Punca-punca penyakit sosial dalam kalangan remaja

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang punca-punca  penyakit sosial dalam kalangan remaja. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Mengapa disebut gejala penyakit sosial?

Gejala bermaksud tanda-tanda (akan terjadinya sesuatu), alamat, petanda :Ayat contoh” Gejala keburukan akhlak kanak-kanak sudah mulai nampak; Gejala juga bermaksud alamat (petanda) penyakit: Contohnya gejala demam denggi.  Bukannya gejala denggi.  Contoh-contoh lain; gejala menghidu gam, bukannya gejala gam.

Gejala penyakit sosial dalam kalangan remaja bukan suatu yang luar biasa bagi masyarakat hari ini. Malah, gejala penyakit sosial ini semakin menjadi-jadi setiap hari. Persoalannya apakah  faktor yang mendorong gejala ini ini terus berleluasa?

Gejala kurang sihat ini berlaku kerana para remaja kurang diberi perhatian oleh ibu bapa mereka, khususnya ibu bapa yang bekerja di bandar. Keadaan ini berlaku kerana, ibu bapa sibuk bekerja sehingga mengabaikan tanggungjawab mendidik anak-anak. Setelah keletihan, mereka langsung tidak mahu mengambil tahu tentang pelajaran anak-anak, apatah lagi untuk mendengar masalah mereka. Hal ini pasti menimbulkan rasa bosan, sekali gus menyebabkan anak-anak mencari jalan keluar untuk menghiburkan hati.

Selain itu, mereka terjebak dalam gejala negatif akibat bergaul dengan kumpulan yang salah. Ada sesetengah ibu bapa pula berpendapat bahawa pemberian wang yang secukupnya kepada anak-anak sudah memadai. Mereka seharusnya tahu bahawa kasih sayang tidak dapat dibeli dengan wang.

Segolongan remaja pula mengambil jalan mudah dengan melakukan perbuatan yang tidak baik kerana hendak melarikan diri daripada masalah yang menimpa keluarga mereka, contohnya penceraian antara ibu bapa mereka. Pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara punca berlakunya gejala sosial di negara kita. Para remaja yang buntu dengan masalah yang dihadapi memilih jalan mudah dengan keluar dari rumah untuk mencari kebebasan dengan bergaul dengan kumpulan remaja yang berkelakuan tidak bermoral.

Dalam hal ini, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Guru-guru, misalnya patut memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi para pelajar di sekolah. Kaunseling kepada para pelajar yang bermasalah tentunya dapat membantu mereka mengatasi masalah yang dihadapi dengan lebih tenang dan rasional.

Aktiviti-aktiviti kokurikulum juga mesti dijalankan dengan berkesan supaya para pelajar tidak mempunyai alasan untuk melepak. Di samping itu, pendidikan agama haruslah diterapkan sejak kecil lagi. Tindakan ini dianggap perlu kerana semua agama mengajar penganutnya supaya berkelakuan baik.

Tegasnya, anak-anak muda atau golongan remaja ini haruslah dididik dan dijaga dengan baik kerana mereka merupakan bakal pemimpin negara suatu hari nanti.

Bahagian A (ii) Pemahaman

  1. Beri maksud   memilih jalan mudah dalam petikan. [2 markah]
  2. Apakah langkah- langkah yang perlu dilakukan untuk membendung gejala penyakit sosial dalam kalangan remaja? [4 markah]
  3. Golongan remaja juga patut mempunyai tanggung jawab sendiri untuk menghindarkan diri daripada terlibat dengan  gejala-gejala penyakit sosial ini.  Pada pendapat anda bagaimanakah remaja dapat menghindari gejala-gejala sosial ini? [4markah]
Advertisements

Biasa didengar

Antara perkara yang terlintas di benaku ketika ini ialah:

  1. Beberapa hari lalu seorang pembaca berita di televisyen menyatakan bahawa siling sebuah kedai yang digunakan sebagai tempat menyimpan pelbagai jenama jam tangan runtuh. Sepatutnya ayat itu begini : tempat menyimpan  jam tangan pelbagai jenama. Saya cuba memikirkan hal ini, adakah ayat itu salah kerana pembaca berita tersebut tersilap baca atau pengarang berita tersebut yang tersilap.
  2. Seorang wartawan sebuah stesen radio semasa menyampaikan berita secara lintas langsung sering kali menyebut ayat: Selain itu juga, ………… .Contohnya; Selain itu juga, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati di jalan raya. Sepatutnya ayat itu begini:Selain itu, beliau juga turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati di jalan raya.
  3. Seorang juruhebah radio pula sering kali menyebut ayat berikut:
  • Sekarang saya bacakan sebuah SMS daripada kiriman Ali Mamut:  Sepatutnya begini: Sekarang saya bacakan sebuah SMS kiriman Ali Mamut ATAU Sekarang saya bacakan sebuah SMS daripada Ali Mamut. ATAU PUN begini: Sekarang saya bacakan sebuah SMS yang dikirimkan oleh Ali Mamut.
  • Sekarang dengarkanlah sebuah lagu daripada persembahan Datuk M Daud Kilau: Sepatutnya begini: Sekarang dengarlah sebuah lagu  daripada Datuk M Daud Kilau. ATAU Sekarang dengarlah sebuah lagudendangan Datuk M Daud Kilau.
  • Seorang juru hebah membaca berita berbunyi begini; Setakat ini kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya telah meragut 30 nyawa. Sepatutnya begini: Setakat ini kemalangan jalan raya telah meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa.
  • Kebiasaan yang lain….
  1. Sertaikan kami di facebook