Tag Archives: faedah bersukan

Faedah-faedah melibatkan diri dalam aktiviti sukan

Pada tahun 2011, kerajaan telah memperkenalkan program 1Murid 1Sukan untuk memastikan semua murid terlibat dalam bidang sukan. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah melibatkan diri dalam aktiviti  sukan dalam kalangan murid.

Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta tenaga yang dilakukan sama ada sebagai acara pertandingan, hiburan atau untuk suka-suka bagi mengisi masa lapang atau untuk beriadah. Pada tahun yang lalu kerajaan telah memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan kerana menyedari kepentingan bersukan. Contoh aktiviti sukan yang agak popular kini ialah seperti olahraga, berenang, permainan bola sepak, tenis, badminton dan sebagainya. Persoalannya apakah faedahnya jika seseorang murid itu melibatkan diri dalam aktiviti  bersukan?

Antara faedah bersukan kepada murid ialah sukan dapat meningkatkan disiplin murid. Hal ini dikatakan demikian kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri sendiri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Contohnya setiap pemain dalam sesebuah pasukan itu mesti menepati masa, rajin berlatih, tidak merokok dan mematuhi arahan jurulatihnya.  Oleh itu, secara tidak langsung sukan juga turuk membentuk disiplin murid tersebut.

Seterusnya, sukan juga penting bagi melahirkan seseorang murid yang sihat. Hal ini dikatakan demikian kerana bersukan boleh menguatkan otot dan tulang serta menyihatkan badan. Misalnya, seseorang murid yang bersukan pada setiap petang sudah banyak berpeluh. Oleh itu murid yang aktif bersukan jarang mendapat demam dan selesema berbanding dengan rakan-rakannya yang tidak bersukan

Selain itu, seseorang murid yang aktif dalam kegiatan sukan akan terdidik untuk mengagihkan masa dengan sewajarnya. Hal ini dikatakan demikian kerana murid tersebut akan menentukan masa yang sesuai untuk  memberikan tumpuan terhadap sukan dan masa untuknya  belajar.  Contohnya, seseorang murid yang menyertai pasukan sekolah mesti ada jadual latihan sukan dan jadual belajar. Oleh itu, seseorang murid yang aktif dalam sukan juga berjaya dalam pelajaran.

Di samping itu, sukan juga membentuk murid menjadi seseorang yang berfikiran positif. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan aktif bersukan seseorang itu dapat berfikir secara rasional dan berkeyakinan tinggi dan tidak cepat berputus asa. Contohnya, Datuk Lee Chong Wei  tetap tidak berputus asa walaupun gagal meraih pinggat emas dalam sukan Olimpik baru-baru ini. Oleh itu, sukan penting dalam melahirkan murid yang berfikiran positif.

Akhir sekali, murid yang aktif bersukan juga dapat menggunakan masa lapang mereka dengan lebih bermanfaat. Hal ini dikatakan demikian kerana biasanya murid yang aktif dalam bidang sukan tidak berminat bermain ‘computer game’ dan tidak akan menghabiskan masanya untuk berplesiran di pusat beli-belah, menonton televisyen, dan seumpamanya. Oleh itu, sudah pasti mereka akan menghabiskan masa dengan lebih bermanfaat.

Intihanya, jelaslah di sini bahawa melibatkan diri dalam sukan banyak membawafaedah kepada murid. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyediakan banyak kemudahan untuk bersukan di sekolah. Ibu bapa  pula patut menggalakkan anak-anak mereka bersukan. Begitu juga dengan guru-guru mereka perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran sukan.  Saya percaya dengan adanya kerjasama antara semua pihak lebih ramai lagi jaguh sukan negara yang akan menyerlah di peringkat antarabangsa, asalkan kita tidak melakukannya hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Latihan 1

Kenal pasti perkara yang berikut;

  1. Pendahuluan- Definisi tema soalan, huraian dan contoh, dan kehendak soalan.
  2. Perenggan isi 1 hingga 5 – idea utama,  huraian idea utama (5W1H), contoh untuk menjelaskan idea dan ayat penegasan / pendirian terhadap idea yang diutarakan.
  3. Kesimpulan – rumusan idea, ayat cadangan dan harapan serta ungkapan yang menarik 

Latihan 2

Berpandukan karangan contoh di atas tulis  karangan yang berikut:

Pada masa masa ini, penggunaan laman sosial di internet amat popular dalam kalangan pelajar di Malaysia. Huraikan pendapat anda tentang keburukan terlampau aktif melayari  laman sosial kepada para pelajar.