Mari mendaftar sebagai pengundi

Di Singapura kerajaan berdepan dengan masalah rakyatnya yang layak berkahwin enggan berbuat demikian. Sebagai langkah untuk menggalakkan 75,000 orang bujang warganegara pulau itu berkahwin, kerajaan memberi subsidi RM1,166 seorang sebagai kos ‘dating’. Sejumlah hampir 42 peratus lelaki berusia 30-35 tahun masih bujang, berbanding wanita sekitar 30 peratus di negara lima juta jiwa itu. Gejala keengganan mendirikan rumah tangga itu pasti membawa kesan negatif kepada negara itu dari segi sosioekonomi pada jangka panjang.

Endah tak endah
Di negara ini, termasuk di Sarawak, kita berdepan dengan keengganan dan keliatan golongan muda mendaftarkan diri sebagai pengundi sah. Mengapakah golongan yang layak mengundi itu tidak mahu berbuat demikian? Adakah mendaftar sebagai mengundi terlalu menyusahkan bagi mereka? Atau fenomena ini mencerminkan sikap endah tak endah mereka terhadap politik dan pilihan raya? Atau lebih sebagai protes terhadap perkembangan politik dan tanggapan negatif mereka terhadap pemimpin politik Sarawak?

Untuk mengetahui bagaimana pemimpin politik ditanggapi golongan ini, baca sahaja Facebook, blog dan Flickr milik golongan ini. Sebahagian besar komen mereka tentang politik dan pemimpin politik Sarawak tidak sesuai pun dimuatkan dalam tulisan ini. Pemimpin politik yang membacanya tentu akan berasa terpukul. Mungkin ada baiknya pemimpin politik Sarawak membaca komen dan ulasan golongan ini sebagai cermin membaiki diri.

Hakikatnya, pelbagai strategi, pendekatan dan langkah telah diambil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan parti politik untuk memujuk supaya golongan muda mendaftarkan diri sebagai pengundi, tetapi hasilnya tidak berbaloi. Contoh terbaik ialah hanya 183 orang berbuat demikian ketika SPR Sarawak mengambil inisiatif mendaftar pengundi di Tebingan Kuching baru-baru ini.

Walhal sekitar 34 peratus daripada hampir setengah juta golongan muda berusia 21 ke atas masih lagi mendaftar sebagai pengundi di negeri ini. Di mana silapnya? Adakah golongan muda kita memang tidak mahu mempedulikan isu politik? Atau kesedaran politik mereka terlalu rendah? Sampai bilakah mereka tidak mahu terlibat dalam proses pilihan raya? Sampai bilakah mereka mahu berdiri di atas pagar dan membiarkan orang lain menentukan perjalanan politik dan masa depan negeri ini dan negara ini?

Suara keramat peti undi
Untuk mengatakan bahawa kesedaran poltik mereka adalah rendah, pasti meragukan. Sebab, sebahagian besar mereka mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya hingga Tingkatan Lima, dan terdedah pula kepada isu semasa melalui media baharu. Mereka bagai tidak mempedulikan hak mengundi mereka, sekali gus masa depan mereka dan negeri ini jika mereka terus tidak mahu tidak mendaftar sebagai pemilih sah.

Tetapi golongan inilah yang kerap meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan dan pemimpin politik. Mereka memberi pelbagai komen sinis dan pedas terhadap pemimpin politik di alam siber. Sekadar memberi komen tetapi enggan menjadi pemilih, tentu tidak akan mampu mengubah keadaan. Suara keramat ialah suara melalui peti undi. Jika tidak puas hati dengan keadaan sekarang atau pemimpin politik sekarang, nyatakannya melalui peti undi. Ini ialah hak demokrasi anda. Tidak ada sesiapa pun yang berhak merampasnya daripada anda, kecuali anda merelakannya.

Pemimpin politik bukan suri teladan
Sebahagian besar golongan muda dikatakan tidak memihak kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya – itu pun jika trend dalam satu dua pilihan raya lalu diambil kira. Bagi golongan muda ini pemimpin politik tidak lagi menjadi suri teladan. Mereka melihat sesetengah pemimpin politik lebih mengutamakan kepentingan diri, keluarga dan anak-anak. Mereka melihat pemimpin politik tidak bersih tetapi mengamalkan rasuah, nepotisme dan kronisme. Mereka tahu siapa yang membolot kawasan balak, tanah negeri dan projek kerajaan.

Sesetengah pemimpin politik dipersepsi sebagai rakus dan membolot kekayaan negeri. Pemimpin politik dilihat berlumba-lumba membina istana masing-masing ketika rakyat bergelut dengan kehidupan seharian. Jadi, tidak ada faktor cukup kuat untuk merangsang mereka mendaftar. Jangan mengandaikan golongan ini tidak tahu kerenah dan perbuatan tamak haloba pemimpin politik kita.

Justeru, jika mahu mengubah keadaan, mereka sepatutnya mendaftar sebagai pengundi supaya dapat menyatakan pendirian mereka melalui peti undi. Jangan fikir, mereka tidak dapat mengubah keadaan. Satu undi dapat menukar nasib seseorang calon yang bertanding. Mereka tidak harus berdiri di atas pagar dan enggan menyatakan pendirian.

Golongan muda perlu menyatakan suara mereka melalui peti undi – tetapi mereka perlu mendaftar sebagai pengundi terlebih dahulu sebelum layak mengundi. Sehingga 31 Mac tahun ini, 947,092 orang daripada 1.4 juta rakyat Sarawak berusia 21 tahun ke atas merupakan pengundi berdaftar, dengan 479,553 lagi perlu berbuat demikian. Malaysia mempunyai 11 juta pemilih berdaftar daripada 27 juta penduduk.

Kajian Merdeka Centre pada akhir tahun 2008 di Semenanjung mendapati daripada 2,518 responden berusia 20-35 tahun, 44 peratus tidak mendaftar sebagai pemilih sah dan 8 peratus tidak tahu di mana untuk mendaftar sebagai pemilih. Berkaitan dengan soalan mengapa mereka tidak mengundi, 21 peratus responden menyatakan sibuk dengan komitmen lain. Sebanyak 27 peratus mempunyai pandangan negatif tentang politik.

Pesan Soekarno
Golongan ini perlu sedar akan kekuatan mereka. Jika mereka ikut serta dalam pemilihan calon melalui pilihan raya umum atau negeri, mereka sebenarnya dapat mengubah keadaan. Para pemimpin sebenarnya sudah sedar akan pengaruh dan kesan kehadiran golongan ini. Justeru, golongan muda perlu memanfaatkan hak mengundi mereka dalam pilihan raya.

Jika semua mereka mendaftar, bayangkan kesannya terhadap keputusan pilihan raya akan datang, yang dijangka Mac atau April tahun depan. Mereka tidak harus berpeluk tubuh dan membiarkan orang lain menentukan nasib rakyat di negeri ini. Mereka perlu ingat akan kata-kata Presiden Indonesia, Soekarno: “Berilah aku sepuluh pemuda, akan kugoncang dunia.” Kata-kata ini menggambarkan kuasa dan pengaruh mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui bahawa golongan muda merupakan penentu kemenangan dalam pilihan raya akan datang. Jadi, parti politik bertanggungjawab untuk mendekati mereka secara bersungguh-sungguh melalui pelbagai mekanisme, strategi dan pendekatan.

Gunakan sayap pemuda
Parti politik perlu menggunakan sayap pemuda mereka untuk memujuk dan menunduk golongan ini agar berbuat sesuatu sebelum terlewat. Jangan hairan, jika sayap pemuda parti bijak memujuk mereka, golongan ini akan akhirnya memihak kepada parti yang membantu mereka dalam pendaftaran. Di Semananjung pihak SPR menyatakan bahawa pada 2009 UMNO berjaya mendaftarkan 24,818 pengundi daripada golongan muda, berbanding DAP 17,756 dan PAS 16,987 orang.

Komitmen parti politik yang memiliki jaringan akar umbi yang lebih menyeluruh, adalah perlu. Parti politik perlu menggerakkan seluruh tenaga dan sumber mereka untuk memastikan golongan ini mendaftar sebagai pengundi. Atau parti politik BN risau akan kesan pendaftaran golongan ini yang rata-rata tidak memihak kepada mereka?

Kesibukan tidak harus dijadikan alasan kerana proses mendaftar bukannya rumit. Hanya dengan membawa kad pengenalan, maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda diambil pegawai bertugas. Adakah sebagai rakyat yang bertanggungjawab kita tidak bersedia untuk mengorbankan sedikit masa walhal ia penting untuk masa depan kita sendiri dan anak bangsa kita?

Oleh Dr Jeniri Amir

 

Tinggalkan sepatah dua kata

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 42 other followers

%d bloggers like this: