada antara mereka menghidap AIDS, tibi, penyakit kelamin, dan sebagainya. Akibatnya, rakyat kita menjadi mangsa. Statistik telah menunjukkan bilangan rakyat yang menghidap penyakit tibi meningkat semula. Banyak pendatang asing tanpa izin juga disahkan sebagai pembawa kuman HIV dan hepatitis. Mereka ini boleh  membawa kepada masalah menularnya jangkitan AIDS.

Kedatangan pendatang asing, khususnya yang tanpa izin, juga mendatangkan masalah perumahan. Mereka akan mendirikan kawasan perumahan secara haram. Sesetengah kumpulan pendatang asing ini pula membuka kawasan hutan sebagai kawasan perumahan mereka. Kawasan setinggan ini tidak teratur dan kekurangan kemudahan asas, seperti sistem pembuangan sampah dan air kumbahan. Oleh itu, pencemaran alam sekitar akan berlaku. Selain itu, pembangunan negara pada mas  akan datang juga terbantut kerana kemunculan setinggan ini. Imej negara kita juga terjejas kerana ini menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan serta pengagihan ekonomi yang tidak seimbang. Terdapat juga kawasan perkampungan haram yang mewah, lengkap dengan bekalan elektrik, dan air.

Hak rakyat kita juga banyak terjejas kerana pihak majikan lebih suka mengupah pendatang asing tanpa izin dalam sektor perladangan, pembinaan, dan pembantu rumah kerana gaji mereka jauh lebih murah. Hal ini pasti menjejaskan peluang pekerjaan rakyat kita sungguhpun bukan semua rakyat kita berminat dalam bidang pekerjaan ini. Selain itu, banyak antara mereka melibatkan diri dalam perniagaan, misalnya membuka gerai makanan, menjual barang kemas, lampu hiasan, batik dan sebagainya. Malah ada antara mereka yang menjadi kaya-raya, berumah besar tanpa membayar cukai pendapatan. Pada ketika nilai wang kita jatuh dengan teruknya, peluang pekerjaan rakyat semakin sempit. Hal ini memang tidak adil kepada rakyat kita.

Tuntasnya, kita memerlukan tenaga kerja asing dalam pembangunan negara. Namun kehadiran mereka, terutamanya mereka yang masuk secara haram  juga menimbulkan masalah. Kerajaan perlu menangani masalah ini dengan bersungguh-sungguh supaya kita tidak seperti menumpang di tanah sendiri.

Bahagian A (ii): Pemahaman

  1. Berikan maksud   kesulitan untuk membanteras dalam petikan? [2 markah]
  2. Mengapakan kedatangan pekerja asing dikatakan menjadi punca penyakit-penyakit berbahaya? [4 markah]
  3. Gerakan membanteras pendatang asing tanpa izin telah dilancarkan oleh kerajaan.  Namun jumlah pendatang tanpa izin ini masih ramai.  Pada pendapat anda mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]

Punca-punca pencemaran air

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang punca-punca pencemaran air. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Air merupakan keperluan asas manusia. Namun begitu, air semakin hari semakin tercemar. Pencemaran ini dikaitkan dengan pembebasan pelbagai jenis larutan  bahan kimia toksik yang dan bahan buangan ke dalam sungai dan laut.

Punca utama pencemaran air ialah bahan buangan domestik. Bahan-bahan buangan domestik yang terdiri daripada sampah sarap dan bahan kumbahan dibuang sewenang-wenangnya ke dalam sungai. Pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab mengambil jalan mudah dengan menyalirkan bahan kumbahan ke dalam parit dan sungai. Apabila sampah organik domestik ini mereput dan diuraikan oleh bakteria dengan oksigen yang terlarut di dalam air maka, wujud keadaan kekurangan oksigen dalam air yang menggugat kehidupan akuatik.

Pembangunan industri perkilangan juga menjadi punca pencemaran air yang utama. Kebanyakan kilang dibina di tebingan sungai untuk memudahkan bahan-bahan buangan disalirkan ke dalam sungai-sungai berkenaan. Masalah timbul apabila cecair kimia yang disalurkan ke dalam sungai tidak dirawat terlebih dahulu dan mengandungi bahan toksik yang mencemarkan air sungai.

Sektor pertanian juga dikenal pasti sebagai punca pencemaran air. Pengilangan hasil-hasil pertanian menghasilkan banyak bahan kimia cecair yang disalirkan ke dalam sungai-sungai. Hampas-hampas organik yang menjadi bahan buangan pemprosesan dibuang ke dalam sungai lalu menyebabkan air sungai teremar. Selain itu, penggunaan baja, pestisid dan insektisid untuk membunuh haiwan perosak juga mencemarkan sumber air sebab bahan-bahan tersebut menghalang penembusan cahaya ke bawah permukaan air dan mengakibatkan kematian tumbuh-tumbuhan air dan hidupan akuatik.

Selain itu, industri perlombongan juga antara punca pencemaran air. Cari gali petroleum di dasar laut dan pertumpahan minyak adalah antara bukti nyata. Penggerudian perigi-perigi minyak dan letupan tangki minyak menambah lagi  masalah pencemaran ini.

Bahan-bahan buangan radioaktif dan ujian-ujian bom dan nuklear di laut-laut juga menyumbang kepada pencemaran air. Banyak bahan buangan radioaktif yang terhasil dari makmal-makmal dan buangan hospital yang mengandungi sisa-sisa toksik larut dalam air serta mencemarkan air sungai dan laut. Stesen-stesen nuklear juga menyalirkan bahan buangan ke dalam sungai yang mengakibatkan sungai tercemar. Ujian-ujian bom di laut juga antara faktor penyebab pencemaran air laut.

Intihanya, pencemaran air boleh ditangani jika semua pihak berkerjasama untuk menanganinya. Kita harus memastikan bahawa persekitaran kita bersih dan selamat untuk didiami. Tindakan perundangan semata-mata tidak dapat menyelesaikan masalah ini. Kerajaan perlu memperkasakan pendidikan alam sekitar untuk membendung masalah ini.

Bahagian A (ii): Pemahaman

  1. Berikan maksud   memilih jalan mudah dalam petikan? [2 markah]
  2. Mengapakan sektor pertanian dikatakan menjadi punca pencemaran sungai? [4 markah]
  3. Kempen sayangi sungai kita telah pun dilancarkan oleh kerajaan.  Namun orang ramai masih suka membuang sampah sarap ke dalam sungai.  Pada pendapat anda mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]