Bulan Bahasa Kebangsaan hanya gimik

Pekancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan di Kuching, Sarawak pada 1 Oktober lalu mencerminkan betapa bersungguh-sungguhnya kerajaan mahu memartabatkan bahasa Melayu. Sesuailah dengan termaktubnya ia dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai Bahasa Kebangsaan. Selepas 53 tahun negara mencapai kemerdekaan, kita masih tercari-cari formula memperkasakan bahasa Melayu di tanah air sendiri. Kononnya bahasa Melayu adalah bahasa keempat terpenting di dunia dituturkan jutaan manusia terutama di negara rumpun Melayu dan hendak dimartabatkan sebagai bahasa dunia dan ilmu. Alangkah ironinya dan rakyat menanti bila saat ‘impian’ itu termakbul. Ditambah pula dengan kesungguhan kerajaan yang dilihat daripada nada ucapan dan majlis berkaitan bahasa yang diadakan akhir ini, sangat memberangsangkan. Namun, itulah saja yang disajikan kepada kita kerana akhirnya semua berbalik kepada asal. Alangkah sedihnya, Bulan Bahasa sekadar ‘dilancarkan’, beritanya menghangatkan akhbar esoknya dan lepas itu pada hari sama semua pihak berbalik kepada amalan biasa. Bulan Bahasa Kebangsaan hanyut memenuhkan takwim semata-mata. Lebih ironi dikatakan hanya gimik. Sambutan Bulan Bahasa benar-benar ala-Malaysia. Riuh sehari, kemudian semua pihak lupa peranan yang patut dimainkan untuk merealisasikan impian menjadikan bahasa Melayu bahasa dunia dan ilmu. Pemimpin tetap juga dengan kebiasaan, masih menggunakan bahasa Inggeris walaupun dalam acara rasmi negara atau ketika sidang akhbar dengan wartawan Malaysia. Peneraju sektor korporat dan ilmuwan tetap tidak mahu menggunakan bahasa Melayu walaupun bahasa Inggeris yang dituturkan tergagap-gagap. Tidak ada satu pun aktiviti memenuhkan Bulan Bahasa Kebangsaan yang boleh dibanggakan. Tidak ada juga komitmen menuju ke arah memartabatkan bahasa Melayu seperti diperkatakan selain menyerahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan janji memberi kuasa lebih kepada badan itu. Semua pihak patut memainkan peranan masing-masing kerana usaha ini membabitkan semua peringkat dan segenap lapisan rakyat. Bermula daripada pemimpin hingga rakyat jelata perlu serius menggunakan bahasa Melayu dalam sebarang kegiatan. Ada beberapa saranan yang boleh dilaksanakan sebagai menggambarkan kita menyambut Bulan Bahasa yang baru dilancarkan. Walaupun agak keterlaluan tetapi hanya untuk bulan ini dalam setahun.

  • Pemimpin berhenti menggunakan selain bahasa Melayu. Sebarang ucapan, taklimat dan surat-menyurat dibuat menggunakan bahasa Melayu.Jangan hanya meminta rakyat berbuat demikian sedangkan pemimpin mengabaikannya.
  • Siaran TV dan radio menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya termasuk iklan dan berita kecuali program import. Berita Tamil, Mandarin dan Inggeris dihentikan buat sementara. Rakyat kaum lain tentu memahami sebarang maklumat dalam bahasa Melayu jika selalu terdedah dengan bahasa itu.
  • Rakyat pelbagai kaum mesti berkorban sedikit mengenai bahasa kerana bumi ini akhirnya menjadi milik kita bersama, sepatutnya kita menggunakan bahasa yang sama.
  • Bangsa Melayu jangan berasa sangsi dan sentiasa berusaha menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Berhenti mengamalkan bahasa rojak yang dituturkan selama ini.
Jika ini dapat kita lakukan, orang luar nampak kita serius dengan apa yang diperkatakan. Mereka anggap kita bukan main-main, kata dikota. Apa yang berlaku sekarang selepas Bulan Bahasa dilancarkan, kita terus ghairah menggunakan bahasa Inggeris. Apa yang disarankan hanya dipraktikkan pada Oktober. Memang bahasa Inggeris penting, namun apa salahnya bahasa Melayu diletak pada persada paling atas selama sebulan saja setahun? Lama-kelamaan, segenap lapisan rakyat biasa dengan penggunaan bahasa Melayu. Rakyat akan tahu setiap tiba Oktober, bahasa Melayu tetap di hati walaupun pada bulan lain ia tidak dipedulikan. Indonesia boleh melakukan terhadap bahasa Indonesia. Thailand boleh melakukan terhadap bahasa Thai. Kenapa Malaysia tidak boleh? Semuanya terletak pada kita. 
ILHAM SYAKIMA,
Yan, Kedah.

 

Advertisements

One thought on “Bulan Bahasa Kebangsaan hanya gimik

Tinggalkan sepatah dua kata

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s