Kelemahan sistem pendidikan

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kelemahan-kelemahan sistem pendidikan yang terlalu mementingkan peperiksaan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan untuk menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

 

Setiap ibu bapa pasti mengharapkan anak mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan supaya anak mereka dapat meneruskan pengajian atau sebagai tiket untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. Namun, kecemerlangan akademik semata-mata belum mencukupi jika tidak disokong dengan daya ketahanan untuk menghadapi cabaran. Sehubungan dengan itu, hasrat Kementerian Pelajaran untuk mencari pendekatan baru pendidikan bagi mengurangkan ujian dan peperiksaan yang dianggap tidak praktikal lagi. Diterima baik oleh masyarakat. Melalui pemantauan yang dilakukan telah didapati sistem yang terlalu mementingkan peperiksaan tidak sesuai lagi kerana tidak menguji kemampuan sebenar pelajar, sekali gus membebankan pelajar dan guru.

Sistem pendidikan yang baru akan diperkenalkan secara berperingkat-peringkat di sekolah-sekolah tertentu. Sistem ini akan diuji keberkesanannya selama lima tahun, kemudian barulah ditentukan sama ada sistem baru tersebut akan diperluas ke semua sekolah atau tidak. Dalam proses tersebut penambahbaikan akan dilakukan terhadap mana-mana kecacatan supaya pelaksanaannya benar-benar berkesan. Sistem pendidikan juga memerlukan perubahan kurikulum, buku teks dan perubahan lain-lain. Kini, guru bimbang untuk menggunakan kaedah lain-lain kerana takut terkeluar daripada ketetapan Kementerian Pelajaran akibatnya, motivasi pelajar merosot kerana dipaksa belajar mengikut jadual waktu, bukannya mengikut minat mereka seperti yang sepatutnya.

Sesungguhnya, kita menyedari kesan nyata daripada kepincangan sistem pendidikan negara ialah wujudnya fenomena pengangguran dalam kalangan siswazah akibat tidak tahu memanfaatkan ilmu yang mereka peroleh. Masalah itu berlaku kerana sistem pendidikan dikekang birokrasi sehingga sukar berubah. Jelaslah sistem pendidikan yang ada sekarang, melahirkan pelajar yang hanya tahu menjawab soalan tetapi tidak boleh berfikir. Kesannya, pelajar berlumba-lumba pergi ke kelas tuisyen dan meninggalkan saat-saat indah bersama keluarga dan mengabaikan aktiviti-aktiviti beriadah dan aktiviti kemasyarakatan.

Masyarakat pula berpandangan bahawa hanya mereka yang memperoleh pangkat A dalam setiap pelajaran sahaja pelajar yang cemerlang, tetapi pelajar yang gagal dalam peperiksaan dianggap gagal dalam segala-galanya. Hal ini telah menyebabkan para pelajar tertekan untuk memperoleh keputusan yang baik sehingga hilang keseronokan belajar. Kini segala-galanya terpulang kepada ahli-ahli akademik dan para pemikir pada peringkat tertinggi untuk mengenal pasti sistem pendidikan baru yang sesuai diamalkan.

 

  1. Berikan maksud menguji kemampuan dalam petikan. [2 markah]
  2. Apakah tahap-tahap yang perlu dilakukan untuk menilai sistem baru pendidikan sebelum sistem tersebut dapat dilaksanakan di semua sekolah? [4 markah]
  3. Kebanyakan pelajar sekarang lemah dalam aspek sahsiah dan kurang mahir berkomunikasi walaupun mendapat pangkat A dalam semua mata pelajaran.  Pada pendapat anda, mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]

Tinggalkan sepatah dua kata