Tag Archives: Ringkasan dan pemahaman

Kepentingan telefon bimbit

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan telefon bimbit. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Talian komunikasi tanpa wayar atau telefon bimbit, ialah salah satu alat perhubungan atau komunikasi dan telah menjadi gaya hidup masyarakat dunia masa kini.  Memang tidak dapat dinafikan bahawa memiliki telefon bimbit banyak kelebihannya, mana tidaknya seseorang yang beribu-ribu batu jauhnya di pelosok dunia sekalipun dapat dihubungi juga.  Dengan adanya talian internet kita dapat mengetahui berita-berita penting dan terkini lebih cepat melalui telefon bimbit.

Alat perhubungan ini yang  pada satu ketika dahulunya dianggap barangan mewah, kini mampu dimiliki oleh setiap golongan masyarakat dunia. Malahan, ada ibu bapa yang mampu menyediakan alat komunikasi ini kepada anak-anak mereka sejak di bangku sekolah rendah lagi bagi memudahkan mereka menghubungi anak-anak. Telefon bimbit dapat menyampaikan pesanan secara pantas dan berkesan dan boleh menyimpan pelbagai maklumat juga.

Tidak keterlaluan jika telefon bimbit dikatakan lebih penting daripada komputer dan internet kerana telefon bimbit tidak memerlukan kuasa elektrik. Rupa bentuknya yang comel dan praktikal dengan dilengkapi kamera, perakam video, SMS, GPRS, WAP, WiFi dan kemudahan 3G, Blackberry dan Iphone yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Dengan teknologi terkini kita boleh melihat wajah siapa-siapa yang kita hubungi. Kini boleh menghubungi talian Internet juga bagi mengetahui berita yang dilaoprkan di luar Negara. Banyak yang diperoleh apabila kita dapat menggunakan Internet.

Lebih menarik lagi, telefon bimbit dapat menyimpan dan memaklumkan akan jadual harian. Pendek kata, telefon bimbit dapat menyelesaikan masalah yang selama ini sukar untuk dibuat. Dalam dunia hari ini anda akan dianggap ketinggalan zaman sekiranya tidak memiliki telefon bimbit.

Dalam pada itu, tidak dinafikan telefon bimbit juga boleh membawa kemudaratan. Misalnya telefon bimbit boleh menyebabkan berlakunya pembaziran jika disalahgunakan. Malahan sesetengah individu sanggup berhabis duit untuk menukar telefon mereka dengan model telefon terbaru. Bagi pelajar, ada yang sanggup mengikat perut asal sahaja talian tidak terputus. Hal ini, ditambah pula dengan tindakan para pelajar merakam aksi-aksi mereka yang mencolok mata lalu memuat turun rakaman tersebut di Youtube.

 PEMAHAMAN

  1. Apakah maksud rangkai kata membawa kemudaratan? [2 markah]
  2. Nyatakan kesan-kesan negatif penggunaan telefon bimbit? [4  markah]
  3. Pada pendapat anda, mengapakah sesetengah individu itu sanggup berhabis wang demi memiliki sebuah telefon yang mahal dan canggih? [4 markah]

Kebaikan program kitar semula

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan program kitar semula. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan

 Kini program kitar semula bahan buangan telah mula diberi perhatian oleh kerajaan kerana kawasan pelupusan sampah sudah semakin terhad. Sampah yang semakin banyak perlu diuruskan dengan baik demi kebaikan semua.

Tujuan kerajaan mengadakan kempen kitar semula sampah adalah kerana kawasan pelupusan sampah yang semakin kecil. Keadaan seperti ini jika tidak diuruskan dengan baik akan menyebabkan pencemaran tanah dan pencemaran udara yang boleh mendatangkan wabak penyakit. Program kitar semula dapat  mengurangkan kuantiti sampah yang dibuang di Malaysia kerana beberapa jenis bahan buangan boleh dikitar semula menjadi pelbagai barangan untuk pelbagai kegunaan.

Pengitaran semula sampah sarap juga akan menjimatkan kos pengurusan sampah oleh pihak majlis perbandaran dan pihak swasta. Kos pengurusan sampah bukanlah murah kerana proses ini melibatkan banyak pihak dan kenderaan yang besar.

Mengitar semula bahan buangan juga penting untuk sumber industri berasaskan logam, kertas dan plastik. Oleh sebab itu, bagi sesetengah golongan program mengitar semula bahan buangan ini merupakan mata pencarian mereka. Tamsilnya, kertas surat khabar lama penting untuk kilang kertas. Manakala besi buruk boleh dijadikan bahan logam yang lain penting untuk industri besi dan logam. Botol minuman dan bekas makanan plastik boleh dijadikan sumber industri yang berasaskan barangan plastik. Semua bahan berkenaan boleh djual dan  tidak harus dibuang di merata-rata tempat kerana ada banyak faedah yang boleh kita peroleh jika memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya.

Mengitar  semula sampah juga penting agar alam sekitar sentiasa bersih sepanjang masa. Kitar semula mendidik semua generasi mencintai kebersihan alam sekitar yang indah. Kebersihan alam akan menambah keceriaan di sesuatu kawasan. Orang ramai boleh menikmati keindahan alam dengan sepenuhnya jika alam sekitar bersih. Kehidupan menjadi lebih seronok dan selesa.

Sesuatu yang penting ialah kempen kitar semula juga dapat mendidik masyarakat supaya mementingkan kebersihan alam sekitar. Kerajaan mengharapkan semua penduduk Malaysia dapat memainkan peranan masing-masing untuk menjaga alam sekitar setiap masa. Orang ramai harus mengetahui tempat pembuangan sampah yang betul. Mereka hendaklah membuang sampah di tempat yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan. Program kitar semula telah dapat  menyemaikan rasa tanggungjawab dalam jiwa masyarakat untuk bersama-sama membantu memelihara alam sekitar dengan membuang sampah di tempat pembuangan sampah yang sepatutnya.

Rakyat Malaysia mesti sanggup berkorban demi kebersihan alam secara berkekalan. Kita mesti sanggup bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjayakan program kitar semula bahan terbuang. Alam sekitar yang bersih akan menjamin keselesaan hidup di mana-mana juga kita berada di negara ini.

 Pemahaman

  1. Berikan maksud rangkai kata mata pencarian dalam?[2 markah]
  2. Nyatakan beberapa bahan sampah yang boleh dikitar semula dan kegunaannya dalam industri pembuatan? [4 markah]
  3. Kempen kitar semula ini telah lama dilakukan, namun begitu masih ramai mereka yang tidak menyahut seruan tersebut.  Pada pandangan anda, mengapakah hal ini berlaku? [4 markah]

Sebab-sebab rakyat Malaysia perlu bersatu padu

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang sebab-sebab rakyat Malaysia perlu bersatu padu. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan

Rakyat bermuafakat negara maju itulah antara slogan yang sering dilaung-laungkan untuk menunjukkan betapa pentingnya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Rakyat Malaysia perlu bersatu agar dapat mewujudkan perpaduan, lebih-lebih lagi bagi negara seperti Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada masyarakat pelagai kaum yang mempunyai latar belakang budaya dan adat resam yang berbeza. Dalam kalangan masyarakat majmuk ini saling memahami satu sama lain amat penting untuk menjamin keamanan negara. Negara yang aman dan harmoni dapat membangun dengan pesat lantas memberikan keselesaan hidup kepada rakyatnya.

Rakyat yang bersatu padu juga dapat menggembleng tenaga dalam menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi supaya ekonomi negara berkembang pesat. Hasil pengeluaran pelbagai sektor seperti pertanian dan pembuatan akan dapat ditingkatkan dan berkembang maju. Sekiranya rakyat kita bersatu pelabur asing tentunya berminat melabur dalam negara yang stabil dan makmur

Sekiranya rakyat bersatu padu, sudah pasti kehidupan rakyat akan aman dan sejahtera hasil perpaduan tersebut lahirlah generasi berilmu, yang mampu menjadi contoh kepada negara-negara yang lain. Keadaan ini menjadi tarikan kepada pelancong datang ke negara ini seterusnya untuk menikmati keindahan negara kita dan keunikan budaya masyarakat di sini. Masyarakat Malaysia yang bersatu juga melahirkan generasi muda yang berwibawa yang mampu menjadi pemimpin yang berkaliber serta pekerja yang berdisiplin yang mampu menangani segala bentuk masalah sosial dalam masyarakat seterusnya mengurangkan kadar jenayah.

Pelbagai usaha perlu dilakukan supaya masyarakat sentiasa bersatu padu, contohnya dengan mengadakan program rukun tetangga di sesebuah kawasan perumahan.  Selain itu aktiviti gotong-royong yang melibatkan semua penduduk di sesebuah kawasan patut diadakan dengan kerap mewujudkan semangat kerjasama dan saling membantu.

PEMAHAMAN

  1. Berikan maksud rangkai kata mampu menangani? [2 markah]
  2. Apakah usaha yang patut dilakukan untuk memupuk semangat perpaduan kaum di negara kita? [4 markah]
  3. Pada pandangan anda, apakah keburukannya jika rakyat Malaysia tidak bersatu padu?  [4 markah]

Faedah-faedah menyertai kegiatan kokurikulum

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang faedah-faedah menyertai kegiatan kokurikulum. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Banyak faedah yang diperoleh apabila seseorang pelajar itu melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum, namun begitu begitu ramai pelajar yang memberikan pelbagai alasan untuk tidak melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Mereka menganggap menyertai kegiatan kokurikulum hanyalah membuang masa dan mereka mahu masa tersebut hanya untuk memenuhi keperluan mereka sendiri,  seperti untuk berpelesiran di kafe siber dan melepak di pusat beli-belah.

Persoalannya sedarkah mereka tentang faedah-faedah yang diperoleh daripada kegiatan kokurikulum. Seseorang pelajar dapat menggunakan masanya dengan berfaedah apabila melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Dalam pada itu, sikap berdisiplin dapat ditanam dalam sanubari pelajar-pelajar sekolah. Kegiatan kokurikulum juga dapat mengeratkan hubungan antara pelajar dengan guru atau pelajar dengan pelajar. Hal ini akan mewujudkan sikap kerjasama dan toleransi di samping itu, perpaduan kaum juga dapat dipupuk. Perpaduan kaum adalah tulang belakang dalam membentuk sebuah negara yang aman damai, supaya rusuhan kaum 13 Mei 1969 tidak berulang lagi. Yang lebih penting para pelajar dapat meluaskan ilmu pengetahuan melalui penglibatan dalam aktiviti kokurikulum.

Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar-pelajar dapat mengenali dan memahami budaya dan adat resam kaum-kaum lain di Malaysia dan seterusnya  dapat mewujudkan rasa bangga terhadap budaya dan cara hidup masyarakat di negara ini. Dengan menyertai aktiviti-aktiviti kokurikulum, seseorang pelajar dapat menyihatkan badan dan mencerdaskan minda selain dapat membina keyakinan diri dalam mengharungi kehidupan. Hal ini juga secara tidak langsung akan mengurangkan bilangan kes-kes juvana dalam kalangan remaja kerana pelajar tidak akan ada masa untuk melibatkan diri dengan masalah-masalah sosial.

Kita akui bahawa sesetengah pelajar menganggap kegiatan kokurikulum ini boleh menjejaskan tumpuan mereka terhadap pelajaran, malahan boleh mengeruhkan hubungan antara pelajar berbilang kaum jika tidak dikawal, namun begitu golongan yang berfikiran negatif ini haruslah ingat akan faedahnya lebih banyak berbanding kesan buruknya.

PEMAHAMAN

  1. Berikan maksud rangkai kata  menjejaskan tumpuan?
  2. Apakah alasan yang diberikan oleh yang pelajar tidak mahu menyertai kegiatan kokurikulum ?
  3. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara-cara untuk menggalakan para pelajar menyertai aktiviti kokurikulum?

Faktor-faktor yang menyebabkan masyarakat lebih gemar membaca bahan bacaan picisan berbanding dengan buku ilmiah

PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN

TINGKATAN 1

MEI 2011

Bahagian A(i)

[Masa yang dicadangkan: 40 minit]

[20 markah]

 

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan tulis suatu ringkasan tentang faktor-faktor yang menyebabkan masyarakat lebih gemar membaca bahan bacaan picisan berbanding dengan buku ilmiah. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah kata. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Minat membaca di kalangan masyarakat memang tinggi jika dilihat daripada sambutan yang luar biasa terhadap buku dan majalah popular yang berbentuk picisan. Bahan picisan itu boleh ditakrifkan sebagai bahan bacaan yang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada pembaca. Bahan bacaan sebegini juga tidak mengandungi unsur-unsur keilmuan dan pendidikan serta  mengandungi  humor, hiburan, pornografi dan keganasan yang banyak. Contoh bahan picisan ialah komik- komik dan majalah-majalah remaja.

Keghairahan para penerbit yang berlumba-lumba untuk menerbitkan buku atau majalah picisan ini hingga menjadi lambakan di kedai-kedai buku adalah antara faktor yang menggalakkan masyarakat lebih gemar membaca bahan bacaan picisan ini. Kita tidak boleh berbangga dengan peningkatan minat membaca kalau tumpuan hanya diberikan kepada bahan-bahan bacaan yang berbentuk  picisan semata-mata kerana membaca bahan-bahan ini boleh membawa kesan negatif dan tentu sekali tidak mampu mengasah minda supaya masyarakat lebih kreatif dan berfikir dengan lebih bijak dan rasional. Bagi remaja pula, mereka mungkin akan meniru aksi-aksi yang terkandung dalam bahan picisan itu. Contohnya adegan pergaduhan. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka sentiasa berkeinginan untuk melakukan sesuatu perkara yang tidak pernah mereka lakukan, mereka sentiasa ingin mencuba. Di samping itu, hal ini juga akan meningkatkan gejala sosial dalam kalangan masyarakat.

Dalam konteks inilah masyarakat, terutamanya remaja lebih gemar membaca bahan-bahan picisan ini kerana kandungannya yang menyeronokan dan memberi kepuasan kepada mereka.  Hal ini terjadi demikian, kerana budaya membaca rakyat Malaysia yang belum mantap lagi.  Selain itu, segelintir masyarakat Malaysia lebih gemar membaca bahan-bahan tentang hiburan, gosip dan rekaan. Hal ini amat meresahkan kita terutamanya apabila kita terbaca kenyataan yang mendakwa buku-buku ilmiah tidak dibaca tersadai  di gedung percetakan Dewan Bahasa dan Pusataka, tambahan pula ahli-ahli akedemik kurang menulis buku yang bersifat ilmiah.  Bagi kebanyakan pelajar pula, mereka tidak berminat untuk membaca buku ilmiah kerana bahan ilmiah dikatakan membosankan dan remeh-temeh bagi mereka, kalau bembaca pun mereka  hanya membaca buku ilmiah untuk tujuan peperiksaan sahaja.

Isu masyarakat lebih gemar membaca bahan bacaan picisan berbanding dengan buku ilmiah, harus dilihat secara keseluruhan dan bukannya menyalahkan satu-satu pihak sahaja. Misalnya, kos pembelian turut mempengaruhi minat remaja untuk membeli bahan-bahan picisan tersebut. Harga bahan-bahan picisan adalah lebih murah berbanding dengan bahan ilmiah. Harga untuk bahan-bahan picisan hanyalah sekitar RM3.00 hingga RM5.00 tetapi untuk bahan-bahan ilmiah, ada yang mencecah ratusan ringgit. Satu lagi faktor sebab hal ini berlaku dapat dilihat pada keadaan bahan-bahan picisan itu sendiri yang mempunyai ilustrasi gambar yang menarik dan berwarna-warni sedangkan pada bahan-bahan ilmiah hanya terdapat warna hitam dan putih sahaja.

Kesimpulannya, masyarakat negara ini lebih gemar membaca buku-buku atau majalah yang menghidangkan bahan bacaan berbentuk hiburan atau rekaan semata-mata daripada membaca bahan bacaan bermaklumat dan berisi ilmu dan pengetahuan.

Pemahaman Bahagian A (ii). Jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

  1. Berikan maksud rangkai kata  mengasah minda dalam petikan. [2 markah]
  2. Nyatakan dua kesan negatif akibat membaca bahan-bahan picisan ? [4 markah]
  3. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang patut dilakukan untuk menggalakkan masyarakat membaca bahan bacaan yang berbentuk ilmiah ? [4 markah]

Skema pemarkahan Peperiksaan Pertengahan Tahun Mei 2011

Bahagian A(i)

  1. Keghairahan para penerbit yang berlumba-lumba untuk menerbitkan buku atau majalah picisan ini hingga menjadi lambakan di kedai-kedai buku
  2. Remaja lebih gemar membaca bahan-bahan picisan ini kerana kandungannya yang menyeronokkan dan memberi kepuasan kepada mereka.
  3. Hal ini terjadi demikian, kerana budaya membaca rakyat Malaysia yang belum mantap lagi.
  4. Selain itu, segelintir masyarakat Malaysia lebih gemar membaca bahan-bahan tentang hiburan, gosip dan rekaan.
  5. Tambahan pula ahli-ahli akedemik kurang menulis buku yang bersifat ilmiah.
  6. Bagi kebanyakan pelajar pula, mereka tidak berminat untuk membaca buku ilmiah kerana bahan ilmiah dikatakan membosankan dan remeh-temeh bagi mereka
  7. mereka  hanya membaca buku ilmiah untuk tujuan peperiksaan sahaja
  8. Harga bahan-bahan picisan adalah lebih murah berbanding dengan bahan ilmiah.
  9. Satu lagi faktor sebab hal ini berlaku dapat dilihat pada keadaan bahan-bahan picisan itu sendiri yang mempunyai ilustrasi gambar yang menarik
  10. pada bahan-bahan ilmiah hanya terdapat warna hitam dan putih sahaja.

SKEMA JAWAPAN

Pemahaman Bahagian A (ii). Jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

  1. Berikan maksud rangkai kata  mengasah minda dalam petikan. [2 markah]

Maksud rangkai kata  mengasah minda dalam petikan ialah

  • memupuk fikiran
  • menajamkan akal
  • mempertajam akal
  • memupuk daya berfikir
  • meningkatkan keupayaan akal/berfikir.

2.  Nyatakan dua kesan negatif akibat membaca bahan-bahan picisan ? [4 markah]

Dua kesan negatif akibat membaca bahan-bahan picisan ialah

  • bahan tersebut tentu sekali tidak mampu mengasah minda supaya masyarakat lebih kreatif dan berfikir dengan lebih bijak dan rasional.
  • Selain itu, bagi remaja pula, mereka mungkin akan meniru aksi-aksi yang terkandung dalam bahan picisan itu. Di samping itu, membaca bahan picisan juga akan meningkatkan gejala sosial dalam kalangan masyarakat.

3.  Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang patut dilakukan untuk menggalakkan masyarakat membaca bahan bacaan yang berbentuk ilmiah ? [4 markah]

Faktor-faktor yang menggalakkan kegiatan “along” dalam kalangan masyarakat

PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN

TINGKATAN 2

MEI 2011

Bahagian A(i)

[Masa yang dicadangkan: 40 minit]

[20 markah]

 

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang faktor-faktor yang menggalakkan kegiatan “along” dalam kalangan masyarakat. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tan pa men gubah maksud asal petikan.

Kegiatan memberikan pinjaman oleh para peminjam yang dikenal sebagai ceti sudah lama wujud di negara ini, akan tetapi kini kegiatan ceti mulai diambil alih oleh syarikat kewangan yang dipanggil “along”. “Along” ialah organisasi yang beroperasi secara haram, iaitu memberikan pinjaman wang dengan mengenakan kadar faedah yang terlalu tinggi hingga menjangkau 120 peratus. Sungguhpun begitu, bagi sesetengah keadaan “along” bertindak sebagai “penyelamat” ketika seseorang itu kesesakan wang. Peminjam mudah terperangkap dengan Along, kerana Along memberikan pinjaman wang yang cepat tanpa perlu mengisi borang dan melalui pelbagai kerenah seperti meminjam dengan bank.

Walau bagaimanapun kepentingan peranan “along” dalam membantu para peminjam, tidak dapat dipastikan lagi kerana “along” bukanlah organisasi kewangan yang beroperasi secara sah. Namun begitu, “along” muncul kerana adanya permintaan. Hal ini dikatakan demikian kerana ada sebilangan besar peminjam tidak memiliki wang pada saat-saat mereka memerlukan wang, contohnya ketika ditimpa musibah yang tidak diduga, seperti kemalangan jalan raya, anak sakit dan masalah-masalah lain seumpamanya. Ada juga yang meminjam wang kerana hendak dijadikan modal untuk memulakan perniagaan. Namun begitu, satu hal yang amat menyedihkan ialah sebab ada yang meminjam wang daripada along kerana mahu dijadikan modal untuk berjudi.

Sepatutnya peminjam haruslah berusaha untuk mengelakkan diri daripada terjebak ke dalam perangkap along dengan berusaha sendiri untuk mendapatkan wang seperti mencari kerja sambilan, berniaga secara kecil-kecilan, atau sekurang-kurangnya meminta bantuan daripada ahli keluarga atau memohon derma daripada orang ramai melalui media massa, bukannya mengambil jalan mudah dengan meminjam daripada “along”.  Di samping itu, syarikat pemberi pinjaman kewangan dan bank haruslah memperluas dan menyediakan pelbagai bentuk pinjaman kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk mengelakkan mereka menjadi mangsa kepada peminjam ceti haram.

Kegagalan syarikat kewangan dan bank menyediakan pinjaman kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana menyebabkan kegiatan “along” mendapat sambutan. Hal ini ditambah lagi dengan cara pengiklanan along yang menarik kerana pihak “along” menjanjikan kelulusan pinjaman yang cepat dan tanpa penjamin.

Pada era kecanggihan ICT ini kegiatan “along” semakin sukar dilumpuhkan kerana dikatakan mungkin didalangi oleh pihak yang berkedudukan dalam masyarakat serta bergabung dengan sindiket kongsi gelap dari dalam dan antarabangsa.

Pemahaman Bahagian A (ii). Jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

  1. Berikan maksud rangkai kata semakin sukar dilumpuhkan dalam petikan. [2 markah]
  2. Apakah langkah yang patut dilakukan untuk mengelakkan peminjam meminjam wang daripada along?[4 markah]
  3. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang patut dilakukan oleh pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan along? [4 markah]

SKEMA JAWAPAN

Bahagian A(i)

Faktor-faktor yang mengalakkan kegiatan “along” dalam kalangan masyarakat

Antara faktor yang mengalakkan kegiatan “along” dalam kalangan masyarakat ialah;

  1. bagi sesetengah keadaan “along” bertindak sebagai “penyelamat” ketika seseorang itu kesesakan wang.
  2. kerana Along memberikan pinjaman wang yang cepat tanpa perlu mengisi borang dan melalui pelbagai kerenah seperti meminjam dengan bank
  3. Namun begitu, “along” muncul kerana adanya permintaan.kerana ada sebilangan besar peminjam tidak memiliki wang pada saat-saat mereka memerlukan wang
  4. Ada juga yang meminjam wang kerana hendak dijadikan modal untuk memulakan perniagaan.
  5. ada yang meminjam wang daripada along kerana mahu dijadikan modal untuk berjudi.
  6. kegagalan syarikat kewangan dan bank menyediakan pinjaman kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana menyebabkan kegiatan “along” mendapat sambutan.
  7. cara pengiklanan along yang menarik kerana pihak “along” menjanjikan kelulusan pinjaman yang cepat dan tanpa penjamin.
  8. kerana dikatakan mungkin didalangi oleh pihak yang berkedudukan dalam masyarakat serta bergabung dengan sindiket kongsi gelap dari dalam dan antarabangsa.

Pemahaman Bahagian A (ii).

  1. Maksud  rangkai kata semakin sukar dilumpuhkan dalam petikan ialah
  • semakin=lebih / kian / bertambah
  • sukar=susah / sulit / payah
  • dilumpuhkan= dihapuskan / dibasmi / diatasi/dicegah/ditangani/dibanteras

= kian susah dihapuskan

= bertambah susah dibasmi

  1. Apakah langkah yang patut dilakukan untuk mengelakkan peminjam meminjam wang daripada along? [4 markah]

Langkah yang patut dilakukan untuk mengelakkan peminjam meminjam wang daripada along ialah

  • sepatutnya peminjam haruslah berusaha untuk mengelakkan diri daripada terjebak ke dalam perangkap along dengan berusaha sendiri untuk mendapatkan wang seperti mencari kerja sambilan
  • berniaga secara kecil-kecilan, atau sekurang-kurangnya meminta bantuan daripada ahli keluarga
  •  memohon derma daripada orang ramai melalui media massa, bukannya mengambil jalan mudah dengan meminjam daripada “along”.
  • Di samping itu, syarikat pemberi pinjaman kewangan dan bank haruslah memperluas dan menyediakan pelbagai bentuk pinjaman kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk mengelakkan mereka menjadi mangsa kepada peminjam ceti haram.
  1. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang patut dilakukan oleh pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan along? [4 markah]

Pada pendapat saya, langkah-langkah yang patut dilakukan oleh pihak berkuasa untuk membantersa kegiatan “along” ialah

  • melonggarkan syarat pinjaman dengan kadar pembayaran yang fleksibel,
  • masyarakat membuat aduan kepada pihak berkuasa membuat serbuan,
  • memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat
  • dan kempen secara besar-besaran untuk menyedarkan masyarakat tentang bahayanya meminjam wang daripada “along”.
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 42 other followers